Pesawat Pejuang KF-21 “Boramae” Sertai F-16, Gripen Bagi Persaingan Sengit di Filipina

Pesawat pejuang KF-21 “ Boramae dilaporkan turut menyertai persaingan untuk membekalkan Pesawat Pejuang Pelbagai Guna (Multi Role Fighter Program – MRF) untuk Tentera Udara Filipina bersama-sama F-16 buatan Amerika Syarikat dan JAS39 Gripen buatan Sweden, menjadikannya ia kini persaingan tiga penjuru.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang KF-21 “ Boramae dilaporkan turut menyertai persaingan untuk membekalkan Pesawat Pejuang Pelbagai Guna (Multi Role Fighter Program – MRF) untuk Tentera Udara Filipina bersama-sama F-16 buatan Amerika Syarikat dan JAS39 Gripen buatan Sweden, menjadikannya ia kini persaingan tiga penjuru.

Pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI). Filipina turut telah membeli 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50 yang juga dibangunkan oleh KAI.

“Filipina telah mengemukakan Request For Information (RFI) bagi pesawat pejuang KF-21 dan kita akan akan memberikan respons terhadap permohonan itu,” menurut kenyataan oleh Naib Presiden KAI Shin Dong-Hak kepada media tempata Korea Selatan baru-baru ini.

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).

KAI akan mula membina kumpulan pertama 20  buah pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae”, bagi membolehkan pesawat pejuang itu beroperasi untuk Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) pada 2026.

Kontrak pembinaan 20 buah pesawat pejuang KF-21 Block 10 bernilai USD$1.41 bilion (RM6.65 billion) itu telah ditandatangani di antara KAI dengan agensi kerajaan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) baru-baru ini.

Pesawat pejuang KF-21 “Boramae” sedang melaksanakan ujian pengisian minyak ketika berada di udara (air-to-air-refuelling).

 

“Dibawah perjanjian itu, KAI akan menghasilkan 20 unit pesawat pejuang itu dan menyediakan bantuan lojistik, manual teknikal dan latihan. Pesawat-pesawat pejuang itu akan berkhidmat untuk ROKAF pada akhir tahun 2026,” menurut laporan media Korea Selatan.

Program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu dilaporkan telah mencapai 80 peratus siap pada ketika ini.

ROKAF bercadang mengoperasikan sehingga 100 hingga 120 buah pesawat pejuang KF-21 “Boramae” menjelang tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang berusianya, F-4 “Phantom” dan F-5 yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu.

Tentera udara negara itu bercadang menjadikan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu sebagai “tulang belakang” ROKAF, yang akan memainkan peranan penting sekiranya berlaku peperangan di Semenananjung Korea.

Pesawat pejuang  KF-21 itu berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 2022 dan selepas itu ia telah memulakan kira-kira 2,000 penerbangan ujian yang perlu dilakukannya untuk menguji pelbagai sistem dan komponen.

Filipina menurut pemerhati tentera serantau adalah semakin hampir untuk membuat keputusan perolehan pesawat pejuang MRCA (Muti Role Combat Aircraft).

F-16 Block 70/72

Sebelum ini, persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang MRCA kepada Tentera Udara Filipina adalah di antara syarikat Saab daripada Sweden yang menawarkan pesawar pejuang JAS39 Gripen dan Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat yang menampilkan F-16.

Dengan kemasukan KF-21 “Boramae”, ia menjadi persaingan tiga penjuru bersama-sama F-16 dan Gripen.

Pada tahun 2021, Amerika Syarikat telah meluluskan potensi penjualan 12 buah  varian terkini pesawat pejuang F-16 kepada Filipina, tetapi urusan pembelian itu tertangguh sehingga kini akibat kekangan kewangan dihadapi oleh Manila yang menganggap harga yang ditawarkan oleh Washington itu “terlalu mahal.”

Potensi penjualan 10 buah pesawat F-16C Block 70/72 dan dua buah F-16D Block 70/72 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin bernilai US$2.5 bilion (RM11.25 bilion).

Berikutan harga varian terkini pesawat pejuang F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu adalah terlalu mahal dan di luar “kemampuan” Filipina, maka negara Asia Tenggara itu sedang mencari jalan alternatif untuk mendapatkan pesawat-pesawat pejuang baru untuk tentera udaranya.

Disebabkan harga pesawat-pesawat pejuang F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu adalah terlalu mahal dan diluar kemampuan Manila, maka Sweden telah menawarkan pesawat pejuang JAS39 Gripen.

Pesawat pejuang Gripen Thailand

 

Pada ketika ini, pesawat pejuang JAS39 Gripen dilaporkan berada di hadapan persaingan untuk memenuhi keperluan Filipina.

Pada akhir Jun lalu, kerajaan Filipina dan Sweden telah menandatangani perjanjian utama bertujuan untuk menyokong perolehan pesawat pejuang untuk Tentera Udara Filipina.

Menurut pemerhati tentera serantau, perjanjian terbaru antara Filipina dan Sweden itu menandakan Manila kini adalah “semakin hari semakin hampir” untuk memperolehi sekurang-kurangnya satu skuadron JAS39 Gripen buatan syarikat pertahanan Sweden, Saab untuk kegunaan Tentera Udara Filipina.

Filipina dikatakan sedang menimbangkan untuk memiliki di antara 12 hingga 14 buah pesawat pejuang Gripen itu bagi membolehkannya membentuk satu skuadron pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) bagi bergandingan dengan pesawat pejuang ringan FA-50 buatan Korea Selatan miliknya.

Filipina dijangka akan memperolehi pesawat pertama Gripen itu pada 2027 seawalnya dan pesawat terakhir atau ke-14 pada 2028. — DSA

featuredFilipinaKF-21Pesawat