AVIC Keluarkan Gambar Juruterbang Tentera Udara Pakistan Di Dalam Kokpit J-35A
Akaun media sosial AVIC itu juga menunjukkan bahawa juruterbang Tentera Udara Pakistan sudah berada di China untuk berlatih mengendalikan pesawat pejuang generasi kelima itu, sebagaimana dilaporkan oleh media tempatan sebelum ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, akaun media sosial Aviation Industry Corporation of China (AVIC) telah mengeluarkan gambar menunjukkan juruterbang Tentera Udara Pakistan berada di dalam kokpit pesawat pejuang generasi kelima keluarannya, J-35A.
Pengeluaran gambar itu secara tidak langsung mengesahkan lagi perolehan pesawat pejuang itu oleh Tentera Udara Pakistan.
Akaun media sosial AVIC itu juga menunjukkan bahawa juruterbang Tentera Udara Pakistan sudah berada di China untuk berlatih mengendalikan pesawat pejuang generasi kelima itu, sebagaimana dilaporkan oleh media tempatan sebelum ini.
Kapsyen pada posting media sosial itu menyatakan: ” Buyers gives good reviews.”
Awal bulan ini, kerajaan Pakistan menyatakan bahawa ia telah membuat keputusan untuk memperolehi pesawat pejuang J-35A, pesawat amaran awal dan kawalan (AEWC) KJ-500 dan sistem pertahanan udara jarak jauh HQ-19.
“Pakej ketenteraan China kepada Pakistan itu merupakan sebahagian daripada kejayaan diplomatik dan ketenteraan di bawah pimpinan Perdana Menteri Shehbaz Sharif. Aset-aset ketenteraan berteknologi tinggi akan meningkatkan secara mendadak kemampuan Tentera Udara Pakistan dan sistem pertahanan udara selaras dengan tahap tinggi peperangan pada masa ini,” menurut pengumuman oleh kerajaan Pakistan.
Pakej bantuan ketenteraan China kepada Pakistan itu hanya membuktikan hubungan ketenteraan yang erat di antara Beijing dan Islamabad serta tiba pada tepat masanya terutamanya selepas berlakunya konflik Pakistan-India baru-baru ini.
Pesawat pejuang generasi kelima, J-35A dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC) yang merupakan sebahagian daripada AVIC.
China dijangka akan mula menghantar kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A itu kepada Tentera Udara Pakistan dalam “beberapa bulan akan datang ini.”
Defence Security Asia sebelum ini melaporkan bahawa Beijing akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang generasi kelima, J-35A kepada Pakistan bagi memastikan sekutunya di rantau Asia Selatan itu menerima pesawat pejuang terbabit pada suku pertama tahun 2026.
Laporan yang memetik sumber-sumber pegawai Tentera Udara Pakistan menyatakan bahawa China akan mempercepatkan lagi penghantaran pesawat pejuang J-35A yang dibangunkan oleh SAC kepada Pakistan selama enam bulan.
Pakistan bakal mengoperasikan kira-kira 40 buah J-35A, yang merupakan pesawat pejuang generasi kelima yang kedua dibangunkan oleh China selepas J-20 Mighty Dragon.
Pegawai kanan kerajaan Pakistan memberitahu portal pertahanan Janes bahawa pesawat pejuang J-35A buatan China itu akan tiba di negara Asia Selatan itu dalam “beberapa bulan akan datang ini.”
“Juruterbang-juruterbang Tentera Udara Pakistan juga telah berada di China menjalani latihan untuk menerbangkan dan mengendalikan pesawat pejuang J-35A itu,” menurut pegawai kanan kerajaan Pakistan yang mengesahkan perkara itu kepada portal pertahanan terbabit.

Terdapat juga laporan menyatakan pesawat-pesawat pejuang J-35A yang bakal diterima oleh Pakistan di dalam tempoh beberapa bulan mendatang ini akan turut dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-17 yang dipercayai boleh membedil sasaran udara daripada melebihi 400km.
PL-17, yang turut dikenali oleh sesetengah sumber sebagai PL-XX, merupakan peluru berpandu udara ke udara jarak sangat jauh (VLRAAM) paling canggih pernah dibangunkan oleh China, yang direka untuk memberikan Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLAAF) keupayaan menyerang aset udara bernilai tinggi seperti pesawat AWACS, pesawat pengisi minyak serta pesawat peperangan elektronik dari jarak jauh.
Dipercayai memiliki jarak tembakan melebihi 400 kilometer, PL-17 menandakan satu lonjakan besar dalam pembangunan peluru berpandu udara ke udara oleh China, dengan laporan menyatakan ia dilengkapi dengan sistem pencari pelbagai mod yang menggabungkan radar aktif, penderia inframerah, serta navigasi satelit bagi membolehkan kemas kini sasaran di pertengahan penerbangan dan pemanduan tepat ke sasaran di fasa akhir.
Tentera Udara Pakistan sebenarnya telah pun memberikan bayangan seawal tahun 2024 tentang rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A yang dibangunkan oleh SAC.
Pada 2024 Ketua Staf Tentera Udara Pakistan Marshal Udara Zaheer Ahmad Babar Zaheer dilaporkan berkata bahawa pesawat pejuang J-35A buatan China itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara itu “tidak lama lagi.”
“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-35A, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada ketika itu.
Laporan media turut menyatakan bahawa Pakistan bakal memperolehi sebanyak 40 buah pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A, dengan kesemua pesawat pejuang itu akan diterima oleh Islamabad di dalam tempoh dua tahun.

Ia adalah eksport pertama China bagi pesawat pejuang generasi kelima buatannya kepada mana-mana negara.
Tentera Udara Pakistan sebenarnya telah pun memberikan bayangan seawall tahun 2024 tentang rancangannya untuk memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima, J-35A yang dibangunkan oleh SAC.
Pada 2024, Zaheer dilaporkan berkata bahawa pesawat pejuang J-35A buatan China itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara itu “tidak lama lagi.”
“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat J-35A, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada ketika itu.
Media-media Pakistan juga menyatakan bahawa tentera udara negara itu telah mula menghantar juruterbangnya ke China untuk mengikuti latihan menerbangkan pesawat pejuang J-35A, sekaligus membuktikan bahawa negara Asia Selatan itu sememangnya sedang menuju ke arah pemilikan pesawat pejuang generasi kelima.
J-35A merupakan pesawat pejuang halimunan generasi kelima dua enjin yang dibangunkan sebagai sebuah platform berorientasikan eksport.
Pesawat pejuang J-35A direka sebagai alternatif berkos rendah kepada pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat, dengan rekabentuk yang menekankan ciri-ciri penyamaran radar, ruang simpanan senjata dalaman dan keupayaan pelbagai peranan secara sederhana.
J-35A memainkan peranan penting sebagai batu loncatan teknologi dalam usaha lebih luas China untuk memperhalusi konsep dan reka bentuk pesawat tempur generasi kelima.
Varian prototaip awal J-35A dipercayai dilengkapi enjin RD-93 buatan Russia—yang turut digunakan pada pesawat JF-17—namun versi kemudiannya dilaporkan menggunakan enjin WS-13E buatan China bagi meningkatkan prestasi keseluruhan.

Berdasarkan reka bentuk kerangka dan seni bina halimunan pesawat J-35A China kini telah membangunkan varian kapal pengangkut pesawat dikenali sebagai J-35, yang direka khusus untuk kegunaan Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAN) dan dioptimumkan untuk operasi dari kapal pengangkut pesawat.
J-35A merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh China untuk memodenkan kekuatan tenteranya dan mencabar dominasi udara yang sekian lama dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Pesawat ini menggunakan konfigurasi dwi-enjin dan satu tempat duduk serta direka bentuk khusus untuk mengurangkan kebolehkesanan pengesanan radar (low observability), integrasi penderia canggih dan peperangan berasaskan rangkaian (networked warfare).
J-35A berfungsi sebagai “penyelaras” utama dalam rangkaian pertahanan udara, dengan keupayaan untuk mengunci sasaran, berkongsi data secara langsung dengan sistem lain seperti peluru berpandu darat ke udara, dan membimbing senjata ke arah sasaran untuk menumpaskan ancaman, termasuk pesawat musuh berteknologi halimunan (stealth) dan peluru berpandu kruis.
Pembangunan pesawat ini mencerminkan matlamat strategik China untuk membina armada pesawat pejuang halimunan yang berkuasa, mampu milik dan boleh dikerahkan secara besar-besaran, sebagai pengganti kepada pesawat-pesawat lama seperti J-7, J-8 dan J-10.
— DEFENCE SECURITY ASIA