“Borneo War”, Usaha TLDM Pertahan Kedaulatan Malaysia Timur
Perang Borneo yang dilaksanakan secara penggiliran bersama Markas Wilayah Laut 2 ini akan terus dilaksanakan secara berkala demi mempertingkat kesiagaan TLDM dalam melindungi kedaulatan perairan Malaysia Timur ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Berkonsepkan Field Training Exercise (FTX), latihan Perang Borneo atau lebih dikenali sebagai #BorneoWar memfokuskan pendekatan dinamik untuk melatih dan menilai keupayaan semasa aset serta kecekapan warga Armada Timur dalam aspek navigasi, komunikasi dan peperangan maritim.
Bagi siri ke-5 tahun ini, Perang Borneo telah dilaksanakan di sekitar perairan Laut China Selatan dengan penglibatan empat buah kapal #ArmadaTimur. Warga KD PERAK, KD BADIK, KD RENCONG dan KD BAUNG meninggalkan pelabuhan sejak dinihari dan bersedia melaksanakan pelbagai evolusi yang telah dirancang.
Eksesais ini telah disertai oleh Timbalan Panglima Armada Timur iaitu Laksamana Pertama Dr. Najhan bin Md Said bersama barisan kepimpinan tertinggi Markas Pemerintahan Armada Timur. Melalui fasa ini, beliau sendiri dapat melihat kecekapan serta kemampuan warga dalam melaksanakan evolusi di laut, menurut kenyataan TLDM.
Tidak hanya memfokuskan peningkatan warga, Perang Borneo ini dilihat sebagai medium terbaik untuk memperagakan kehadiran aset TLDM di Zon Maritim Malaysia (ZMM) Sabah. Eksesais siri ini juga turut menguji serta menilai prosedur pelaksanaan evolusi mendarat yang dilaksanakan di kapal.
TLDM secara amnya sentiasa fokus dan komited dalam merancang dan menyediakan program latihan yang dapat meningkatkan kompetensi warga #NavyPeople. Justeru, dengan penganjuran eksesais ini, ia dilihat sebagai satu peluang yang baik dalam menyediakan angkatan yang siaga serta mampu mendepani eksesais masa hadapan sama ada secara bilateral mahupun multilateral.
Perang Borneo yang dilaksanakan secara penggiliran bersama Markas Wilayah Laut 2 ini akan terus dilaksanakan secara berkala demi mempertingkat kesiagaan TLDM dalam melindungi kedaulatan perairan Malaysia Timur ini. — DSA
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Comments are closed.