UAE Beli Pesawat FLIT/LCA “L-15” Dari China, Bakal Buat Amerika “Marah”

Cadangan pembelian pesawat FLIT/LCA daripada China oleh UAE itu dijangka akan memburukkan lagi hubungan di antara UAE dan Amerika Syarikat,selepas Washington bertindak melengah-lengahkan penjualan pesawat generasi kelima F-35 kepada negara negara Teluk itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) merancang untuk memeterai kontrak untuk membeli 12 buah pesawat Fighter Lead In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) jenis “L-15 Hongdu” buatan China.

UAE akan menambah pegangan pesawat itu kepada 36 buah pesawat L-15 pada masa depan.

“Kami telah berada di peringkat akhir perbincangan dengan pihak China. Kontrak akhir akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak dalam jangkamasa terdekat,” menurut Tareq Al Hosani, Ketua Eksekutif kepada Tawazun Economic Council.

Beliau mengatakan bahawa pesawat tersebut memiliki teknologi canggih.

Cadangan pembelian pesawat FLIT/LCA daripada China oleh UAE itu dijangka akan memburukkan lagi hubungan di antara UAE dan Amerika Syarikat,selepas Washington bertindak melengah-lengahkan penjualan pesawat generasi kelima F-35 kepada negara negara Teluk itu.

Selepas Amerika Syarikat melengahkan penjualan F-35 kepada UAE, negara Teluk itu mengambil keputusan untuk membeli 80 buah pesawat Rafale daripada Perancis.

Pihak UAE dijangka membeli pesawat FLIT/LCA itu daripada China National Aero-Technology Import and Export Corporation (CATIC).

Buat masa ini, tidak diketahui nilai pembelian pesawat FLIT/LCA oleh UAE itu tetapi pesawat L-15 itu dianggarkan bernilai di antara US$10 juta hingga US$15 juta per-unit, menurut maklumat daripada pihak industri.

Nilai per-unit pesawat pejuang itu menjadikan ia lebih murah berbanding pesawat-pesawat pejuang lain buatan syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan Eropah.

Pesawat L-15 itu disifatkan oleh pemerhati sebagai antara terbaik didalam kelasnya.

Mula diperkenalkan pada 2006, varian terkini pesawat itu, L-15B mempunyai kemampuan untuk membawa sehingga 4 tan peluru berpandu dan bom, dengan kokpit bagi juruterbang pelatih ditukar kepada Weapon System Officer (WSO).

Bagi pasaran eksport, pesawat ini dikenali sebagai L-15 tetapi di China ia dikenali sebagai JL-10.

Selain digunakan oleh Tentera Udara China, pesawat L-15 turut digunakan oleh Tentera Udara Zambia dengan syarikat CATIC turut berusaha untuk menjual pesawat FLIT/LCA itu kepada negara-negara lain.

Menurut laporan, Argentina dan Venezuela yang berhadapan dengan sekatan ekonomi termasuk daripada Amerika Syarikat telah menunjukkan minat untuk memiliki pesawat L-15.

Antara negara yang kini menjadi sasaran CATIC untuk menjadi pelanggan terbaru L-15 adalah Malaysia yang bercadang memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesawat L-15 merupakan salah satu daripada pesawat yang bersaing dalam tender Kementerian Pertahanan Malaysia untuk memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA dianggarkan bernilai RM4 bilion.

Malaysia dijangka memutuskan pesawat FLIT/LCA yang akan dibeli pada tahun ini. — DSA

 

 

 

AmerikaCATICfeaturedL-15UAE
Comments (0)
Add Comment