Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Anggota Tentera China Lepaskan Tembakan Anti-Pesawat, Cuba Tembak Jatuh MiG-29 Myanmar

(VIDEO) Video yang telah tersebar di platform-platform media sosial baru-baru ini menunjukkan anggota tentera China itu melepaskan tembakan tracer (tracer rounds) terhadap pesawat pejuang Myanmar, yang dipercayai berlaku di kawasan sempadan kedua-dua negara pada 19 Oktober lalu.

0 445
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mengikut laporan di dalam media-media sosial baru-baru ini, anggota tentera China telah melepaskan tembakan anti-pesawat terhadap pesawat pejuang MiG-29 milik Tentera Udara Myanmar yang melakukan serangan udara di sempadan kedua-dua negara.
Laporan itu menyatakan bahawa pesawat pejuang MiG-29 buatan Russia milik Tentera Udara Myanmar itu terlibat dalam operasi pengeboman kubu kumpulan bersenjata anti-kerajaan Myanmar.
Video yang telah tersebar di platform-platform media sosial baru-baru ini menunjukkan anggota tentera China itu melepaskan tembakan tracer (tracer rounds) terhadap pesawat pejuang Myanmar, yang dipercayai berlaku di kawasan sempadan kedua-dua negara pada 19 Oktober lalu.
Pada ketika ini, tidak pasti kumpulan bersenjata manakah yang menjadi sasaran pesawat pejuang Myanmar itu.
Bagaimanapun, kawasan utara Myanmar di sempadan dengan China sememangnya menjadi medan pertempuran antara tentera Myamnar dengan pelbagai kumpulan bersenjata anti-kerajaan yang berjuang untuk mendapatkan otonomi dan hak-hak etnik minoriti.
Antara kumpulan bersenjata anti-kerajaan yang paling besar adalah Kachin Independence Army (KIA) yang mewakili etnik Kachin.
Satu lagi pemain utama di kawasan utara Myanmar adalah United Wa State Army (UWSA) yang turut menguasai sebahagian besar kawasan di utara Wilayah Shan yang turut bersempadan dengan China dan diperakui rapat dengan Beijing.
Walaupun ia telah secara rasi memeterai gencatan senjata rasmi dengan kerajaan Myanmar, namun hubungan di antara kedua-dua pihak tetap tegang dan keganasan boleh tercetus pada bila-bila masa.
UWSA merupakan kumpulan bersenjata yang dilengkapi dengan senjata moden dan teratur.
Satu lagi kumpulan bersenjata yang berjuang menentang kerajaan tentera Myanmar dikenali dengan nama, Ta’ang National Liberation Army (TNLA) yang mewakili etnik Ta’ang serta Arakan Army yang berjuang menentang tentera kerajaan di bahagian barat Myanmar.
Kachin
Kumpulan pemberontak Kachin Independence Army (KIA) bersama mesingan berat yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat dan helikopter tentera Myanmar. (gambar Getty Images)
China menafikan bahawa ia mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan-kumpulan bersenjata anti-kerajaan di Myanmar, malah Beijing mengekalkan hubungan rapat dengan kerajaan pusat di Naypyidaw bagi menjaga kepentingan ekonomi dan strategiknya di negara Asia Tenggara itu.
Penganalisis ketenteraan percaya bahawa Beijing mengekalkan pengaruhnya terhadap kumpulan-kumpulan bersenjata anti-kerajaan itu untuk membolehkan ia menjaga kepentingannya terutama di kawasan-kawasan sempadan kedua-dua negara itu.
Terdapat juga dakwaan mengatakan bahawa China dan Kachin Independence Army (KIA) mempunyai hubungan terus terutamanya membabitkan pengedaran senjata-senjata haram dan perdagangan di antara kedua-dua pihak.
Walaupun dinafikan oleh Beijing, tetapi KIA dikatakan sering mendapatkan bekalan senjatanya daripada China.
Penggunaan pesawat-pesawat MiG-29 milik Tentera Udara Myanmar terhadap misi pengeboman di sempadan bukanlah pertama kali, malah negara itu kerapkali menggunakan pesawat pejuang buatan Russia yang diperolehinya pada pertengahan tahun 2000-an di kawasan sempadan Myanmar-China.
Helikopter Myanmar
Helikopter Mil Mi-35 milik Tentera Udara Myanmar.
JF-17
Pesawat pejuang JF-17 Myanmar
Myanmar memperolehi pesawat-pesawat pejuang MiG-29 sebagai sebahagian daripada usaha pemodenan tentera udaranya.
Selain pesawat-pesawat pejuang MiG-29, Tentera Udara Myanmar juga dilaporkan telah menerima dua daripada enam buah pesawat pejuang Su-30SME daripada Russia yang kini muncul sebagai negara pembekal senjata paling utama kepada kerajaan di Naypyidaw.
Selain itu Tentera Udara Myanmar juga memiliki 16 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkan secara bersemada di antara Pakistan dan China.
Tentera Udara Myanmar juga menggunakan beberapa jenis pesawat pejuang buatan China yang telah berusia. — DSA

Comments
Loading...