Anggota 10 Briged (Para) Malaysia Laksana Demo Penembakan Senjata Anti-Kereta Kebal NLAW
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan mula memperolehi senjata anti-kereta kebal NLAW itu beberapa tahun lepas tetapi perolehan itu tidak pernah diumumkan secara terbuka.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam Eksesais Iron Shield Siri 10/24 yang dilaksanakan baru-baru ini, anggota 10 Briged (Para) Tentera Darat Malaysia dilihat mengadakan demonstrasi senjata anti-kereta kebal Next Generation Light Anti-Tank Weapon (NLAW).
Anggota 10 Briged (Para) terbabit mengadakan demonstrasi senjata anti-kereta kebal terbabit di Lapang Sasar OP 3 di Kem Asahan, Gemas.
Eksesais Iron Shield yang berlangsung daripada 3 hingga 16 Disember itu melibatkan empat pegawai dan 82 anggota Lain-Lain Pangkat.
Objektif eksesais itu adalah untuk menguji tahap kompetensi dan kepakaran khusus (Key Task List) pasukan dalam membantu operasi Battle Group 10 Bgd (Para) sebagai Pasukan Atur Cepat (PAC).
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan mula memperolehi senjata anti-kereta kebal NLAW itu beberapa tahun lepas tetapi perolehan itu tidak pernah diumumkan secara terbuka.

ATM dipercayai memperolehi ratusan unit senjata anti-kereta kebal NLAW itu untuk kegunaan pelbagai unit-unitnya termasuk 10 Briged (Para) dan pasukan khas, GGK.
Senjata anti-kereta kebal NLAW yang juga dikenali Main Battle Tank and Light Anti-Tank Weapon (MBT LAW) itu dibangunkan oleh syarikat Sweden, Saab.
NLAW itu juga banyak digunakan oleh anggota tentera Ukraine untuk memusnahkan kereta-kereta kebal dan perisai milik Tentera Russia.
Penganalisis pertahanan Barat mendakwa NLAW yang dibekalkan kepada tentera Ukraine telah berjaya menyebabkan kemusnahan dan kerosakan terhadap ratusan kenderaan armor tentera Russia sehingga mengakibatkan kemaraan mereka di medan perang amat perlahan.
Mereka juga didakwa bahawa NLAW dan dibantu oleh senjata anti-armor lain yang dibekalkan oleh negara-negara Barat telah berjaya mengubah kedudukan di medan perang untuk memihak kepada pihak Ukraine.
Bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), walaupun tiada pengesahan rasmi tetapi ia dikatakan adalah di antara angkatan tentera di Asia Tenggara yang terawal menggunakan sistem persenjataan anti-armor NLAW.
Unit-unit Tentera Darat Malayssia termasuk Grup Gerak Khas (GGK) dan 10 Briged (Para) dikatakan menggunakan senjata anti-kereta kebal, NLAW sejak 2018 hasil daripada pesanan yang dibuat kepada syarikat Saab Bofors Dynamics pada 2016.
ATM melakukan perolehan NLAW bagi menggantikan sistem anti-armor jarak dekat “Eryx” yang telah pun ditamatkan perkhidmatannya.
Disebabkan sistem NLAW ini tidak terlalu berat iaitu hanya kira-kira 12 kilogram dan mudah dioperasikan kerana konsep “fire and forget” menyebabkan ia menjadi pilihan untuk dihantar ke Ukraine untuk digunakan oleh tentera negara itu.
NLAW boleh melancarkan projectile sehingga 600 meter jauh walaupun jarak operasi maksimum tembakannya boleh mencecah sehingga 1,000 meter.

Antara sebab utama menyebabkan NLAW ini adalah sistem anti-armor yang berkesan adalah kerana ia boleh menggunakan mod Overfly Top Attack (OTA) di mana projectile akan membedil kawasan atas kereta kebal dimana lapisan armornya adalah paling nipis.
Selain OTA, NLAW juga boleh digunakan dalam mod Direct Attack (DA) untuk membedil kenderaan perisai lain atau kubu-kubu pertahanan.
Sistem Next Generation Light Anti-Tank Weapon (NLAW) diakui sangat berkesan kerana keupayaan “fire-and-forget”, reka bentuk ringan, dan mod sasaran berganda.
Sistem pelancaran “soft launch” NLAW membolehkan ia ditembak dari ruang tertutup, meningkatkan keberkesanan dalam pertempuran bandar.
Dengan jarak tembakan sehingga 1,000 meter, ia tepat dan mudah dikendalikan oleh seorang anggota sahaja.
Keberkesanannya telah terbukti di Ukraine, di mana ratusan kenderaan berperisai telah dimusnahkan, memberi impak besar dalam mengekang kemaraan tentera Russia.
