Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

BHIC Peroleh Kontrak Perkhidmatan Sokongan Kapal Selam TLDM Bernilai RM1.1 Billion

Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah memperoleh kontrak perkhidmatan sokongan 2 berasaskan prestasi untuk Kapal Selam Kelas Perdana Menteri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM1.1 bilion.

0 2,568

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah memperoleh kontrak perkhidmatan sokongan 2 berasaskan prestasi untuk Kapal Selam Kelas Perdana Menteri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM1.1 bilion.

Syarikat penyedia penyelesaian maritim dan pertahanan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) menerima surat penganugerahan daripada Kementerian Pertahanan bertarikh 5 Jun 2024, yang memberikan kontrak kepada BSES.

“Kontrak rasmi antara kerajaan Malaysia dan BSES akan dimuktamadkan dan dilaksanakan kemudian,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

BHIC berkata kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Ia bagaimanapun tidak memberikan maklumat lebih lanjut kontrak perkhidmatan sokongan itu.

Kedua-dua kapal selam jenis “Scorpene” kelas-Perdana Menteri, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak milik negara telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 2009 dan kini beroperasi daripada Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

scorpene
Kapal selam Scorpene kelas-Perdana Menteri milik TLDM.

 

Pangkalan TLDM Kota Kinabalu adalah sebuah pangkalan tentera yang strategik, terletak tidak jauh daripada Laut China Selatan.

Kapal selam pertama KD Tunku Abdul Rahman telah dilancar pada 23 Oktober 2007 di Cherbourg, Perancis manakala kapal selam kedua, KD Tun Abdul Razak dilancar pada 8 Oktober 2008 di Cartagena.

Kapal selam Kelas Perdana Menteri diasaskan daripada rekabentuk kapal selam nuklear Perancis Le Triomphant.

Malaysia menandatangani perjanjian perolehan dua buah kapal selam Scorpene bernilai lebih daripada Euro 1 bilion pada 2002.

Kapal selam kelas Scorpène merupakan satu kelas kapal selam penyerang berkuasa diesel-elektrik .

 Menurut Panglima TLDM ketika itu Tan Sri Ramlan Mohamed Ali, perolehan kapal selam akan melengkapkan keupayaan peperangan tiga dimensi (anti udara, permukaan, dan bawah permukaan) TLDM.

Torpedo
Torpedo Black Shark yang melengkapi kapal selam TLDM

 

Kedua-dua buah kapal selam “Scorpene” milik TLDM yang dibina oleh firma DCNS (sekarang Naval Group) dan Navantia berkemampuan melancarkan torpedo berat “Black Shark” dan peluru berpandu anti-kapal lancaran kapal selam, “SM39 Exocet.”

Hanya Malaysia menggunakan kapal selam jenis “Scorpene” di rantau Asia Tenggara.

Keupayaaan kapal selam Scorpene milik TLDM dan kemahiran krew kapal selam negara sememangnya diperakui oleh negara-negara luar.

Defence Security Asia pernah menulis artikel mengenai bagaimana Angkatan Kapal Selam TLDM telah menerima banyak tawaran dan permohonan daripada tentera-tentera laut negara asing yang mahu mengadakan latihan dengan kapal-kapal selam “Scorpene” kelas-Perdana Menteri milik negara, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

TLDM
Gambar pelancaran peluru berpandu SM-39 oleh kapal selam TLDM beberapa tahun lepas. (gambar fail)

 

Dalam satu temuramah dengan media tempatan beberapa tahun lepas, pernah diberitahu bahawa tawaran daripada negara-negara luar untuk mengadakan latihan bersama dengan dua buah kapal selam negara itu berkemungkinan kerana mereka “teruja” untuk berlatih dengan kapal selam “Scorpene” dimiliki oleh TLDM.

Ini kerana katanya, tidak banyak negara di dunia memiliki dan mengoperasi kapal selam “Scorpene”.

Selain Malaysia, tentera laut negara lain yang menggunakan kapal selam Scorpene adalah India, Brazil dan Chile. — DSA

Comments
Loading...