(VIDEO) Kapal LCS 2 TLDM Selesai Jalani Proses Mengecat Tahap Pertama

“Littoral Combat Ship 2 telah berjaya menyelesaikan proses blasting dan proses mengecat tahap pertama, menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pembinaannya." -- LUNAS
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal kedua Littoral Combat Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menyelesaikan proses mengecat tahap pertama, menurut laporan media sosial syarikat pembuat kapal itu, Lumut Naval Shipyard (LUNAS).
Proses mengecat tahap pertama itu membolehkan kerja-kerja selanjutnya dilakukan untuk menyiapkan kapal perang itu.
“Littoral Combat Ship 2 telah berjaya menyelesaikan proses blasting dan proses mengecat tahap pertama, menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pembinaannya. Kapal ini akan seterusnya menjalani persediaan permukaan (surface preparation) dan aplikasi salutan tambahan bagi memastikan semua kawasan kritikal memenuhi standard yang ditetapkan.”
“Prosedur penting ini memastikan permukaan kapal bersedia untuk peringkat seterusnya, di mana lapisan salutan tambahan akan digunakan dengan teliti bagi meningkatkan ketahanan dan keupayaan dalam keadaan maritim yang mencabar.”
“Kemajuan ini membawa kita lebih dekat kepada penyempurnaan LCS 2 yang dinanti-nantikan,” menurut LUNAS.
Kapal LCS 2 ini dijangka dinamakan “Raja Muda Nala.”
Proses blasting dan proses pengecatan adalah prosedur kritikal dalam industri seperti pembinaan kapal, melibatkan proses yang teliti dan boleh mengambil masa bergantung kepada saiz kapal, keadaan permukaannya serta keperluan projek.
Proses ini merangkumi pembersihan permukaan melalui abrasive blasting bagi menghilangkan karat, lapisan lama dan bahan cemar, diikuti dengan aplikasi lapisan pelindung secara berperingkat, termasuk lapisan primer, pertengahan dan topcoats.
 Langkah ini bertujuan memastikan ketahanan, rintangan hakisan dan mempertingkatkan kualiti kemasan.
Bagi kapal besar seperti Littoral Combat Ship, proses ini kebiasaannya mengambil masa antara empat hingga enam minggu untuk menyiapkan satu lapisan cat.
Pada masa ini, LCS2 telah disalut dengan cat primer dan lapisan tambahan akan digunakan secara berperingkat dari semasa ke semasa.
” Raja Muda Nala”
LCS 2
Pada 20 Dis lepas, pihak LUNAS telah menyiarkan video di platform media sosialnya yang memaparkan keadaan terkini kapal Littoral Combat Ship 1 (LCS 1) “Maharaja Lela.”
Daripada video di platform media sosial LUNAS itu, kapal LCS 1 “Maharaja Lela” itu nampaknya seakan-akan sudah bersedia untuk memulakan fasa Harbour Acceptance Trial (HAT), yang dijangka akan bermula tidak lama lagi.
HAT adalah fasa penting dalam proses penerimaan dan pengujian kapal perang, dilakukan semasa kapal masih berada di pelabuhan atau limbungan.
HAT bertujuan untuk memastikan sistem dan peralatan kapal berfungsi dengan baik dan mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan sebelum kapal menjalani ujian laut (Sea Acceptance Trial, SAT).
Bercakap di Parlimen baru-baru ini, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata,  status kemajuan semasa kapal LCS 1 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pertama “Maharaja Lela” sehingga 25 Oktober lepas adalah 70.10 peratus.

Kapal LCS pertama “Maharaja Lela”
“Berdasarkan perancangan perbatuan (milestones) terkandung dalam kontrak yang ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal LCS pertama akan dapat disiapkan pada hujung tahun ini sebelum ia menjalani ujian seperti Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh TLDM untuk tempoh dua tahun.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga dilaporkan berkata bahawa, mengikut perancangan kapal LCS yang pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada bulan Ogos 2026 selepas menjalani HAT dan SAT.
Bagi kapal LCS kedua, status kemajuan pembinaannya sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pertahanan pada Jun lalu telah pun mencapai 64.66 peratus, LCS ketiga pula berada pada tahap 56.48 peratus, manakala LCS keempat pada tahap 51.10 peratus, dan kapal LCS kelima pada tahap 42.33 peratus.
Kementerian Pertahanan katanya menaruh keyakinan bahawa projek pembinaan lima kapal LCS bernilai lebih RM11 billion itu akan dapat diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh masa yang telah dirancangkan secara berperingkat mulai Ogos 2026. — DSA 
 

 

featuredKapalLCSLUNAS
Comments (0)
Add Comment