Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Unit Khas APMM “STAR” Tahan Kapal Tangki Iran

Kapal-kapal tangki “hantu” dipercayai beroperasi di Selat Singapura membawa minyak-minyak mentah bernilai berbilion dolar Amerika daripada negara-negara yang dikenakan sekatan ekonomi seperti Iran, Russia dan Venezuela, menurut agensi berita Reuters.

10,570

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Unit khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) “STAR” (Special Task and Rescue) telah dikerah untuk menahan sebuah kapal tangki mengibarkan bendera Iran, MT Arman 114 pada Jumaat lalu (7 Julai) kerana terlibat dalam aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia.

Anggota STAR diturunkan menggunakan helikopter ke kapal tangki terbabit dalam usaha untuk memastikan kapal itu yang merupakan Very Large Crude Carrier (VLCC) berhenti.

Sebelum itu, pihak Badan Keamanan Laut Indonesia (BAKAMLA) telah mengesan kegiatan pemindahan minyak secara haram di perairan Batam membabitkan dua buah kapal tangki iaitu, MT Arman 114 dan S.Tinos yang berdaftar di Cameroon.

APMM
Unit khas APMM “STAR” diturunkan menggunakan tali dari helikopter AW139 dalam usaha menahan kapal tangki MT Arman 114. (BAKAMLA)
APMM
BAKAMLA

 

Kapal S.Tinos berjaya meloloskan diri.

Kapal tangki Iran itu dipercayai membawa 272,569 metrik tan minyak mentah dianggarkan bernilai US$304 juta ketika ia ditahan oleh pasukan khas APMM itu.

Sebaik sahaja dikesan melakukan aktiviti haram di perairan Batam itu, kapal tangki MT Arman 114 cuba melarikan ini dengan belayar dan memasuki perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia.

Menyedari kapal tangki Iran itu berada di dalam perairan Malaysia, BAKAMLA telah meminta bantuan APMM untuk menahan kapal itu.

Menggunakan helikopter AW139 milik APMM, anggota pasukan khas STAR telah diturunkan ke atas dek kapal tangki itu dan bertindak menahan anak-anak kapal MT Arman 114.

APMM
(BAKAMLA)
APMM
(BAKAMLA)

 

Selepas berjaya menahan kapal tangki Iran itu, anggota APMM kemudiannya menyerahkannya kepada pihak BAKAMLA untuk tindakan lanjut.

Kapten MT Arman 114 yang merupakan warga Mesir, 28 anak kapal dan tiga penumpang telah ditahan oleh BAKAMLA dan kini berada di Batam.

Menurut data daripada Equasis dan Marine Traffic yang dipetik oleh Reuters, nama lama kapal MT Arman 114 adalah Grace 1.

Kapal Grace 1 pernah ditahan oleh komando Royal Marine pada Julai 2019 kerana dipercayai cuba membawa minyak ke Syria, melanggari sekatan ekonomi oleh Kesatuan Eropah.

Kapal itu dilepaskan selepas berlakunya pertelingkahan diplomatik dengan Iran.

Kapal-kapal tangki “hantu” dipercayai berkumpul di Selat Singapura membawa minyak-minyak mentah daripada negara-negara yang dikenakan sekatan ekonomi seperti Iran, Russia dan Venezuela, menurut Reuters. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.