Sudan Dilapor Ikut Jejak Langkah Mesir Dan Pakistan Dengan Pilih J-10CE untuk Tentera Udaranya

Laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa Sudan yang terletak di Afrika Utara tetapi menganggap dirinya sebahagian daripada Timur Tengah, telah pun memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10CE “Vigorous Dragon” dan juga sistem pertahanan udara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas Pakistan dan Mesir,sebuah lagi negara dilaporkan bakal mengikuti jejak langkah kedua-dua buah negara itu dengan memilih pesawat pejuang J-10CE buatan China untuk tentera udaranya, sekaligus mengukuhkan lagi pengaruh Beijing sebagai pembekal senjata utama kepada negara-negara di rantau Timur Tengah/Afrika Utara.
Laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa Sudan yang terletak di Afrika Utara tetapi menganggap dirinya sebahagian daripada Timur Tengah, telah pun memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10CE “Vigorous Dragon” dan juga sistem pertahanan udara.
Menteri Pertahanan Sudan Yassin Ibrahim Yassin dilaporkan berkata bahawa negara itu bakal menerima skuadron pertama pesawat pejuang itu pada Mac ini dan skuadron seterusnya pada akhir tahun ini.
Malah terdapat laporan daripada sumber-sumber yang tidak dapat disahkan bahawa Tentera Udara Sudan telah pun menerima lapan buah pesawat pejuang J-10CE dalam penghantaran pertama baru-baru ini.
Pesawat pejuang J-10 “Vigorous Dragon” itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation.
Laporan tentang minat Sudan terhadap pesawat pejuang J-10CE mula muncul pada tahun 2022.
J-10C “Vigorous Dragon”
Selain J-10CE, Sudan juga dikatakan berminat untuk mendapatkan pesawat pejuang Su-35 daripada Russia dan berita tentang kemungkinan pemilikan Su-35 oleh Khartoum itu semakin kuat kedengaran selepas negara itu dikatakan telah memberikan lampu hijau kepada Russia untuk menempatkan kapal-kapal perang dan aset tentera lautnya di Sudan.
Ketika melawat Russia dan bertemu dengan rakan sejawatannya Sergey Lavrov baru-baru ini, Menteri Luar Sudan Ali Youssef berkata kedua-dua negara telah mencapai persetujuan tentang pangkalan tentera Russia di Sudan.
Sejak beberapa tahun, Russia telah menyatakan hasratnya untuk memiliki pangkalan tentera di Pelabuhan Sudan.
Tentera Udara Pakistan mula menerima pesawat tempur J-10C buatan China pada tahun 2022.
Pada mulanya, Pakistan menerima enam pesawat J-10C, yang melakukan penerbangan lintas pada perarakan Hari Kebangsaan negara itu pada tahun tersebut.
 Walaupun jumlah tepat pesawat pejuang J-10C yang diperoleh tidak diumumkan secara rasmi, namun laporan menyatakan bahawa Pakistan telah memesan sekurang-kurangnya 25 pesawat J-10C, dengan jumlah keseluruhan itu dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 36 unit.
Pesawat pejuang J-10C Pakistan
Pesawat-pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan itu ditempatkan di Pangkalan Udara Minhas dan beroperasi di bawah Skuadron No. 15, dikenali sebagai “Cobras”.
Baru-baru ini, Defence Security Asia melaporkan bahawa Tentera Udara Mesir berkemungkinan besar telah pun menerima kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang J-10CE buatan China, yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh (Beyond Visual Range) PL-15.
Kemungkinan itu dinyatakan oleh seorang pemerhati aeroangkasa China, Hurin menerusi platform media sosial X miliknya yang menunjukkan dua buah pesawat pejuang J-10CE milik Mesir sedang beraksi.
Tentera Udara Mesir dilaporkan memperolehi sehingga 40 buah pesawat pejuang J-10CE buatan China itu.
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).
Dibangunkan oleh China Academy of Launch Vehicle Technology (CALT), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
J-10CE (credit Hurin92)
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar AESA itu dipercayai mempunyai jarak operasi melebihi 300 km, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara dengan jarak tembakan paling jauh di dunia.
Pada Sept tahun lepas, Mesir dilaporkan memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China bagi menggantikan pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat berusia yang kini digunakan oleh tentera udara negara Arab itu.
Walaupun Kementerian Pertahanan Mesir masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya, tetapi media-media tempatan dan luar telah pun mengesahkannya.
Dengan keputusan itu, Mesir menjadi negara kedua selepas Pakistan yang memperolehi 25 buah pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C buatan China itu.
Pemerhati tentera serantau menyatakan Tentera Udara Pembebasan Rakyat China (PLAAF – People’s Liberation Army Air Force) mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya.
Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.
Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA)  bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.
— DEFENCE SECURITY ASIA

ChengduChinaJ-10CEMesirPakistanSudan
Comments (0)
Add Comment