Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sebahagian Meriam SPH Bakal Diperolehi Tentera Darat Ditempatkan di Sabah

Sumber memberitahu Defence Security Asia bahawa persaingan sengit bagi membekalkan 18 buah meriam SPH 155mm 52cal kepada Tentera Darat adalah diantara “Yavuv”  daripada Turkiye dan “CAESAR” daripada Perancis.

0 10,336

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebahagian daripada meriam bergerak 155mm (wheeled Self Propelled Howitzer) yang bakal diperolehi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun depan akan ditempatkan di Sabah, menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bercakap di Dewan Negara hari ini, penempatan meriam bergerak 155mm yang sedang di dalam proses perolehan di Sabah itu akan memperkasakan ketumbukan tentera darat di Sabah.

“Perolehan Self Propelled Howitzer (SPH) kita…, sebahagian daripada SPH itu akan ditempatkan di Sabah untuk kita perkasakan ketumbukan tentera darat kita di Sabah,” kata beliau, sambil menambah, ATM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kawalan keselamatan di negeri terbabit.

Pada ketika ini, tentera darat negara hanya dilengkapi dengan meriam-meriam ditunda (towed howitzer) daripada kaliber 105mm dan 155mm.

Perolehan meriam bergerak SPH 155mm itu sudah semestinya akan meningkatkan lagi kuasa tembakan tentera darat.

Tok Mat
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan

 

Selain itu, kata Menteri Pertahanan lagi, pembinaan Kem Felda Sahabat di Lahad Datu bernilai RM547 juta akan bermula tidak lama lagi dan dijangka siap pada tahun 2027, manakala tender bagi pembinaan baru Kem Paradise di Kota Belud dijangka akan dianugerah pada Sept tahun depan.

Pembinaan baru Kem Paradise bernilai RM584 juta dijangka akan disiap dalam tempoh 36 bulan pada 2027.

Mohamad juga berkata bahawa ATM menerima cadangan daripada ESSCOM untuk menghantar anggota tentera bagi bertugas di pos kawalan di Pulau Ligitan.

“Bagaimanapun kita memohon supaya kerajaan negeri Sabah membina pos kawalan itu supaya kita boleh menempatkan anggota tentera.”

Sementara itu sumber-sumber industri memaklumkan kepada Defence Security Asia bahawa Kementerian Pertahanan sedang menilai lima buah sistem SPH keluaran pelbagai syarikat luar negara untuk dipertimbangkan .

Proses penilaian sistem-sistem SPH yang bersaing masih diperingkat awal dengan keputusan akhir dijangka akan dibuat pada tahun depan.

Tok Mat
Menteri Pertahanan bersalaman dengan pegawai kanan agensi pertahanan Turkiye ketika melakukan lawatan ke negara itu pertengahan tahun ini. (kredit FB Tok Mat)

 

Namun sumber memberitahu Defence Security Asia bahawa persaingan sengit bagi membekalkan 18 buah meriam SPH 155mm 52cal kepada Tentera Darat adalah diantara “Yavuv”  daripada  Turkiye dan “CAESAR” daripada Perancis.

SPH “Yavuv” 155mm dibangunkan oleh konglomerat pertahanan Turkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE) manakala “CAESAR” pula dibangunkan oleh syarikat pertahanan Perancis, NEXTER Systems.

“Persaingan sengit adalah di antara kedua-dua sistem itu.”

Sebelum ini, Defence Security Asia melaporkan bahawa pakej yang ditawarkan oleh pihak Turkiye itu adalah amat menarik, sekiranya Kementerian Pertahanan memilih sistem “Yavuv” 155mm 52 cal itu.

Difahamkan, tawaran-tawaran tersebut meliputi meliputi pemberian secara percuma sejumlah pesawat tanpa pemandu taktikal (tactical unmanned aerial vehicle – TUAV) untuk digunakan bersama sistem artilleri itu bergerak keluaran Turkiye itu.

Yavuz
Sistem meriam bergerak “Yavuz” 155mm 52 cal .

 

“Tentera Darat dicadang menerima secara percuma sembilan buah sistem pesawat tanpa pemandu taktikal itu. Setiap satu sistem terdiri daripada dua buah pesawat tanpa pemandu, menjadikan keseluruhannya 18 buah pesawat tanpa pemandu beserta peralatan-peralatan sokongan yang lain.”

“Sistem pesawat tanpa pemandu taktikal itu akan digandingkan dengan meriam SPH “Yavuz” bagi memastikan meriam SPH itu dapat menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan,” kata sumber Defence Security Asia sebelum ini.

Konflik Russia-Ukraine pada ketika ini menyaksikan kedua-dua tentera menggunakan pesawat tanpa pemandu taktikal bersama sistem artilleri bagi memastikan mereka mempunyai “eyes in the sky” untuk mengenalpasti dan membedil sasaran di darat dengan lebih tepat.

“Sistem pesawat tanpa pemandu yang bergandingan dengan sistem artilleri akan membolehkan pengendali mengesan sasaran-sasaran yang cuba berselindung di bukit-bukit, di bangunan atau bawah-bawah pokok.”

“Mereka (sistem TUAV) juga dapat melihat dengan jelas di mana peluru-peluru artilleri itu meletup dan mengubahsuai koordinat bagi memastikan bedilan-bedilan seterusnya tepat mengenai sasaran,” menurut sumber kepada Defence Security Asia. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...