Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jerman Berkeras Enggan Jual Pesawat Eurofighter Typhoon Pada Arab Saudi

Tindakan Jerman enggan menjualkan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi sudah semestinya mengecewakan Britain terutamanya syarikat BAE Systems yang beriya-iya mahu meneruskan penjualan pesawat Typhoon kepada Riyadh yang sudah tertangguh selama lima tahun.

0 3,671

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam usaha membaiki hubungannya dengan Arab Saudi, kerajaan Jerman telah bertindak melonggarkan sebahagian daripada sekatan penjualan senjatanya terhadap Riyadh, namun kuasa Eropah itu masih berkeras enggan menjual pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada negara Arab itu.

Arab Saudi mahu menambah pegangan pesawat pejuang Typhoon itu tetapi dihalang oleh Jerman yang bersama-sama United Kingdom, Sepanyol dan Itali bertanggungjawab membangunkan dan membina pesawat pejuang itu.

Tindakan Jerman enggan menjualkan pesawat pejuang itu kepada Arab Saudi sudah semestinya mengecewakan Britain terutamanya syarikat BAE System yang beriya-iya mahu menjual pesawat Typhoon kepada Riyadh.

Typhoon
Pesawat Eurofighter Typhoon Tentera Udara Arab Saudi.

 

Menurut Steffen Heberstreit yang merupakan jurucakap kepada Canselor Jerman Olaf Scholz berkata negara itu bersetuju melonggarkan sekatan senjata terhadap Arab Saudi berikutan termeterainya genjatan senjata di Yemen.

Antara syarat utama disebalik persetujuan kerajaan Jerman untuk menjual beberapa jenis senjata kepada Arab Saudi adalah ia mestilah tidak digunakan pada konflik di Yemen atau terhadap apa-apa pelanggaran hak asasi manusia.

Ketika menghadiri sidang kemuncak pemimpin-pemimpin NATO baru-baru ini, Canselor Jerman berkata, pelonggaran sekatan jualan senjata pada Arab Saudi tidak melibatkan sebarang keputusan mengenai pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

“Saya boleh memberitahu anda: keputusan mengenai penjualan pesawat Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi tidak ada dalam agenda,” katanya sambil menambah, keputusan untuk tidak menjual pesawat pejuang itu akan kekal sekurang-kurang sehingga tahun 2025.

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berhadapan masalah pada 2018 selepas kerajaan Jerman menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan kejadian penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Typhoon
Pembunuhan wartawan Arab Saudi,Jamal Khashoggi telah menyebabkan United Kingdom dan Jerman menggantung penjualan pesawat pejuang Typhoon pada Riyadh.

 

Urusniaga penjualan pesawat Eurofigher Typhoon kepada Arab Saudi itu berhadapan lebih banyak masalah apabila mahkamah British pada 2019 mengharamkan sebarang eksport senjata kepada negara Arab itu kerana tindakan tenteranya mengebom Yemen.

Bagaimanapun, akibat gencatan senjata di Yemen, Britain kini mahu meneruskan penjualan 48 buah pesawat Eurofighter Typhoon itu, tetapi berhadapan masalah akibat percakaran di antara parti-parti politik yang membentuk kerajaan di Berlin.

Britain memberi tekanan terhadap Jerman supaya bersetuju meneruskan penjualan itu.

London menyatakan Jerman tidak lagi mempunyai alasan untuk menghalang penjualan pesawat pejuang Eurofighter itu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lepas memeterai perjanjian gencatan senjata antara Arab Saudi dan Yemen.

Typhoon
Pesawat Eurofighter Typhoon Jerman

 

Lima tahun lepas, Arab Saudi dan United Kingdom menandatangani Memorandum Niat (Memorandum of Intent) mengenai hasrat negara Arab itu untuk membeli 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, bagi menambah pesawat pejuang itu yang sudah pun berada di dalam pegangannya.

Namun sehingga ini, negara Arab itu masih tertunggu-tunggu sama ada hasratnya untuk memperolehi pesawat pejuang itu akan dapat direalisasikan atau tidak.

Perolehan itu sekiranya berjaya dilaksanakan, akan menjadikan keseluruhan jumlah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Arab Saudi kepada 120 buah, memandangkan Riyadh telah pun memiliki 48 buah pesawat pejuang generasi itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...