Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bilakah Pembinaan Tiga Buah Kapal Peronda APMM Akan Siap?

Ketiga-tiga buah kapal peronda itu bernilai RM740 juta dan kontrak pembinaannya telah dimeterai dengan syarikat tempatan pada tahun 2017.

0 7,313

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sepatutnya menerima tiga buah kapal peronda pesisir pantai (OPV) dua tahun lepas pada 2020, tetapi sehingga kini ia gagal menerima walau sebuah daripada kapal-kapal terbabit.

Ketiga-tiga buah kapal peronda itu bernilai RM740 juta dan kontrak pembinaannya telah dimeterai dengan syarikat tempatan pada tahun 2017.

Apa yang menyebabkan ketiga-tiga buah kapal peronda terbabit gagal diserahkan kepada APMM sehingga ke hari ini? Apakah syarikat akan dikenakan denda kerana lewat menyerahkan kapal-kapal terbabit?

APMM

Apakah kelewatan penyerahan kapal-kapal peronda terbabit telah menjejaskan operasi APMM, apatah lagi agensi itu turut berhadapan dengan masalah keusangan aset yang amat serius (sebagaimana TLDM dan cabang Angkatan Tentera Malaysia yang lain).

Perlukah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memanggil pihak-pihak terbabit untuk memberikan penjelasan tentang kelewatan pembinaan tiga buah kapal peronda APMM ini?

Pada Jun lalu, ketika bercakap kepada media tempatan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim melahirkan harapan bahawa APMM akan menerima satu daripada tiga buah kapal peronda itu pada tahun ini juga.

Beliau tidak memberi tarikh yang spesifik berkenaan penyerahan kapal peronda yang pertama yang dinamakan “Tun Fatimah” kepada APMM itu.

Dua lagi buah kapal peronda itu katanya, bakal diterima oleh APMM pada tahun depan.

“Kita sepatutnya sudah terima tiga kapal OPV lama dulu tetapi disebabkan beberapa masalah tertentu, kita masih belum menerimanya.

APMM

“Insya-Allah, perkara ini (perolehan aset) sedang diatasi dan kita mengharapkan seperti yang dijanjikan kepada pihak APMM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kita akan menerima sebuah OPV tahun ini dan dua lagi OPV pada tahun depan,” katanya sebagaimana dipetik oleh media tempatan.

Sudah pertengahan tahun dan setakat ini, tiada kenyataan lanjut daripada APMM mahupun syarikat tempatan yang bertanggungjawab tentang sebab mengapa ketiga-tiga buah kapal peronda itu mengambil masa yang panjang untuk disiapkan.

Sudah kira-kira lima tahun sejak kontrak ditandatangani, tetapi tiada satu kapal pun yang telah siap dibina sehingga kini.

Mungkin pandemik COVID-19 turut menyebabkan kelewatan pembinaan ketiga-tiga buah kapal itu.

Sebenarnya, seawal Februari tahun ini Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin telah pun menyatakan kepada media tentang masalah berkenaan pembinaan ketiga-tiga buah kapal peronda untuk kegunaan APMM itu.

Katanya,  kapal OPV pertama daripada tiga buah itu sepatutnya diserahkan kepada APMM dua tahun lepas, tetapi tarikh penyerahan kapal-kapal itu mengalami kelewatan disebabkan “ketidakmampuan” syarikat pembuat kapal itu.

APMM
Salah sebuah kapal peronda APMM

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Beliau tidak menjelaskan apa yang dimaksudkannya dengan “ketidakmampuan” itu.

“Walaupun kita sudah memberikan kontrak kepada sebuah syarikat, sepatutnya sudah diperoleh dalam dua tahun lalu, tetapi terlewat kerana tiada kemampuan oleh syarikat itu.

“Jika tidak, kita (sudah) ada tiga kapal baru, tetapi oleh kerana kelewatan mereka, ia tergendala,” katanya Hamzah yang menambah bahawa APMM juga berdepan dengan masalah keusangan aset dengan majoriti kapal-kapalnya berusia lebih 30 tahun, malah ada yang berusia 40 tahun.

Sebagaimana dilaporkan media sebelum ini, APMM sedang membina tiga buah kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar dan berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil. 

Kapal OPV yang direkabentuk mengikut rekabentuk kapal Damen 1800 itu berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.  — DSA

 

Comments
Loading...