Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dengan Sebuah Kapal Hidrografi, TLDM Perlu 55 Tahun Untuk Ukur Keseluruhan Perairan Negara

"Kita mempunyai sebuah sahaja kapal hidrografi iaitu, KD Perantau untuk tugas pengukuran hidrografi bagi keseluruhan perairan negara berkeluasan 570,000 km persegi dan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 55 tahun untuk diselesaikan," kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

0 5,767

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Dengan hanya sebuah kapal hidrografi pada ketika ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan tempoh selama 55 tahun untuk melaksanakan kerja-kerja pengukuran hidrografi bagi keseluruhan perairan negara berkeluasan 570,000 km persegi.

Bercakap di Parlimen hari ini, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pada ketika ini TLDM hanya memiliki KD Perantau sebagai kapal hidrografinya selepas KD Mutiara ditamatkan perkhidmatannya pada 2018.

“Kita mempunyai sebuah sahaja kapal hidrografi iaitu, KD Perantau untuk tugas pengukuran hidrografi bagi keseluruhan perairan negara berkeluasan 570,000 km persegi dan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 55 tahun untuk diselesaikan,” kata beliau.

Hidrografi

Menurutnya lagi, pada ketika ini sebanyak 35 peratus daripada 570,000 km persegi keluasan perairan negara telah dilakukan pengukuran semula hidrografi menggunakan kaedah” Multi Beam Echo Sounder” selari dengan piawaian dengan Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa (IHO).

Beliau juga berkata satu sewaan platform ukuran hidrografi telah dilaksanakan pada 2018 di bawah program khusus sebagai langkah interim untuk mempercepat kerja-kerja pengukuran hidrografi negara.

Ini bagi membolehkan 100 peratus liputan kedalaman di dalam pengairan negara diperoleh.

“Program ini mempunyai beberapa fasa iaitu fasa pertama dilancarkan pada 2018 hingga 2021, manakala fasa kedua pada 2022 dan 2025.

“Berdasarkan pencapaian fasa pertama, kontrak ini telah diteruskan pada 2022 dengan sewaan dua platform ukur,” katanya.

Adly berkata kementerian bersama TLDM juga sedang berusaha mendapatkan bajet tambahan bagi program sewaan platform itu untuk menampung keperluan pengukuran bagi kawasan perairan cetek berkedalaman di bawah 50 meter.

Hidrografi
KD Mutiara

 

Projek hidrografi yang melibatkan peruntukan RM15 juta itu merupakan projek peruntukan khusus yang diberi kepada TLDM bagi membiayai kontrak perkhidmatan sewaan platform ukur hidrografi yang dikendali oleh Pusat Hidrografi Nasional sejak 2018.

Peruntukan khusus diberikan kepada TLDM, untuk biayai kontrak sewaan plaform dilakukan oleh pusat hidrografi nasional sejak 2018.

Kapal hidrografi tunggal TLDM, KD Perantau telah dibina di Pulau Pinang oleh Hong Leong Lurssen Dockyard.

Dengan menggunakan kata panggilan antarabangsa 9MNF, kapal yang berdimensi 67.8m panjang dan 13.3m lebar ini telah digunakan oleh pihak TLDM mulai 12 Oktober 1998 dengan menggunakan nombor pennant A 151.

Kapal ini telah direka dan dilengkapi khusus untuk operasi pengukuran hidrografi dan melaksanakan pemerhatian meteorologi dan cerapan oseanografi.

Adly
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari

 

Ia juga dilengkapi dengan sistem pengukuran terkini untuk navigasi dan hidrografi seperti Integrated Navigation System (INS) jenis Raytheon Anschutz dan Integrated Hydrographic Survey and Management System (IHSMS) jenis KONGSBERG.

Turut dilengkapi dengan Sistem Perbezaaan Pemposisian Sejagat (DGPS), Pemerum Gema Berbilang Alur (PGBA), Hull Mounted Acoustic Doppler Current Profiler (ADCP) dan kelengkapan lain untuk operasi oseanografi dan meteorologi.

Kapal ini juga memiliki 2 bot ukur yang dilengkapi dengan sistem PGBA bagi melaksanakan pengukuran yang merangkumi kawasan berkedalaman kurang dari 5 meter dan sehingga 500 meter. — DSA

 

Comments
Loading...