Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

ATM Terpaksa “Lupakan” NADMA Kerana Didakwa Gagal Tangani Banjir, Bantu Mangsa

Kemarahan orang ramai terhadap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seolah-olah tidak dapat dibendung lagi berikutan dakwaan kegagalan agensi itu dalam menangani bencana banjir yang besar di Lembah Klang pada Jumaat lepas.

0 9,967

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Disebabkan tindakan yang lambat dan hambar daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ketika menangani bencana banjir besar di Lembah Klang Jumaat lepas, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa “melupakan” agensi bencana itu dan berusaha sendiri untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir yang terkandas.

NADMA yang dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasi usaha ketika negara dilanda bencana seperti banjir telah gagal bertindak pantas, menyebabkan ATM “naik angin.”

Sumber mendedahkan kepada portal berita Free Malaysia Today (FMT) bahawa NADMA, yang menerima kritikan mengenai pengurusan banjir di Lembah Klang, pada mulanya teragak-agak untuk mengerahkan tentera bagi usaha bantuan.

Kerajaan Selangor juga keberatan untuk melibatkan pihak tentera, katanya.

“Air banjir makin naik, kami takkan tunggu lagi,” katanya.

Banjir
Datuk Dr AbdulLatif Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang bertanggungjawab terhadap NADMA.

 

Tentera mula bergerak ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir selepas solat Jumaat.

Pada petang Ahad, Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, memaklumkan menerusi Twitter bahawa beliau telah memberi taklimat kepada Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Mohd Zakaria Yadi, berhubung situasi di Klang.

Kata sumber itu lagi, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) berasa “muak” dengan NADMA dan kerajaan Selangor.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menerajui usaha bantuan banjir berkuat kuasa serta-merta berikutan tindak balas hambar daripada NADMA.

Sumber FMT itu juga berkata, agensi itu “tidak tahu bagaimana untuk menangani krisis berkenaan”, dengan mendakwa tiada seorang pun daripada NADMA atau kerajaan negeri memantau media sosial untuk mendapatkan mesej SOS daripada mangsa.

Katanya, pihak KEMENTAH “menjerit” kepada kakitangan NADMA dan baru hari ini agensi itu memanggil mesyuarat untuk menyelaraskan usaha bantuan.

“Seperti tiada keseriusan mengenai situasi terbabit. Justeru, tentera dan KEMENTAH memutuskan untuk terus sahaja bertindak (menjalankan usaha menyelamat),” tambahnya.

BanjirSepanjang hujung minggu lalu, hujan lebat yang turun di Lembah Klang, Pahang, Kelantan, dan Terengganu mulai Jumaat mengakibatkan lebih 40,000 mangsa terpaksa berpindah.

Kemarahan orang ramai terhadap “kelembapan” tindakan NADMA itu meningkat berikutan kenyataan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad Latiff di Dewan Rakyat minggu lepas bahawa agensi itu tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri.

Beliau berkata, NADMA hanya menjaga urusan pemberian pampasan kepada mangsa selepas mendapat maklumat dan senarai daripada negeri.

Katanya, NADMA tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri.

Banjir

Sementara itu, presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS), Faizan Nor berkata, tindakan Abdul Latiff mengeluarkan kenyataan bahawa agensi itu hanya menguruskan pampasan kepada mangsa dan tidak terlibat dalam pengurusan banjir sangat mengecewakan.

“Kita tak boleh terima apabila dia kata NADMA hanya urus pampasan dan tidak terlibat dalam kerja berkaitan bencana alam yang sedang terjadi.

“Sedangkan semua tahu NADMA adalah agensi peneraju pengurusan bencana yang mengatur semua gerakan dan mengkoordinasi semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana,” katanya dalam kenyataan dan dipetik oleh FMT.

Beliau meminta kerajaan mengugurkan Abdul Latif daripada jawatannya berikutan kegagalan NADMA itu.

Banjir

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...