Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bekas Pegawai Kanan Tentera Pakistan Akui Ia Kehilangan Sebuah Pesawat AEW&C Akibat Bedilan BrahMos

Bekas pegawai kanan Tentera Udara Pakistan itu Air Marshal Massod Akhtar menyatakan bahawa Pakistan telah kehilangan pesawat AWACS itu dalam serangan peluru berpandu kruis India pada 9/10 Mei terhadap Pangkalan Udara Bholari yang terletak berhampiran Karachi.

0 28,002
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang bekas pegawai kanan Tentera Udara Pakistan (PAF) secara terbuka mengakui bahawa tentera negara itu kehilangan sebuah pesawat AEW&C (Airborne Early Warning and Control) selepas India melancarkan serangan peluru berpandu kruis menerusi Operasi Sindoor terhadap pangkalan udara negara itu.
Bekas pegawai kanan Tentera Udara Pakistan itu Air Marshal Massod Akhtar menyatakan bahawa Pakistan telah kehilangan pesawat AEW&C itu dalam serangan peluru berpandu kruis India pada 9/10 Mei terhadap Pangkalan Udara Bholari yang terletak berhampiran Karachi.
India dilaporkan menggunakan peluru berpandu BrahMos yang dibangunkan bersama oleh negara itu dengan Russia.
Beliau dilaporkan berkata demikian dalam temuramah dengan wartawan Sohrab Barkat yang dikongsi oleh Frontalforce di platform media sosial X, yang melaporkan isu-isu semasa dan juga konflik.
“Mereka (tentera India) telah melepaskan empat peluru berpandu BrahMos berturut-turut… sama ada peluru berpandu darat ke darat atau udara ke darat, saya tidak pasti. Juruterbang kami segera bergegas untuk mengalihkan pesawat masing-masing, namun peluru berpandu terus dilancarkan satu demi satu.”
“Malangnya, peluru berpandu keempat telah mengenai hangar di Pangkalan Udara Bholari, tempat sebuah pesawat AEW&C kami sedang ditempatkan. Pesawat tersebut mengalami kerosakan dan terdapat juga laporan kemalangan jiwa…” kata beliau.
Pihak tentera India telah mengeluarkan imej-imej satelit yang menunjukkan kesan-kesan serangan peluru berpandu kruis terhadap Pangkalan Udara Bholari, dengan salah sebuah hangar di pangkalan udara  itu jelas mengalami kerosakan akibat bedilan peluru berpandu kruis itu.

 

Bholari

Laporan oleh akhbar terkenal Amerika Syarikat, New York Times yang menggunakan imej satelit dihasilkan oleh Maxar Technologies menyokong dakwaan India apabila menunjukkan kerosakan ketara pada beberapa kemudahan ketenteraan penting milik Pakistan.
“Analisis terhadap imej satelit menunjukkan bahawa walaupun serangan tentera India itu meliputi kawasan yang luas, tahap kerosakan sebenarnya lebih terkawal berbanding apa yang didakwa — dan sebahagian besar kerosakan itu berpunca daripada serangan India ke atas fasiliti Pakistan,” menurut laporan berkenaan.
Sebuah lagi akhbar terkenal Amerika Syarikat,  The Washington Post turut melaporkan bahawa sekurang-kurangnya enam pangkalan udara Pakistan mengalami kerosakan, berdasarkan analisis imej satelit yang menunjukkan kemusnahan pada landasan, hangar dan pusat kawalan — termasuk lokasi yang terletak sejauh 160km batu dari sempadan di dalam wilayah Pakistan.
Pangkalan Udara Bholari di Karachi itu merupakan beberapa pangkalan udara Tentera Udara Pakistan termasuk Noor Khan di Rawalpindi, Sargodha dan Rahim Yar Khan yang diserang oleh peluru-peluru kruis tentera India.
Pangkalan Udara Bholari merupakan antara fasiliti strategik milik Tentera Udara Pakistan yang semakin penting dalam perancangan pertahanan dan operasi udara negara itu, terutama dalam konteks ketegangan serantau yang kian meningkat.
Pangkalan udara itu menempatkan pelbagai aset udara canggih, termasuk pesawat amaran awal dan kawalan udara (AEW&C) seperti SAAB 2000 Erieye AEW&C, yang memainkan peranan penting dalam memberikan gambaran situasi udara secara menyeluruh, mengesan pergerakan musuh dari jarak jauh serta menyelaras tindakan udara PAF dalam masa nyata.
Pakistan
Saab 2000 Erieye AEWC
Selain pesawat AEW&C, Pangkalan Udara Bholari juga merupakan salah satu lokasi pengoperasian utama bagi pesawat pejuang JF-17 Thunder, khususnya varian terkini seperti JF-17 Block II dan Block III, yang dilengkapi dengan radar AESA dan peluru berpandu jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) seperti PL-15.
Terdapat juga laporan bahawa pesawat tempur F-16 Fighting Falcon buatan Amerika Syarikat turut menjalankan operasi dari pangkalan ini secara berkala, bergantung kepada keperluan operasi dan latihan.
Pangkalan ini turut berfungsi sebagai lokasi penting bagi latihan juruterbang tempur dan ujian operasional sistem peperangan elektronik (EW) serta peluru berpandu udara ke udara dan udara ke darat.
Kedudukannya yang strategik di selatan Pakistan berhampiran Laut Arab dan tidak jauh dari sempadan dengan India menjadikannya barisan hadapan penting dalam sebarang tindak balas pantas terhadap sebarang ancaman ketenteraan dari timur.
Pada ketika ini, Tentera Udara Pakistan memiliki sembilan buah pesawat AWACS Saab 2000 “Erieye” yang diperolehinya daripada Sweden.
Tentera Udara Pakistan telah mentauliahkan pesawat AEW&C Saab 2000 “Erieye” miliknya itu pada Julai tahun lepas bersama-sama pesawat pejuang J-10C dan pesawat pengangkut C-130.
BrahMos
“BrahMos”
Pakistan memesan pesawat-pesawat amaran awal Saab 2000 Erieye pada 2006 dengan enam buah pesawat AEWC tetapi kemudiannya mengurangkan pesanan itu kepada hanya empat buah pesawat berikutan bencana gempa bumi melanda negara itu.
Pada 2012, tiga daripada empat buah pesawat amaran awal itu mengalami kerosakan selepas diserang oleh anggota pengganas di Pangkalan Udara Minhas, dengan salah sebuah daripada pesawat itu dilupuskan kerana mengalami kerosakan terlalu teruk.
Tentera Udara Pakistan telah memperbaiki dua dapat pesawat amaran awal Saab 2000 Erieye pada 2015 dan 2016.
Pesawat AEW&C Saab 2000 Erieye milik Pakistan menggunakan sistem radar AESA (Active Electronically Scanned Array) yang memberikan ia keupayaan pengesanan objek-objek pada jarak sejauh 450km.
Menerusi data-link, segala data yang berjaya dicerap oleh sensor yang berada pada pesawat amaran awal boleh diserahkan kepada pesawat-pesawat pejuang Pakistan dalam menangani segala kemungkinan.
Berbanding dengan seterunya, India, keupayaan Tentera Udara Pakistan dalam bilangan pesawat-pesawat amaran awal (AEWC) adalah jauh mengatasi bilangan pesawat-pesawat AEWC yang dimiliki oleh Tentera Udara India.
Pada ketika ini, Tentera Udara India hanya memiliki tiga buah pesawat amaran awal IL-76 Phalcon yang dilengakapi dengan radar dan komponen milik Israel, ditambah dengan dua buah pesawat amaran awal “NETRA” yang dibangunkan oleh industri pertahannya sendiri.
BrahMos
“BrahMos”
Kehadiran sembilan buah pesawat amaran awal milik Pakistan telah meningkatkan kemampuan pesawat-pesawat pejuangnya dalam menguasai peperangan udara menentang pesawat-pesawat pejuang musuh dan ini telah terbukti dalam beberapa peperangan udara antara pesawat-pesawat pejuang kedua-dua negara sebelum ini.
Laporan daripada media pertahanan India menyatakan bahawa pesawat-pesawat amaran awal Saab 2000 Erieye telah memberikan kelebihan kepada pesawat pejuang Pakistan berbanding kepada pesawat pejuang India terutamanya dalam aspek pertempuran udara.
Minggu lepas, Defence Security Asia melaporkan bahawa pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan, dilengkapi peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 Beyond Visual Range (BVR) buatan China dan beroperasi dalam keadaan “senyap radar dan radio” (radar and radio silence) telah menembak jatuh beberapa pesawat pejuang India termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India dalam satu operasi “serangan hendap” yang berjaya (text-book).
Dalam “serangan hendap” itu, pesawat-pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan dipercayai telah terbang dalam keadaan “senyap radar dan radio” (radar and radio silence) sepenuhnya sepanjang misi itu, dengan menggunakan panduan real time dari pesawat kawalan dan amaran awal (AEW\&C) termasuk Saab 2000 Erieye dari Sweden dan ZDK-03 Karakoram Eagle dari China.
Platform AEW&C ini menghantar data-data tentang sasaran kepada pesawat pejuang J-10C melalui pautan data terenkripsi, membolehkan pesawat pejuang kekal senyap daripada segi elektronik sambil mencapai kesedaran penuh (situational awareness) mengenai medan tempur.
J-10C
J-10C Pakistan
Dalam doktrin peperangan udara moden, “radar and radio silence” sepenuhnya melibatkan penutupan sepenuhnya sistem radar dan komunikasi pesawat untuk mengelakkan pengesanan oleh sensor musuh atau unit perisikan elektronik.
“Radar-Silence” memastikan tiada pelepasan elektromagnetik yang dapat dikesan oleh penerima amaran radar (Radar Warning Receiver -RWR), sementara Radio-Silence pula menghalang pengesanan komunikasi suara atau data seperti Link 16, yang membolehkan serangan jauh.
“Radar dan Radio Silence” atau dimana pesawat menutup radio dan radarnya adalah untuk membolehkan pesawat PAF kekal tidak kelihatan sehingga senjata mereka dilepaskan, pada ketika itu peluru berpandu dipandu di pertengahan perjalanan oleh pesawat AEW&C.
Dalam jarak 20 hingga 30 kilometer terakhir penerbangan, seeker radar X-band pada PL-15E diaktifkan, mengunci sasaran dengan ketepatan yang tinggi.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.