Benarkah Pesawat Pengebom B-2 Spirit Amerika Menembusi Ruang Udara Sarawak ??

Jika benar imej di Saratok itu adalah pesawat pengebom B-2 Spirit atau Xian H-20, ia mungkin petanda latihan lintas laluan di atas Laut China Selatan dan Borneo — laluan penting untuk misi latihan jarak jauh, pemetaan radar atau latihan penembusan (penetration) yang mensimulasikan senario konflik di pentas Indo-Pasifik.

0
Sekeping gambar yang diambil berhampiran sebuah rumah panjang di Saratok, Sarawak, secara tidak langsung telah menukar kawasan terpencil Borneo Malaysia menjadi pusat perdebatan geo-strategik, sekaligus mencetuskan spekulasi sama ada pesawat pengebom halimunan berprofil tinggi telah dikesan meluncur senyap di ruang udara tempatan.
Imej tersebut pertama kali dikongsi di subreddit r/Malaysia oleh pengguna Reddit dengan nama Anubiroz, memaparkan bentuk siluet sayap terbang (flying wings) yang cukup dikenali ramai sebagai ciri utama pesawat pengebom halimunan B-2 Spirit milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF).
“Diambil oleh kawan dekat rumah panjang dia di Saratok pada waktu petang… Zoom dekat… nampak macam layang-layang atau pesawat pengebom halimunan. Dia kata bunyinya macam swish… Hmmm. Nampak agak mencurigakan untuk layang-layang atau dron. Ada idea?” tulis Anubiroz, mencetuskan perdebatan hangat dalam talian.
Pihak berkuasa penerbangan awam negara pantas memberi maklum balas terhadap dakwaan tular ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan bahawa tiada sebarang rekod penerbangan menyerupai pesawat pengebom halimunan diluluskan untuk beroperasi di ruang udara Saratok pada masa kejadian.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, sebagaimana dipetik akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times, berkata tiada rekod mana-mana penerbangan yang menyerupai pesawat pengebom halimunan di Saratok, Sarawak, susulan dakwaan tular tersebut.
“Bagaimanapun, terdapat aktiviti dron di kawasan Saratok dan Pantu yang dilindungi melalui Notis Kepada Juruterbang (NOTAM),” tambah beliau.
B-2
Sekeping gambar yang dirakam berhampiran sebuah rumah panjang di Saratok telah mencetuskan spekulasi di subreddit r/Malaysia sama ada pesawat pengebom halimunan B-2 Spirit milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) benar-benar dilihat berlegar di ruang udara kawasan tersebut. (GAMBAR VIA REDDIT/ANUBIROZ)
Walaupun dron hobi dan layang-layang merupakan pemandangan biasa di kawasan luar bandar Sarawak, pemerhati pertahanan menegaskan bahawa menolak kemungkinan pesawat halimunan melintasi kawasan ini boleh mengabaikan kepentingan strategik rantau ini dalam operasi pengebom jarak jauh.
Dalam landskap kuasa udara moden, kemungkinan kehadiran pesawat B-2 Spirit di ruang udara Asia Tenggara akan menjadi perkiraan strategik yang sengaja dirancang oleh Amerika Syarikat untuk mempamerkan keupayaan kuasanya ketika ketegangan berkaitan program nuklear Iran terus memuncak dengan operasi pengeboman terhadap kemudahan nuklear negara itu.
Pesawat pengebom B-2 Spirit yang dibangunkan oleh Northrop Grumman dan mula berkhidmat dalam USAF sejak 1997, kekal sebagai satu-satunya pengebom halimunan yang beroperasi di dunia dengan keupayaan untuk menembusi pertahanan udara paling ketat.
Profil sayap terbang ikonik Spirit yang dibina menggunakan bahan penyerap radar dan struktur komposit termaju menjadikan pesawat ini hampir mustahil dikesan oleh radar konvensional.
Dengan jarak operasi maksimum tanpa mengisi minyak sehingga 11,000 km (6,900 batu) dan keupayaan membawa sehingga 18,000 kg (40,000 lbs) peluru berpandu konvensional dan nuklear, B-2 kekal sebagai tunggak utama triad nuklear Amerika Syarikat dan simbol kuasa serangan globalnya.
Relevan strategik B-2 sekali lagi terbukti melalui operasi terkini.
Bulan lalu, satu skuadron yang terdiri daripada enam B-2 Spirit telah ditugaskan melaksanakan serangan tepat ke atas kemudahan pengayaan uranium Iran yang berada jauh di bawah tanah di Fordow, Natanz, dan Esfahan — tapak yang sekian lama menjadi cabaran untuk serangan kinetik konvensional kerana pertahanan bawah tanahnya yang kukuh.
B-2
Close-up gambar yang dirakam berhampiran sebuah rumah panjang di Saratok telah mencetuskan spekulasi di subreddit r/Malaysia sama ada pesawat pengebom halimunan B-2 Spirit milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) benar-benar dilihat berlegar di ruang udara kawasan tersebut. (GAMBAR VIA REDDIT/ANUBIROZ)
Bagi menjayakan operasi jarak jauh ini, beberapa pesawat B-2 Spirit telah dikerahkan lebih awal ke Diego Garcia, sebuah atol terpencil tetapi amat strategik di Lautan Hindi.
Pangkalan British yang disewa Amerika Syarikat sejak beberapa dekad ini pernah menjadi titik pelancar operasi dari era Perang Teluk sehinggalah Afghanistan, menyediakan tapak operasi yang selamat untuk pesawat B-52 Stratofortress, B-1B Lancer dan kini B-2 Spirit.
Jika benar imej di Saratok itu adalah pesawat pengebom B-2 Spirit, ia mungkin petanda latihan lintas laluan di atas Laut China Selatan dan Borneo — laluan penting untuk misi latihan jarak jauh, pemetaan radar atau latihan penembusan (penetration) yang mensimulasikan senario konflik di pentas Indo-Pasifik.
Secara geografi, Saratok terletak dalam wilayah Sarawak di pulau Borneo, hanya beberapa minit penerbangan dari Laut China Selatan — salah satu laluan maritim paling dipertikaikan di dunia dan menjadi pentas utama persaingan tentera antara AS dan China.
Lokasi ini secara strategik menempatkan Sarawak dalam zon panas Indo-Pasifik, dari Selat Melaka yang kritikal, Kepulauan Spratly, sehinggalah laluan udara sensitif yang menghubungkan pangkalan Diego Garcia ke pusat operasi hadapan di Guam, Okinawa, malah Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan.
Sebarang penerbangan pesawat halimunan di ruang udara ini bukan sahaja menguji kelemahan radar tetapi juga memberi isyarat mengenai jenis operasi berbilang paksi yang mungkin dilaksanakan USAF sekiranya berlaku kontingensi Indo-Pasifik membabitkan Taiwan atau konflik Laut China Selatan.
Walau bagaimanapun, segelintir penganalisis tidak yakin bahawa ‘pesawat misteri’ tersebut milik USAF.
Xian H-20
Pada Januari tahun ini, beberapa gambar dan video mula tersebar di pelbagai platform media sosial China yang didakwa memaparkan penerbangan sulung pesawat pengebom halimunan negara itu,  Xian H-20.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing mempercepatkan cita-citanya untuk memiliki pengebom strategik stealth, dengan Xian H-20 dilihat sebagai jawapan Tentera Udara Pembebasan Rakyat China (PLAAF) kepada B-2 Amerika.
Walaupun H-20 masih terselindung rapi, kebocoran maklumat dan imejan satelit menambah spekulasi bahawa pengebom baru China ini menyerupai rekaan sayap terbang Spirit dengan signature radar rendah, jarak antara benua, serta keupayaan menyerang pangkalan Amerika Syarikat sejauh Guam dan Diego Garcia.
Laporan tidak rasmi mendakwa penerbangan ujian prototaip H-20 mungkin sudah dilakukan di Laut China Selatan, dengan liputan radar Borneo yang “belum mencukupi” menjadikannya koridor menarik untuk menguji profil halimunan terhadap rangkaian pengawasan rantau ini.
Jika benar, kehadiran aset sebegini di Saratok merupakan langkah berani China untuk mencabar dominasi pengebom strategik Amerika — sekaligus petanda perlumbaan teknologi bagi menguasai ruang udara serantau kini semakin ketara di atas rimba dan pesisir Asia Tenggara.
Namun begitu, di sebalik semua senario dramatik membabitkan pesawat halimunan generasi terkini, kemungkinan paling mudah tetap wujud: objek yang dirakam kamera itu mungkin sekadar layang-layang unik atau dron hobi bersaiz besar — yang boleh kelihatan sangat licin jika diambil dengan latar langit yang terlalu terang.
Namun, mesej utamanya jelas: apabila rantau Indo-Pasifik kini muncul sebagai medan utama penempatan pengebom strategik dan perlumbaan teknologi halimunan, tiada ruang udara — walaupun rumah panjang terpencil di pedalaman Sarawak — boleh dianggap bebas daripada bayangan kuasa ketenteraan berteknologi tinggi.
Dari landasan Diego Garcia yang jauh sehinggalah koridor udara di atas Laut China Selatan yang sentiasa hangat dipertikaikan, siluet sayap terbang kekal sebagai simbol ketenteraan Amerika dan cita-cita serta persaingan China.
Sama ada penampakan di Saratok itu benar atau sekadar fantasi, impaknya sudah cukup membuktikan bahawa medan baharu dominasi halimunan berpotensi berlaku tepat di atas mata komuniti yang selama ini percaya mereka jauh dari sasaran kuasa besar.
Defence Security Asia akan terus memantau perkembangan ini, termasuk analisis imej satelit, data radar, serta corak penerbangan di rantau ini untuk mengesahkan sama ada ‘Spirit’ benar-benar menembusi Sarawak — atau ‘phantom’ baharu telah muncul di langit dalam bentuk pesawat pengebom halimunan, Xian H-20 milik China.

Leave a Reply