(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Amerika Syarikat telah mengadakan latihan udara dipanggil “Dissimilar Air Combat Training” (DACT) di ruang udara negara pada 24 Januari lalu.
Menurut kapsyen pada foto-foto yang telah dimuatnaik oleh Defense Visual Information Distribution Service (DVIDS), Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pada 26 Januari lalu, TUDM diwakili oleh dua buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM dalam latihan DACT itu.
Manakala bagi pihak Amerika Syarikat pula, ia diwakili oleh sebuah pesawat pejuang F/A-18F Super Hornet yang ditugaskan di “Bounty Hunters” Strike Fighter Squadron (VFA) 2 dan sebuah lagi F/A-18E Super Hornet yang ditugaskan pada “Stingers” Strike Fighter Squadron (VFA) 113.
Turut terlibat dalam latihan DACT itu adalah dua buah pesawat pejuang F-35C yang ditugaskan pada “Warhawks” Strike Fighter Squadron (VFA) 97 yang beroperasi daripada kapal pengangkut pesawat kelas-Nimitz USS Carl Vinson (CVN 70) yang merupakan sebahagian daripada Carrier Air Wing Two (CVW-2).
“Amerika Syarikat dan Malaysia bekerjasama sebagai rakan komprehensif untuk memperkukuh keupayaan peperangan udara bersama serta menyokong matlamat bersama dalam memastikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.”
“Vinson, kapal induk utama dalam Carrier Strike Group ONE, kini sedang melaksanakan operasi rutin di kawasan operasi Armada Ke-7 Amerika Syarikat,” menurut kapsyen di dalam foto-foto yang dimuatnaik oleh DVIDS menunjukkan latihan udara DACT dilaksanakan oleh pesawat-pesawat pejuang Malaysia dan Amerika Syarikat.


Vinson, kapal induk utama Carrier Strike Group ONE, kini sedang melaksanakan operasi rutin di kawasan operasi Armada Ke-7 Amerika Syarikat. (U.S. Navy photo by Mass Communication Specialist 3rd Class Nate Jordan)
DVIDS telah memuatnaik tiga keping gambar latihan DACT antara kedua-dua negara itu yang telah diambil oleh Lt Cmdr Devin Arneson.
Dissimilar Air Combat Training (DACT) ialah latihan pertempuran udara yang melibatkan pesawat tempur daripada jenis, model, atau konfigurasi berbeza bagi mensimulasikan senario pertempuran dunia nyata.
Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan juruterbang dalam menghadapi ancaman yang pelbagai, memperkukuh taktik peperangan udara, serta membangunkan strategi pertahanan dan serangan yang lebih efektif.
Dalam DACT, juruterbang berlatih melawan pesawat yang mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, membolehkan mereka memahami taktik lawan dan menyesuaikan teknik penerbangan serta pertempuran mereka dengan lebih baik.
Latihan ini sering digunakan oleh tentera udara di seluruh dunia bagi memastikan kesiapsiagaan operasi dalam menghadapi ancaman dari pesawat tempur asing yang berbeza dari segi keupayaan dan prestasi.
Pada Disember tahun lepas, kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat USS Carl Vinson (CVN 70) bersama-sama kapal-kapal perang lain dibawah Carl Vinson Carrier Strike Group dan 7,500 anggota tentera negara itu telah singgah di Pelabuhan Klang.
Vinson, kapal induk utama Carrier Strike Group ONE kini sedang melaksanakan operasi rutin di kawasan operasi Armada Ke-7 Amerika Syarikat. (U.S. Navy photo by Mass Communication Specialist Seaman Kenneth Ostas)