Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Arab Saudi “Ubah Selera”, Beralih Dari Dron China Kepada Dron Turkiye

Perubahan “selera” Arab Saudi daripada China kepada Turkiye itu berlaku ketika imej dron-dron bersenjata keluaran syarikat pertahanan kuasa besar Asia itu terjejas berikutan masalah teknikal berpanjangan dan kualiti dron dialami penggunanya, terutama di Timur Tengah.

0 3,588

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa tahun yang lalu, Arab Saudi telah menjalin kerjasama dengan syarikat daripada China, Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) untuk menghasilkan dron-dron bersenjata buatan syarikat dalam negara bagi kegunaan angkatan tentera negara Arab itu.

Sejak bersetuju untuk memperolehi dron-dron buatan China sejurus selepas lawatan Raja Salman ke China pada 2017, kerjasama Riyadh dan Beijing dalam bidang pertahanan telah berkembang.

Hasilnya, China bersetuju untuk membekalkan 300 buah dron bersenjata Wing Loong II kepada Arab Saudi, dengan sebahagian besar daripada dron-dron itu akan dihasilkan oleh industri pertahanan negara Arab kaya-raya itu.

Arab Saudi
“Wing Loong II”

 

Bagaimanapun, “selera” Riyadh terhadap dron-dron bersenjata keluaran China, nampaknya telah berubah kepada dron keluaran Turkiye pula.

Perubahan “selera” Arab Saudi daripada China kepada Turkiye itu berlaku ketika imej dron-dron bersenjata keluaran syarikat pertahanan kuasa besar Asia itu terjejas berikutan masalah teknikal berpanjangan dan kualiti dron dialami penggunanya, terutama di Timur Tengah.

Beberapa negara pengguna dron China di Timur Tengah mengadu bahawa dron terbabit mengalami masalah teknikal dan sukar diselenggara, malah ada di antaranya terhempas ketika beroperasi.

Ada di antara negara pengguna terbabit dilapor telah menghentikan penggunaan dron-dron keluaran China itu.

Pada 18 Julai lepas, Arab Saudi mengumumkan bahawa ia bakal membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu (dron) “Akinci” MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.

Akinci
Dron “Akinci”  yang menjadi pilihan tentera Arab Saudi pula.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bayrkar Tech, Haluk Bayraktar berkata mereka berhadapan dengan saingan yang sengit daripada syarikat-syarikat pembuat dron China dan Amerika Syarikat dalam persaingan di Arab Saudi.

“Terdapat persaingan yang hebat untuk kontrak eksport dan perjanjian kerjasama (dengan Arab Saudi). Meskipun berhadapan dengan saingan daripada China dan Amerika Syarikat, namun dron Akinci telah diumumkan sebagai pemenang,” kata beliau kepada media pertahanan Turkiye.

Pembelian dron Akinci MALE bernilai US$3 bilion oleh Arab Saudi merupakan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye.

Perjanjian “pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye” itu telah ditandatangani ketika Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan melawat Arab Saudi baru-baru ini, tetapi jumlah kontrak dan bilangan dron dibeli Riyadh tidak pernah diumumkan sebelum ini.

Perjanjian perolehan dron itu ditandatangani oleh Baykar Technology dan Kementerian Pertahanan Arab Saudi.

Dan pada 6 Ogos yang lalu pula, syarikat pertahanan Saudi Arabian Military Industries (SAMI) mengumumkan bahawa 70 peratus daripada komponen dron “Akinci” yang bakal diperolehi oleh Arab Saudi itu akan dibuat dalam negara.

Ia adalah sebahagian daripada langkah Arab Saudi untuk meningkatkan kemampuan industri pertahanannya.

Akinci
“Akinci”

 

Selain SAMI yang menandatangani perjanjian dengan syarikat pembuat dron “Akinci”, Baykar Technology, sebuah lagi syarikat Arab Saudi, National Company for Mechanical Systems (NCMS) pula memeterai perjanjian dengan syarikat Aselsan daripada Turkiye yang membina sistem electro-optical bagi dron bersenjata itu.

NCMS turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Roketsan daripada Turkiye, yang menghasilkan sebahagian besar sistem persenjataan dron “Akinci” serta pelbagai sistem persenjataan lain.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Aselsan, kedua-dua pihak akan terlibat dalam usaha menghasilkan dalam bidang electro-optical surveillance, targeting system, guidance kits dan bom-bom pintar yang digunakan oleh dron-dron keluaran syarikat Baykar.

Walaupun dron-dron bersenjata Turkiye berkemungkinan bakal mengambilalih tempat dron-dron China dalam Angkatan Bersenjata Arab Saudi, namun minat Riyadh terhadap senjata-senjata keluaran China dijangka berterusan.

Beberapa bulan lepas, Arab Saudi dan Mesir dilaporkan sedang berbincang dengan Beijing untuk memperolehi  pelbagai sistem persenjataan termasuk pesawat pejuang J-10C buatan syarikat negara itu.

SAMI juga dikatakan sedang berbincang dengan China North Industries Group Corporation (NORINCO) untuk membeli pelbagai jenis sistem persenjataan termasuklah  sistem pesawat tanpa pemandu dan sistem pertahanan udara.

Type 052D
Kapal destroyer Type 052D Tentera Laut China.

 

Angkatan Tentera Arab Saudi bercadang memperolehi sistem pertahanan udara buatan China, HQ-17AE yang sebenarnya adalah berdasarkan kepada sistem pertahanan udara “TOR” yang dibangunkan oleh Russia.

Penganalisis pertahanan di Timur Tengah juga mendakwa Arab Saudi sedang berunding dengan China untuk memperolehi sehingga 12 buah kapal perang destroyer Type 052DE (varian eksport bagi kapal perang Type 052D).

Kapal destroyer Type 052D kelas-Luyang itu merupakan di antara kapal perang paling berkemampuan di dalam armada Tentera Laut China dan seringkali disamakan dengan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

Dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array), Vertical Launch System (VLS) yang berkemampuan melancar pelbagai jenis peluru berpandu dan sistem fire-control termoden, Beijing membangunkan kapal perang Type 052D untuk memberikan saingan kepada kapal-kapal perang kelas-Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang “bersimpang-siur” di Laut China Selatan dan perairan di Indo-Pasifik.

Selain itu, kapal perang Type 052D itu turut dilengkapi dengan 64 buah cell VLS yang berkemampuan melancarkan peluru-peluru berpandu untuk menangani ancaman darat, udara, kapal serta bawah permukaan dibantu oleh radar AESA yang berkuasa tinggi itu. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...