(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tender sistem meriam bergerak (self-propelled howitzer-SPH) untuk Tentera Darat telah ditutup baru-baru ini dan pemenangnya bakal diketahui tidak lama lagi, berkemungkinan besar semasa pameran Defence Services Asia 2024 yang akan berlangsung pada Mei ini.
Bagaimanapun sejak beberapa hari ini, banyak kedengaran “suara-suara” mengatakan bahawa calon “kegemaran” page-page pertahanan media sosial tempatan iaitu – sistem 155mm CAESAR dibangunkan oleh firma NEXTER daripada Perancis berada diambang “kemenangan” persaingan kontrak Kementerian Pertahanan itu.
Baiklah, itu pandangan mereka dan kita di Defence Security Asia menghormatinya.
Selain CAESAR, sistem SPH “Yavuz” 155mm 52cal yang dibangunkan oleh konglomerat pertahanan Turkiye, MKE (MKE tawar pakej yang amat menarik) turut bersaing hebat bersama-sama beberapa sistem SPH lain yang turut menyertai tender oleh Kementerian Pertahanan itu.
Bagaimanapun dalam artikel hari ini, admin secara “tiba-tiba” terasa ingin menulis tentang satu lagi sistem SPH yang turut bersaing dalam tender Kementerian Pertahanan iaitu — “EVA” yang dibangunkan oleh sebuah syarikat pertahanan daripada Slovakia.
Mengapa admin secara “tiba-tiba” mahu menulis artikel tentang sistem SPH “EVA” ini? Hahahah…sukar untuk dijelaskan
Pada pertengahan September 2022, sebuah portal pertahanan antarabangsa mendakwa bahawa Kementerian Pertahanan Malaysia sedang berunding untuk memperolehi sistem meriam bergerak (self-propelled howitzer) “EVA” yang dibangunkan oleh sebuah syarikat Slovakia.
Portal pertahanan memetik artikel yang diterbitkan oleh sebuah badan pemikir Slovakia dipanggil Institute for Central Europe (ICE) sebagai sumbernya.
Menurut artikel yang diterbitkan oleh badan pemikir Eropah itu, perjanjian bagi perolehan di antara 16 hingga 18 buah unit “EVA” dijangka dimeterai dengan syarikat pertahanan Slovakia, Konstrukta Defence tidak lama lagi.
Di dalam artikel yang diterbitkan oleh ICE itu, portal itu juga berkata bahawa spesifikasi terakhir bagi perolehan sistem itu oleh Malaysia masih belum dimuktamadkan dan maklumat berkenaan kemungkinan pengeluaran berlesen masih belum didedahkan pada ketika itu.
Sistem meriam bergerak “EVA” yang dibangunkan oleh Konstrukta Defence itu, dengan separuh daripada kos pembangunan sistem meriam itu dibiayai oleh Kementerian Pertahanan Slovakia.
Sistem “Eva” itu hanya didedahkan pada awam pada tahun 2015.
Ia adalah berdasarkan kepada kenderaan Tatra T810 6×6 dan menggunakan meriam 155mm/L52 dan ia mampu membedil semua peluru mengikut standard NATO.
Sistem meriam bergerak 155mm 52 Cal “EVA” adalah sistem artileri yang otonomi dengan sistem pengisi peluru otomatik bagi memberikan ia kemampuan menembak berkesan dengan penentuan sasaran secara langsung atau tidak langsung.
Rekabentuknya adalah berdasarkan kepada meriam bergerak 155mm 52 Cal yang telah terbukti keberkesanannya. Ia juga telah diuji dengan ekstensif dan secara teliti serta mencabar di Slovakia dan negara-negara luar.
Antara ciri-ciri paling utara sistem meriam bergerak “EVA” adalah kemampuan mobilitinya yang tinggi berikutan berat meriamnya.
Ciri-ciri yang lain adalah perlindungan untuk krewnya daripada senjata infantri, serangan jarak jauh, penyediaan sistem yang cepat serta penembakan yang tepat dan kemampuan untuk melaksanakan penembakan secara “Multiple Round Simultaneous Impact” (MRSI).
Sistem meriam bergerak “EVA” yang dikatakan dibangunkan di dalam tempoh 9 bulan sahaja itu, boleh melepaskan lima tembakan dalam satu minit, sembilan tembakan dalam dua minit atau 12 tembakan dalam tempoh tiga minit.
Jika menggunakan peluru Rocket-Assisted Projectile (RAP), meriam boleh melepaskan bedilan sejauh 41km.
Menggunakan kenderaan seberat 22 tan, sistem “Eva” itu dikendalikan oleh tiga orang krew iaitu komander, gunner dan pemandu.
Sistem meriam juga dilengkapi dengan Fire Control System (FCS) yang prinsip utamanya adalah mengurus keperluan teknikal dan memantau aktiviti sistem itu, selain memastikan sistem memperolehi data-data lain seperti topografi, balistik untuk tujuan pengiraan element penembakan.
Untuk benar-benar mengetahui siapa pemenang tender bagi 18 unit sistem SPH Tentera Darat itu, admin merasakan jawapan rasmi akan hanya muncul pada pameran DSA 2024 pada bulan Mei ini.
Sama-samalah kita nantikan, hahaha.– DSA
(LAGI ARTIKEL TENTANG SISTEM MERIAM BERGERAK)