Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Chokepoint Control”, Usaha Kekang Kapal Selam China Ketika Konflik Indo Pasifik

Faktor geografi merupakan "kelemahan" yang amat membelenggu angkatan kapal selam China. memudahkan lagi usaha-usaha Amerika Syarikat dan sekutunya untuk mengawal dan mengesan kapal selam China.

0 1,892

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun China telah berbelanja besar untuk meningkatkan kemampuan angkatan kapal selammya termasuk membina kapal-kapal selam yang baru dan “berteknologi tinggi”, tetapi negara itu sebenarnya berhadapan dengan dilemma berikutan beberapa “kelemahan” yang sememangnya sukar atau tidak mampu diatasinya.

Salah satu “kelemahan” itu adalah faktor geografi dan semulajadi yang terbukti merupakan “musuh utama” kepada angkatan kapal selam China, sebagaimana didakwa oleh pakar kapal selam Amerika Syarikat.

“Jikalau anda melihat kepada pangkalan-pangkalan kapal selam China, setiap satu daripadanya terletak di kawasan-kawasan perairan yang cetek. Kapal selam mereka (China) terpaksa melalui perairan cetek itu dalam pelayaran menuju ke perairan laut dalam,” kata penganalisis kapal selam Tom Shugart, yang juga merupakan bekas krew kapal selam Amerika Syarikat.

Tinjauan terhadap Google Earth menunjukkan kawasan pesisir pantai China dikelilingi oleh kawasan yang berwarna biru muda – yang menunjukkan ia adalah laut cetek – berbanding kawasan berwarna biru tua yang menunjukkan kawasan laut dalam bermula daripada perairan di Taiwan dan Jepun.

Apabila kapal selam memasuki perairan yang dalam, maka sudah tentu adalah amat sukar bagi kapal-kapal selam, kapal permukaan atau pesawat untuk mengesannya.

Kapal Selam

Bagi kapal-kapal selam Taiwan dan Jepun, mereka boleh terus menyelam ke laut dalam (kerana kedua-dua negara itu terletak di laut dalam), manakala China tidak boleh kerana disebabkan faktor geografi di mana kapal-kapal selamnya terpaksa melalui laut cetek terlebih dahulu sebelum ke laut dalam.

“Untuk ke laut dalam, kapal selam China perlu melalui laut cetek terlebih dahulu menerusi laluan dipanggil  ‘chokepoints’ dan selat-selat. Ia akan memberikan peluang kepada musuhnya – Amerika Syarikat dan sekutunya untuk memantau serta memintas kapal selam China jika terjadi konflik ketenteraan,” kata Shugart kepada majalah itu.

Beliau kini merupakan felo kanan kepada badan pemikir, Centre for a New American Security.

Bagi penganalisis politik di Rand Corp, Jeffrey Hornung berkata, Jepun boleh memberikan sumbangan penting dalam apa yang dikatakan sebagai “chokepoint control” ketika berlakunya konflik antara negara itu dengan China.

Kepulauan Nansei milik Jepun terdiri daripada pulau-pulau kecil termasuk Osumi, Tokara, Amami, Okinawa, Miyako dan Yaeyama.

Kapal Selam

Pada April lepas, kapal pengangkut pesawat China, Liaoning dan lima kapal pengirinnya melalui Selat Miyako selebar 250km yang memisahkan Pulau Okinawa dan Pulau Miyako, sebelum kapal-kapal China itu belayar ke Taiwan.

“Tugasan Jepun sepatutnya ‘chokepoint control. Jika anda lihat kepada Kepulauan Nansei, ia memiliki banyak chokepoints yang dengan menggunakan kombinasi kapal-kapal selam dan kapal permukaan serta pesawat Tentera Laut Jepun dan periuk api, Jepun boleh menutup sepenuhnya laluan itu dan memaksa China melalui Taiwan atau ke Laut China Timur di mana kapal-kapal selam Amerika Syarikat sedia menanti,” katanya.

Menurut Shugart pula, kapal selam diesel elektrik Tentera Laut Jepun dan Australia adalah amat bersesuaian untuk tugas-tugas “chokepoint control” itu di laut-laut cetek.

Ini berlainan dengan kapal-kapal selam berkuasa nuklear seperti yang digunakan oleh Amerika Syarikat yang amat bersesuaian untuk tugasan di laut dalam berfungsi mengejar kapal-kapal selam musuh yang mahu melancarkan peluru berpandu daripada kedudukan yang tersembunyi.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...