Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Shenzhen Zhenhua Data Technology, front bagi agensi perisikan China?

0 604

Semalam kita didedahkan tentang bagaimana sebuah syarikat teknologi kecil China dikenali, Shenzhen Zhenhua Data Technology telah mencuri maklumat daripada jutaan individu diseluruh dunia termasuk Malaysia.

Syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan agensi perisikan China itu didakwa telah mencuri maklumat tentang 1,400 rakyat Malaysia.

Sudah pasti pihak berkuasa negara ini juga hendak tahu identiti rakyat Malaysia itu, sama ada mereka orang awam atau polis atau tentera.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pihak berkuasa menyiasat kegiatan syarikat ini dan tujuan mereka mengumpul maklumat 1, 400 rakyat Malaysia itu.

Ia membawa kita kepada persoalan utama, tentang identiti sebenar syarikat Shenzhen Zhenhua Data Technology dan siapakah watak utama  di belakang mereka?

Bagaimanakan Modus Operandi syarikat misteri ini yang diketahui telah mula mengumpul maklumat sejak daripada tahun 2017?

Sememangnya adalah sukar untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarikat ini, kerana kewujudannya seolah-olah dilindungi oleh pihak berkuasa China itu sendiri.  Mengapa ya, apa yang mahu disembunyikannya.

Tetapi apa yang pasti, syarikat Shenzhen Zhenhua Data Technology ini mengumpul atau perkataan yang lebih sesuai digunakan adalah “menuai” (harvest) maklumat-maklumat peribadi, sama ada yang sensitif atau tidak daripada pelbagai sumber.

Syarikat itu mempunyai pejabat di Shenzhen dan Beijing.

Latarbelakang syarikat itu menunjukkan ia telah ditubuhkan pada 2017 oleh seorang bekas jurutera IBM dikenali dengan nama “Wang Xuefeng.”

Wang dikatakan pakar di dalam “data mining” dan memiliki pengalaman selama 10 tahun  dalam bidang big data.

Antara rakan korporat syarikat Shenzhen Zhenhua Data Technology adalah satu firma big data dikenali sebagai “TRS” yang berhubung rapat dengan tentera China dan Kementerian Keselamatan Awam yang diketahui memiliki beberapa agensi perisikan yang bernaung dibawahnya.

Kementerian Keselamatan Awam (Ministry of Public Security) diketahui memiliki beberapa agensi perisikan yang bernaung dibawahnya.

Antara maklumat yang dikumpul oleh syarikat termasuklah biografi rekod perkhidmatan kapten-kapten kapal pengangkut pesawat (aircraft carriers) dan pegawai tentera laut yang sedang meningkat naik.

Syarikat juga mengumpul  profil pemimpin-pemimpin utama dunia termasuk keluarga dan anak-anak mereka, selain pengulas-pengulas politik di Washington.

Menurut sebuah syarikat perunding keselamatan siber Australia, apa-apa maklumat yang berjaya diperolehi oleh syarikat akan diberi kepada agensi perisikan China.

Jaringan maklumat dikenali “Overseas Key Information Database” (OKIB) itu didakwa mengandungi watak-watak utama politik, tentera dan perniagaan selain maklumat tentang infrastruktur sesebuah negara dan kerahan tenteranya.

Sementara itu Anna Puglisi, seorang bekas pegawai counter-intelligence Amerika bagi Asia Timur sebagaimana dipetik oleh The Washington Post berkata, pengumpulan data secara “open source” adalah ciri-ciri utama usaha pengumpulan data oleh agensi perisikan China.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...