(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan jamming oleh tentera Russia sangat berkesan sehinggak membuatkan tentera Ukraine, Amerika Syarikat dan NATO tidak dapat memastikan sama ada senjata-senjata canggih mereka seperti JDAM dan HIMARS berkemampuan membedil sasaran mereka dengan tepat.
Itu adalah kesimpulan yang dibuat oleh sebuah badan pemikir terkenal United Kingdom, Royal United Services Institute (RUSI) baru-baru ini.
“Jamming tidak menyebabkan JDAM tidak dapat digunakan, tetapi ia meningkatkan risiko senjata pintar tidak membedil sasarannya dengan tepat,” menurut penyelidik RUSI, Thomas Withington.
Walaupun langkah-langkah anti-jamming boleh menangani masalah itu tetapi sistem peperangan elektronik Russia berkemampuan untuk “menenggelamkan” signal GPS daripada satelit, kata kajian badan pemikir itu.
“Masalahnya adalah kekuasaan signal jamming (oleh sistem peperangan elektronik Russia) yang tidak mampu ditangani,” kata Withington.
Sebenarnya, Amerika Syarikat telah pun mengeluarkan amaran tentang kemampuan jamming oleh sistem-sistem peperangan elektronik Russia dalam satu dokumen yang dibocorkan pada April lalu, yang menyentuh tentang penurunan tahap ketepatan senjata-senjata “pintar” negara itu termasuk JDAM dan HIMARS.
Sistem-sistem persenjataan “pintar” yang menggunakan GPS pada mulanya memberikan Ukraine harapan kerana ia mengurangan kelebihan Russia yang memiliki lebih banyak anggota tentera dan persenjataan.
Pada musim panas tahun lepas, senjata seperti HIMARS yang dibekalkan kepada tentera Ukraine terbukti amat membantunya dalam memporak-perandakan barisan pertahanan tentera Russia, sehingga membolehkan ia merampas semula beberapa bandar besar.
Bagaimanapun “kelebihan” dimiliki oleh tentera Ukraine itu tidak lama kerana selepas Russia membuat beberapa pengubahsuaian dan mula menyesuaikan diri, Kiev mulai kehilangan “kelebihan” itu.
“Bukanlah suatu rahsia lagi bahawa tentera Russia,sama seperti ketika Kesatuan Soviet menghabiskan banyak masa,usaha dan dana untuk membangunkan pelbagai sistem peperangan elektronik,” kata beliau.
Penyelidik RUSI itu memberikan perhatian kepada sistem peperangan elektronik, R-330Zh Zhitel milik Russia, yang sememangnya direka untuk menganggu komunikasi GPS dan satelit di dalam band gelombang 100 MHz hingga 2 GHz.
“Signal daripada satelit GPS Amerika Syarikat dimana kit JDAM pancarkan adalah di dalam gelombang 1.164 GHz kepada 1.575 GHz. Ini termasuk dalam lingkungan operasi dan kemampuan R-330Zh Zhitel,” Withington.
Usaha Russia menangani senjata-senjata “pintar” Barat yang menggunakan signal GPS merupakan sebahagian daripada usaha peperangan elektronik besar-besaran yang telah berjaya menganggu operasi komunikasi dan dron pihak tentera Ukraine.
Tentera Russia kini mengoperasikan satu sistem peperangan elektronik utama setiap 10km persegi dan operasi jamming oleh Moscow telah menyebabkan Ukraine kehilangan 10,000 dron (berkemungkinan saiz kecil) setiap bulan,sebagaimana anggaran oleh RUSI.
Menurut laporan oleh RUSI lagi, tentera-tentera Russia yang mengendalikan sistem peperangan elektronik disifatkan sebagai “amat berkemampuan” dalam memintas dan merungkai sistem komunikasi tentera Ukraine.
Dalam satu kes, tentera Russia dikatakan telah memintas dan merungkai kod (decode) mesej radio rahsia daripada tentera Ukraine meminta supaya dilancarkan tembakan bantuan.
Pemintasan itu membolehkan mereka memberikan amaran awal kepada anggota tenteranya. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com