Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Arab Saudi Dilapor “Senyap-Senyap” Peroleh 39 Buah Sistem Pertahanan Udara Pantsir-S1M Dari Russia

Perolehan 39 buah sistem pertahanan udara Pantsir- S1M oleh Arab Saudi itu telah didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan dinamakan Organised Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP), yang memetik laporan dalaman daripada Ruselectronics (Roselektronika).

0 9,862
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Arab Saudi dilaporkan telah secara “senyap-senyap” memperolehi 39 buah sistem pertahanan udara Pantsir-S1M buatan Russia yang dianggarkan bernilai US$2.3 billion (RM10.1 billion).
Perolehan 39 buah sistem pertahanan udara Pantsir- S1M oleh Arab Saudi itu telah didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan dinamakan Organised Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP), yang memetik laporan dalaman daripada Ruselectronics (Roselektronika).
Ruselectronics merupakan anak syarikat kepada syarikat pertahanan Russia, ROSTEC.
Dibawah kontrak, kerajaan Arab Saudi dilaporkan telah bersetuju untuk membayar US$2.3 billion itu kepada syarikat pengeksport senjata Russia, ROSOBORONEXPORT bagi penghantaran 39 buah sistem pertahanan udara Pantsir-S1M itu.
Selain 39 buah sistem pertahanan udara buatan Russia itu, penghantaran turut melibatkan 10 buah post pemerintahan bergerak selain ratus peluru berpandu, kenderaan pengangkut dan sistem komunikasi bagi sistem pertahanan udara itu.
Pantsir
Pantsir 
Dokumen juga mendedahkan bahawa kontrak perolehan sistem pertahanan udara Pantsir-S1M itu telah ditandatangani pada April 20221, dengan bayaran pertama dilakukan pada Ogos tahun yang sama.
Sebahagian daripada sistem pertahanan udara itu mula dihantar kepada Arab Saudi pada 2023, iaitu setahun selepas konflik di antara Russia dengan Ukraine.
Menurut laporan oleh OCCRP itu juga, Arab Saudi turut memberikan akses kepada Russia sistem pertahanan udara Patriot yang dibekalkan kepada Riyadh oleh Amerika Syarikat.
Russia dilaporkan memohon dan dibenarkan untuk melawat lokasi-lokasi sistem pertahanan udara Patriot Arab Saudi itu.
Bagaimanapun penyiasat OCCRP gagal mengesahkan sama ada lawatan oleh pegawai Russia ke lokasi-lokasi sistem pertahanan udara Patriot itu benar-benar berlaku.
Selain perolehan sistem pertahanan udara Pantsir-S1M oleh Arab Saudi itu, Moscow dan Riyadh turut dilaporkan menjalin kerjasama termasuk melibatkan pembinaan pusat penyelenggaraan sistem pertahanan udara itu, pusat latihan pengendalian sistem pertahanan udara dan pembinaan pusat pemasangan sistem pertahanan udara.
Pada Februari tahun lepas, Arab Saudi dilaporkan menjadi negara Teluk ketiga selepas Oman dan Emiriah Arab Bersatu untuk memperolehi sistem pertahana udara Pantsir-S1M.
Menurut media Itali RID yang melaporkan perkara itu, keputusan Arab Saudi membeli sistem pertahanan udara jarak dekat Pantsir-S1M  keluaran Russia itu menunjukkan sistem persenjataan negara itu tetap menjadi pilihan walaupun Moscow dikenakan sekatan ekonomi oleh Washington dan sekutunya berikutan konflik di Ukraine.
Ia bagaimanapun tidak mendedahkan jenis dan varian sistem pertahanan udara Pantsir-S1M yang dibeli oleh Arab Saudi.
Pembelian sistem pertahanan udara jarak dekat Pantsir-S1M oleh Arab Saudi itu juga menggambarkan langkah agresif negara itu untuk mempelbagaikan sistem pertahanannya daripada terlalu bergantung dengan satu-satu sumber seperti Amerika Syarikat.
Pantsir
Sistem pertahanan udara Pantsir
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Riyadh banyak membeli sistem persenjataan daripada sumber-sumber selain daripada Amerika Syarikat termasuk daripada China.
 Sistem pertahanan udara Pantsir-S1M dikatakan telah dinaiktaraf dengan “software” baru serta kemampuan untuk melihat 360 darjah bagi membolehkan ia mengesan dan menangani pelbagai jenis ancaman daripada peluru berpandu, pesawat, helikopter sehinggalah kepada dron-dron kecil yang digunakan oleh tentera Ukraine.
Sistem pertahanan udara jarak dekat Pantsir dikenali sebagai SA-22 Greyhound oleh NATO dilengkapi dengan radar dan sistem elektro-optical yang membolehkan ia mengesan,menjejaki dan membedil sasaran sejauh 36km dan altitude setinggi 15km.
Ia boleh mengesan sebanyak 20 buah sasaran sama ada pesawat atau peluru berpandu serta menangani enam buah sasaran secara serentak.
Kenderaan pelancar sistem Pantsir itu membawa 12 buah peluru berpandu dan meriam yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 4km.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.