Sweden Pertingkat Kemampuan Serangan Jarak Jauh Gripen, Lengkapi Dengan Taurus KEPD-350

Keputusan ini berkemungkinan menjadi sebahagian daripada usaha lebih luas Sweden untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenteranya di tengah-tengah kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat berhubung ancaman  daripada Russia.
Sweden Pertingkat Kemampuan Serangan Jarak Jauh Gripen, Lengkapi Dengan Taurus KEPD-350
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sweden telah mengambil langkah untuk meningkatkan kemampuan serangan jarak jauh tentera udaranya dengan memilih untuk melengkapkan pesawat pejuang Gripen miliknya dengan peluru berpandu kruis Taurus KEPD-350.
Ini merupakan kali pertama Sweden memutuskan untuk memperoleh peluru berpandu serangan dengan keupayaan jarak jauh seperti ini.
Keputusan ini berkemungkinan menjadi sebahagian daripada usaha lebih luas Sweden untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenteranya di tengah-tengah kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat berhubung ancaman  daripada Russia.
Selain itu, terdapat spekulasi sebelum ini bahawa Sweden berhasrat menyerahkan pesawat pejuang Gripen kepada Ukraine untuk digunakan bagi menangani pencerobohan tentera Russia.
Agensi perolehan senjata Sweden, FMV telah dipertanggungjawab untuk memperolehi peluru-peluru berpandu kruis Taurus KEPD-350 itu daripada Jerman dan mengintegrasinya dengan pesawat-pesawat pejuang Gripen.
Perkara ini terkandung dalam laporan tahunan Kementerian Pertahanan Sweden yang menerangkan tentang perolehan sistem pertahanan jarak jauh.
Saab Group
JAS39 Gripen-E 
Laporan itu menyatakan bahawa peluru berpandu kruis Taurus itu akan diintegrasikan dengan pesawat pejuang JAS39C Gripen, dengan jangkaan bahawa peluru berpandu itu akan mula dioperasikan oleh pesawat pejuang terbabit pada 2028.
Integrasi ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada perintah naik taraf blok bagi JAS 39 C/D dan merangkumi sistem sokongan serta perancangan yang diperlukan untuk sistem senjata.
Fasa kedua program ini akan menyaksikan peluru berpandu tersebut diintegrasikan ke dalam varian JAS 39E Gripen yang lebih baru di bawah program MS23, sekali gus memperluaskan keupayaan serangan Sweden dalam tahun-tahun akan datang.
FMV telah memulakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Jerman dan telah menugaskan syarikat aeroangkasa Sweden, SAAB AB, untuk menjalankan kajian integrasi yang diperlukan bagi memastikan kejayaan penempatan sistem senjata baru ini.
Mats Helgesson, bekas Ketua Tentera Udara Sweden, menekankan kelebihan strategik peluru berpandu Taurus dalam satu komentar di sebuah akhbar tempatan.
Beliau menjelaskan bahawa pasukan Sweden akan dapat menyerang sasaran jauh di dalam wilayah Russia tanpa perlu memasuki ruang udara musuh secara langsung.
“TAURUS”
Anggota tentera Korea Selatan melengkapkan pesawat pejuang F-15K negara itu dengan peluru berpandu kruis TAURUS.
Berbanding serangan pengeboman tradisional yang memerlukan jarak dekat, juruterbang boleh melancarkan peluru berpandu ini dari ruang udara Sweden, sekali gus mengurangkan risiko kepada pesawat dan anak kapal.
Dengan jarak operasi melebihi 500 kilometer, Taurus akan memperkenalkan keupayaan baharu yang signifikan kepada Tentera Udara Sweden.
“Ini adalah sesuatu yang telah lama diinginkan oleh Tentera Udara. Ia membolehkan kita mencapai sasaran di kawasan yang lebih dalam. Pihak lawan sudah pun memiliki senjata seperti ini, jadi kita berada dalam keadaan yang tidak seimbang jika tidak memilikinya,” tambah Helgesson.
Integrasi peluru berpandu ini dengan pesawat pejuang Gripen dijangka memperluaskan jangkauan operasi Sweden di rantau Baltik.
“Terutama jika, sebagai contoh, anda boleh terbang sehingga ke kawasan Baltik-Rusia. Ini membolehkan anda mencapai jauh ke dalam wilayah Russia,” kata Helgesson.
Keupayaan untuk menyerang kedudukan musuh dari jarak selamat amat bernilai dalam peperangan moden, di mana sistem pertahanan udara semakin canggih dan berkesan.
Peluru berpandu kruis TAURUS  merupakan peluru berpandu kruis Jerman-Sweden yang dibangunkan untuk serangan-serangan berketepatan tinggi terhadap sasaran diperkukuhkan dan strategik.
Peluru berpandu kruis TAURUS menggunakan fius “Programable Intelligent Multi-Purpose Fuze atau (PIMPF)”.
Peluru berpandu kruis lancaran udara TAURUS 
Menurut penganalisis tentera, penggunaan fius PIMPF  oleh peluru berpandu TAURUS itu membolehkan peluru berpandu kruis terbabit membedil sasaran-sasaran seperti jambatan lebih tepat dan lebih berkesan.
 Dibangunkan oleh Taurus Systems GmbH, yang merupakan syarikat usahasama di antara MBDA Deutschland dan Saab Bofors Dynamics.
Peluru berpandu kruis TAURUS telah mula beroperasi sejak 2006 dan digunakan oleh Germany, Spain dan Korea Selatan.
Memiliki ciri-ciri teknologi halimunan, peluru berpandu kruis TAURUS berkemampuan membedil sasaran sejauh 500km dan bersesuaian untuk digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang termasuk Eurofighter Typhoon, Tornado dan F-15K.
Peluru berpandu ini direka untuk dilancarkan dari pelbagai platform udara seperti Eurofighter Typhoon, Tornado, Gripen, dan F/A-18.
Dengan kemampuan penembusan yang tinggi, TAURUS KEPD 350 sesuai untuk menyerang sasaran yang diperkukuh seperti bunker bawah tanah, jambatan, dan kemudahan ketenteraan penting lain.
— DEFENCE SECURITY ASIA

GripenSwedenTaurus
Comments (0)
Add Comment