(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas dron-dron Amerika Syarikat, kini pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Perancis yang sedang meronda di kawasan sempadan Syria-Iraq menjadi sasaran tindakan tindakan “tidak profesional” oleh pesawat pejuang Su-35 Russia.
Menurut Kementerian Pertahanan Perancis, insiden tersebut berlaku pada 6 Julai lalu ketika kedua-dua pesawat Rafale itu sedang menjalankan tugas pengamanan di bawah Operasi Chammal untuk menangani ancaman kumpulan penganas ISIS di sempadan kedua-dua negara Arab itu.
“Pada 6 Julai lalu, dua buah pesawat Rafale yang sedang melaksanakan misi pengamanan di sempadan Iraq-Syria telah berhadapan dengan interaksi tidak profesional daripada sebuah pesawat Su-35.”
“Juruterbang kedua-dua buah pesawat Rafale itu terpaksa melakukan manuver untuk mengelak daripada risiko kemalangan (dengan pesawat Su-35) sebelum meneruskan misi rondaan mereka,” kata ciapan Kementerian Pertahanan itu.
Pihak Perancis turut mengedarkan gambar pesawat Su-35 milik Russia yang melakukan tindakan “tidak profesional” itu, dipercayai diambil daripada pod sasaran sama ada “Talios” atau “Damocles” yang digunakan oleh pesawat-pesawat Rafale itu.
Pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Perancis itu telah dikerah ke rantau Timur Tengah untuk melakukan serangan udara terhadap sasaran Kumpulan ISIS di bawah Operasi Chammal.
Pesawat pejuang Rafale itu telah dikerah ke Timur Tengah bagi membolehkan serangan udara dilancar dan memberikan bantuan udara di bawah Operasi Chammal,yang merupakan sumbangan Perancis terhadap operasi multinasional.
Operasi Chammal yang mula disertai oleh Angkatan Tentera Perancis pada 2014 itu adalah untuk menangani ancaman daripada kumpulan pengganas ISIS.
Insiden tindakan tidak profesional oleh pesawat Su-35 milik Russia itu berlaku hanya sehari selepas tiga buah pesawat pejuang Su-35 telah bertindak dengan cara-cara “tidak selamat dan tidak profesional” dalam melakukan pemintasan terhadap tiga buah dron MQ-9 “Reaper” milik Amerika Syarikat di utara Syria pada 5 Julai.
Komander Tentera Udara Amerika Syarikat Lt Jen Alex Grynkewich berkata ketiga-tiga dron miliknya itu sedang melakukan tugas-tugas pemantauan terhadap kumpulan penganas, ISIS yang beroperasi di negara Timur Tengah itu.
US Central Command turut menyiarkan video insiden itu yang menunjukkan pesawat-pesawat Su-35 Russia itu telah melepaskan suar (flares) berhampir dron-dron itu, menyebabkan ia terpaksa mengambil tindakan untuk mengelaknya.
Pesawat Su-35 Russia itu juga dikesan berada di hadapan dron itu dan menghidupkan afterburner pesawat itu, menyebabkan operator dron milik tentera Amerika itu berhadapan kesukaran untuk mengawalnya.
Amerika Syarikat menyifatkan tindakan oleh pesawat Su-35 Russia itu sebagai satu lagi tahap tindakan keterlaluan dilakukan oleh tentera negara itu di Syria.
“Tindakan-tindakan ini merupakan contoh tindakan tidak profesional dan tidak selamat oleh Tentera Udara Russia yang beroperasi di Syria, yang mengancam keselamatan anggota tentera Russia dan Amerika Syarikat,” kata Grynkewich.
Pada April 2023, Pusat Pemerintahan Tentera Udara Amerika Syarikat di Timur Tengah (AFCENT) telah mengeluarkan dua video yang menunjukkan insiden pertembungan udara “berbahaya” di antara pesawat pejuang Su-35 lengkap bersenjata Russia dengan pesawat-pesawat pejuang miliknya.
Insiden terbabit berlaku kira-kira sebulan selepas seorang pegawai tinggi tentera Amerika Syarikat mendedahkan bahawa pesawat-pesawat pejuang Russia melakukan penerbangan provokatif di ruang udara atas pangkalan dan kemudahan tenteranya di Syria “hampir setiap hari” di dalam bulan Mac. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com