“Permainan” Bahaya Amerika Syarikat di Laut China Selatan

Tindakan sebuah pesawat pengintip Amerika Syarikat, RC-135W Rivet Joint menyamar secara elektronik sebagai sebuah pesawat awam Malaysia di Laut China Selatan minggu lepas merupakan satu tindakan yang amat berbahaya.

Pesawat RC-135W Rivet Joint milik Tentera Amerika Syarikat didakwa menyamar sebagai pesawat Malaysia.

Ia mengembalikan kita semua, rakyat Malaysia, kepada peristiwa yang amat menyedihkan pada 17 Julai 2014 apabila pesawat MH17 Penerbangan Malaysia ditembak jatuh ketika terbang di ruang udara Ukraine.

Walaupun kes MH17 ini masih lagi berjalan, tetapi konsensus pakar menyatakan kemungkinan besar pesawat negara itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu “Buk.”

Kesemua 283 penumpang dan 15 krew terbunuh dalam kejadian yang amat menyayatkan hati kita semua rakyat Malaysia.

Pesawat MH17 milik Malaysia Airlines ditembak jatuh ketika terbang di ruang udara Ukraine, membunuh 283 penumpang dan 15 krew. (gambar dari internet)

Kini, berikutan pendedahan yang dilakukan oleh SCS Probing Initiative (SCSPI) tentang tindakan berbahaya tentera Amerika itu, rakyat Malaysia tertanya-tanya sama ada kita semua bakal berhadapan dengan insiden yang sama sebagaimana yang berlaku di ruang udara Ukraine enam tahun dahulu.

Apakah Laut China Selatan bakal menyaksikan insiden MH17 berulang?

Laluan pesawat pengintip Amerika Syarikat yang menyamar sebagai sebuah pesawat awam Malaysia di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  ketika ditanya tentang dakwaan pesawat pengintip Amerika menyamar sebagai pesawat awam Malaysia  di Laut China Selatan itu telah berkata, isu itu akan disiasat.

Beliau mungkin tidak mahu mengulas secara terbuka perkara ini kerana ia melibatkan perkara yang sensitif berkenaan isu ketenteraan, tetapi admin pasti kerajaan memang menganggap isu itu adalah amat penting.

Mungkin kerajaan sudah pun activate backchannel contact sama ada secara diplomatik atau ketenteraan untuk berhubung dengan pihak Amerika Syarikat tentang isu penyamaran pesawat pengintipnya di Laut China Selatan.

Kerajaan perlu berkeras dan meminta Amerika Syarikat supaya menghentikan tindakan berbahayanya itu.

Tindakan semberono Washington itu meletakkan ratusan dan ribuan nyawa penumpang pesawat awam yang melalui Laut China Selatan itu dalam bahaya.

Admin pun kecut perut untuk terbang menggunakan pesawat awam melintasi Laut China Selatan selepas ini.

Penyamaran Hex Codes ICAO (International Civil Aviation Organisation) oleh mana-mana pesawat tentera perlu ditangani dengan segera supaya kemalangan tragis dapat dielakkan.

Kita tidak mahu penjaga sistem pertahanan udara di daratan menjangka mana-mana pesawat awam di ruang udara Laut China Selatan itu adalah cubaan penyamaran oleh pensawat pengintip dan bertindak menembaknya jatuh dengan peluru berpandu.

Insiden pesawat awam ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara telah banyak kali berlaku.

Pada 8 Jan tahun ini, sebuah pesawat penumpang milik Ukraine International Airlines ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Iran “Tor M-1” yang menyangkanya sebagai pesawat tentera Amerika Syarikat.

Kesemua 176 penumpang dan krew pesawat Boeing 737-800 maut akibat kesilapan itu.

Pada 1 Sept 1983, pesawat penumpang milik Korean Air Lines Flight 007  dari New York ke Seoul melalui ruang udara di Alaska.

Berikutan masalah navigasi, pesawat penumpang Korea itu telah tersasar dan memasuki ruang udara terhad Soviet Union di Semenanjung Kamchatka yang pada ketika Perang Dingin merupakan penempatan tentera Komunis yang penting terutamanya bagi angkatan Timur Jauh Russia.

Semenanjung Kamchatka menempatkan puluhan kapal selam nuklear Soviet serta pesawat-pesawat pejuang.

Tidak lama selepas itu, pesawat penumpang Korea itu telah ditembak jatuh oleh pesawat pemintas SU-15 Soviet Union yang menyangkakan ia adalah pesawat pengintip Amerika Syarikat yang berada berhampiran.

Pesawat Su-15 “Flagon” milik Soviet Union yang menembak jatuh pesawat penumpang Korean Airlines pada 1973. (sumber internet)

Kesemua 269 penumpang dan krew pesawat penumpang Korea itu terbunuh.

Banyak lagi kes “kesilapan” sistem pertahanan udara menembak jatuh pesawat awan yang telah berlaku di dunia sebelum ini dan adalah menjadi tugas kita semua untuk mengelak perkara sedemikian daripada berlaku.

Dengan ketegangan yang semakin memuncak di Laut China Selatan antara Amerika Syarikat dan China, risiko berlakunya insiden hasil “kesilapan” sebagaimana yang menimpa sama ada MH17, pesawat Ukraine International Airlines di Teheran atau pesawat Korean Airlines pada 1983 adalah amat tinggi.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

HEX CodesKorean Air LinesLaut China SelatanMenyamarMH17Rivet JointSCSPIUkraine International Air Lines