Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

APMM Harap Kapal OPV 1 Dilancar Oktober Ini, Diserahkan Tahun Depan

"Daripada satu penangguhan kepada penangguhan seterusnya." APMM harap kapal Offshore Patrol Vessel pertama (OPV 1) miliknya akan dapat dilancarkan pada 10 Oktober ini dan diserahkan kepadanya pada tahun depan.

0 2,712

(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Daripada satu penangguhan kepada penangguhan seterusnya, daripada TLDM kepada APMM.”

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya menaruh harapan agar kapal Offshore Patrol Vessel yang pertama (OPV 1) miliknya akan dapat dilancarkan pada 10 Oktober ini.

Kapal OPV 1 yang dinamakan Tun Fatimah itu sepatutnya dilancarkan pada hari ini (13 Sept) sebelum tarikh pelancarannya dilanjutkan kepada 10 Oktober.

APMM
Lakaran grafik kapal OPV milik APMM apabila ia siap kelak.

 

Kapal Maritim Tun Fatimah itu dijangka akan beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali di perairan Sarawak yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal peronda China.

“Kapal OPV 1 yang sepatutnya dilancarkan ke air pada hari ini iaitu 13 September 2022, masih gagal dilakukan kerana kapal masih tidak berjaya dibawa ke lokasi pelancaran.

“Berikutan itu syarikat berkenaan akan mengubah cara pelancaran iaitu daripada Launching Cradle kepada sistem pelancaran Air Balloon dan ia dijangka direalisasikan pada 10 Oktober ini,” katanya Mohd Zubil.

Beliau berkata sekiranya semua berjalan dengan lancar dengan pelancaran itu dapat direalisasikan pada tarikh berkenaan (10 Okt), maka besar kemungkinan kapal OPV 1 itu dapat diserahkan kepada pihak APMM pada awal 2023.

Pelancaran (launching) dan penyerahan (handing over) adalah dua perkara berbeza. Itu belum masih commissioning (pentauliahan) lagi. 

APMM
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Mohd Zubil Mat Som (beret maroon) di depan sekali.

 

APMM telah memeterai perjanjian dengan syarikat tempatan untuk memperolehi tiga buah kapal peronda pesisir pantai bernilai RM740 juta itu pada 2017.

Ketiga-tiga buah kapal OPV itu sepatutnya diserahkan kepada APMM pada 2020, tetapi selepas dua tahun, kapal itu OPV 1, OPV 2 dan OPV 3 masih lagi sedang menjalani kerja-kerja pembinaan.

Kapal OPV 1 sepatutnya dilancar pada Ogos selepas kerajaan memberikan lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat tempatan itu untuk menyelesaikan pembinaan kapal-kapal OPV itu untuk APMM.

Mohd Zubil berkata kapal peronda yang dibina oleh syarikat tempatan, THHE Destini Sdn Bhd itu, masih dalam pembinaan dan berada di Pulau Indah.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua lagi kapal peronda pesisir iaitu OPV 2 dan OPV 3 akan diserahkan kepada pihak APMM secara berperingkat.

APMM
Kapal APMM “shadow” sebuah kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali. 

Apps

 

“Kita berharap ketiga-tiga kapal peronda ini dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia dengan kadar segera walaupun ia sudah dua tahun melewati dari tarikh asal penyerahan.

“Ketiga-tiga kapal OPV ini amat diperlukan oleh pihak Maritim Malaysia pada masa kini bagi menguatkuasakan undang-undang di dalam perairan negara,” katanya.

Ketiga-tiga buah kapal peronda pesisir panta itu berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar dan berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil. 

Kapal OPV yang direkabentuk mengikut rekabentuk kapal Damen 1800 itu berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

Comments
Loading...