Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“ATR 72MPA”, “Anka” Sah Jadi Pilihan Kementerian Pertahanan

Pemilihan pesawat MPA “ATR 72MP” yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo dan sistem UAS-MALE “Anka-S” dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) oleh Kementerian Pertahanan itu telah pun dijangkakan oleh Defence Security Asia sejak beberapa bulan yang lepas hasil daripada maklumat daripada sumber-sumber industri.

0 12,839

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal mengoperasi pesawat peronda maritim (MPA) “ATR 72MP” dan sistem Unmanned Aerial System (UAS) “Anka”, selepas perolehannya disahkan oleh Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini.

Beliau mengesahkan perolehan kedua-dua aset itu dalam siri ciapannya menerusi akaun Twitter.

Pemilihan pesawat MPA “ATR 72MP” yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo dan sistem UAS-MALE “Anka-S” dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) oleh Kementerian Pertahanan itu telah pun dijangkakan oleh Defence Security Asia sejak beberapa bulan yang lepas hasil daripada maklumat daripada sumber-sumber industri.

Anka-S
Anka-S yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI)

 

“Aset baharu @tudm_rasmi. Untuk perolehan dua (2) buah MPA, Kerajaan telah bersetuju dengan tawaran oleh syarikat Leonardo. Manakala bagi perolehan tiga (3) unit MALE-UAS, Kerajaan telah memutuskan untuk berkontrak dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI).”

“Bagi perolehan MPA & MALE-UAS untuk @tudm_rasmi, @MOFmalaysia telah muktamad kedua-dua tender terbuka antarabangsa,” kata Hishammuddin di dalam ciapannya itu.

Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, Kementerian Pertahanan sedang di dalam proses akhir untuk mengeluarkan Surat Setuju Terima setelah semua terma, klausa serta spesifikasi dipersetujui oleh kerajaan dan syarikat

Sebagaimana yang diumumkan oleh beliau dalam ciapannya itu, Malaysia akan memperolehi dua buah pesawat peronda maritim manakala bagi sistem UAS-Medium Altitude Long Endurance (MALE), negara akan memperolehi tiga buah sistem itu.

ATR 72
UAS-MALE “Anka” oleh TAI (atas) dan pesawat MPA “ATR 72MPA” oleh Leonardo.

 

Kementerian Pertahanan telah mengiklankan tender untuk memperolehi dua buah pesawat MPA pada Ogos 2020, dengan beberapa syarikat pembuat pesawat MPA telah pun menyatakan minat mereka untuk menyertai tender terbabit yang ditutup pada 3 Disember lepas.

Malaysia mempunyai perancangan untuk memperolehi sehingga enam buah pesawat MPA merangkumi beberapa Rancangan Malaysia.

Tiga buah sistem UAS-MALE itu akan diperolehi oleh negara pada Rancangan Malaysia Ke-12 manakala tiga lagi buah akan dibeli pada Rancangan Malaysia Ke-13.

Kementerian Pertahanan telah mengiklankan tender antarabangsa juga pada Ogos 2020 untuk mendapatkan tiga buah sistem UAV-MALE (bersama-sama segala sistem yang berkait dengannya seperti ground stations dll) dan tender itu telah pun ditutup pada 26 November 2020.

PARS
Kenderaan PARS 6×6

 

Kerajaan Malaysia telah meluluskan sejumlah peruntukan di bawah Kelulusan Keperluan Kritikal (Rancangan Perbelanjaan (RP)-4) bagi perolehan tiga buah UAS MALE Fasa 1.

Bagi meningkatkan keupayaa Tentera Darat pula, Kementerian Pertahanan menurut beliau akan melaksanakan perolehan Kenderaan Jenis A 4×4 sebanyak 136 unit dan Kenderaaan Jenis B pelbagai unit dengan nilai perolehan sebanyak RM2.049 bilion.

Beliau bagaimanapun tidak mengumumkan kenderaan apakah yang menjadi pilihan Kementerian Pertahanan.

Menteri Pertahanan juga menyentuh tentang pesawat-pesawat F/A-18D milik TUDM.

Hornet
Pesawat F/A-18D Hornet TUDM (credit to the owner of the pix)

 

Menurut beliau di dalam ciapannya, “Selenggaraan pesawat F/A-18D @tudm_rasmi penting bagi pastikan ia terus berupaya melaksanakan penugasan seiring tuntutan keselamatan semasa. RM2.4b telah diperuntukkan bagi melaksanakan peningkatan keupayaan sistem pesawat F/A-18D serta F/A-18D Sustainment Programme.”

Beliau dipercayai merujuk kepada program Mid-Life Upgrade (MLU) yang telah pun diumumkan oleh Panglima TUDM sebelum ini.

Program MLU bagi lapan buah pesawat F/A-18D TUDM bukanlah sesuatu yang baru. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Comments
Loading...