Jepun Semakin “Garang”, Perlengkap Kapal Perang Aegis Dengan Tomahawk Block-5

Mengikut sumber-sumber menyatakan pada akhbar Jepun, Japan Times, negara Matahari Terbit itu mahu memperolehi “Tomahawk Block 5”, yang merupakan varian terkini peluru berpandu kruis jarak jauh yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Amerika Syarikat,Raytheon. “Tomahawk Block-5” mempunyai kemampuan menyerang kedudukan musuh sejauh 1,600km.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi menangani sikap “agresif” China dan Korea Utara, kerajaan Jepun dilapor bakal menaiktaraf kelapan-lapan buah kapal perang Aegis miliknya untuk dilengkapkan dengan peluru berpandu kruis “Tomahawk” menjelang tahun 2027.

Tindakan melengkapkan kapal-kapal perang itu dengan peluru berpandu kruis “Tomahawk” adalah untuk memberikan Jepun kemampuan melakukan serangan (counterstrike capability) terhadap sasaran-sasaran jauh di dalam kedua-dua buah negara “musuh” itu.

Mengikut sumber-sumber menyatakan pada akhbar Jepun, Japan Times, negara Matahari Terbit itu mahu memperolehi “Tomahawk Block 5”, yang merupakan varian terkini peluru berpandu kruis jarak jauh yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Amerika Syarikat,Raytheon.

Kapal perang Aegis Jepun

 

“Tomahawk Block-5” mempunyai kemampuan menyerang kedudukan musuh sejauh 1,600km.

Jepun sebelum ini telah pun dilaporkan menyedia peruntukan sebanyak US$1.6 bilion (RM7.2 bilion) dalam belanjawan tahun 2023 bermula April lepas untuk membeli sebanyak 400 butir peluru berpandu “Tomahawk” untuk kegunaan angkatan tenteranya.

Usah-usaha mengubahsuai kapal-kapal perang yang terlibat dengan sistem Vertical Launch (VLS) untuk melancarkan peluru berpandu “Tomahawk” dijangka akan bermula pada tahun depan.

Pada ketika ini, dua buah kapal perang Aegis milik Tentera Laut Jepun (Japan Maritime Self Defense Force) berpengkalan di Pangkalan Laut Yokosuka di Kanagawa Prefecture, manakala  dua lagi Pangkalan Laut di Maizuru di Kyoto Prefecture dan selebihnya empat buah Pangkalan Laut Sasebo di Nagasaki Prefecture.

Selain lapan buah kapal perang Aegis sedia ada miliknya, Jepun juga bercadang membina dua buah lagi kapal perang Aegis menjelang tahun 2032.

Selepas membatalkan rancangan untuk membina sistem pertahanan Aegis di darat, Tokyo juga merancang untuk membina dua buah kapal perang tambahan pada 2028.

Selain memiliki peluru berpandu kruis “Tomahawk”,  Jepun juga merancang untuk membangunkan 1,000 peluru berpandu “Type 12”.

Tokyo dilaporkan akan menaiktaraf peluru berpandu anti-kapal buatan tempatan, “Type 12” kepada peluru berpandu kruis jarak jauh bagi membolehkan ia mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran sehingga sejauh 1,000km.

Peluru berpandu Type 12 yang dibangunkan oleh Mitsubishi Heavy Industries (MHI) akan dinaiktaraf daripada sekadar peluru berpandu anti-kapal kepada peluru berpandu kruis jarak jauh.

Pada ketika ini, jarak maksima peluru berpandu Type 12 milik Jepun hanya mampu membedil sasaran sejauh 200km.

Tentera Jepun merancang untuk melengkapkan peluru-peluru berpandu Type 12 yang telah dinaiktaraf itu di kapal-kapal perangnya atau pesawat pejuang serta beberapa pulau yang terletak berhampiran dengan China.

Peluru berpandu Type 12 akan menjadi keperluan asas di dalam Strategi Keselamatan Kebangsaan Jepun yang baru.

Tindakan perolehan peluru berpandu “Tomahawk” dan menaiktaraf peluru berpandu Type 12 miliknya sendiri itu bertujuan untuk mempertingkatkan kemampuan deterren Tokyo dalam berhadapan dengan ketidakstabilan di rantau Indo-Pasifik akibat sikap agresif tentera China.

Menurut laporan media tempatan, Jepun pernah cuba mendapatkan peluru berpandu Tomahawk pada 2013 ketika Amerika Syarikat ditadbir oleh Presiden Barack Obama tetapi ia tolak kerana bimbang perolehan sistem itu akan menjejaskan hubungan Jepun dengan China dan Korea Selatan.

Menurut akhbar Jepun, Yomiuri Shimbun, Amerika Syarikat kini lebih positif terhadap permintaan Jepun supaya dibekalkan dengan peluru berpandu Tomahawk bagi membolehkan ia memiliki keupayaan untuk menyerang-balas dan memusnahkan pangkalan-pangkalan pelancaran peluru berpandu pihak musuh.

Tokyo mahu menggunakan peluru berpandu Tomahawk sebagai senjata untuk menyerang-balas musuhnya (counter-strike).

Dilaporkan Jepun mahu memperolehi peluru-peluru berpandu Tomahawk itu menerusi Foreign Military Sales (FMS) oleh Angkatan Tentera Jepun (Japan Self-Defense Force) yang pada ketika ini telah pun memiliki sistem pelancar vertical, Mk -41. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AegisfeaturedJepunKapal PerangTomahawk
Comments (0)
Add Comment