(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua buah syarikat pembuat kapal Eropah, Naval Group daripada Perancis dan ThyssenKrupp Marine System (TKMS) daripada Jerman — “bergaduh” kerana satu pihak menuduh satu pihak lain memindahkan teknologi kapal selam kepada negara tertentu sehingga membolehkan negara tersebut berjaya membina kapal selam mereka sendiri dan menjadi pesaing.
Syarikat Naval Group menuduh TKMS dengan sewenang-wenangnya memindahkan teknologi kapal selam sehingga membolehkan negara-negara seperti Korea Selatan dan Turkiye membina kapal selam mereka sendiri dan kini menjadi pesaing kepada mereka.
Syarikat daripada Perancis itu menuduh syarikat pembuat kapal daripada Jerman itu mencipta pesaing-pesaing baru.
“TKMS ‘juara di dalam mencipta pesaing-pesaing’. Mereka telah melakukan pemindahan teknologi yang besar terhadap Turkiye dan Korea Selatan, dua buah negara yang kini berada di dalam pasaran eksport kapal selam,” menurut Ketua Strategi, Kerjasama dan Penggabungan Naval Group Guillaume Rochard.
Kedua-dua syarikat membangunkan kapal selam untuk pasaran antarabangsa, dengan syarikat Naval Group turut menghasilkan kapal selam, antaranya kapal selam Scorpene yang kini digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Manakala, antara pelanggan syarikat TKMS adalah Tentera Laut Republik Singapura yang menghasilkan empat buah kapal selam Type 218SG kelas-Invincible.

Kedua-dua syarikat kerapkali bersaing untuk merebut kontrak pembuatan kapal-kapal selam dan Rochard menyifatkan syarikat Jerman itu sebagai pesaing utamanya dalam industri pembuatan kapal selam konvensional.
Beliau berkata, syarikat Naval Group “amat berhati-hati” dalam isu permindahan teknologi bagi memastikan tidak memindahkan teknologi bagi memastikan mereka tidak mewujudkan persaingan,
Sikap berhati-hati yang diamalkan oleh Naval Group itu adalah berlainan dengan pentadbiran syarikat pembuat kapal selam daripada Jerman itu.
Syarikat TKMS menafikan dakwaan telah bertindak dengan cuai tentang pemindahan teknologi kapal selam, dan menegaskan bahawa syarikat itu “menetapkan penanda aras bagi pemindahan teknologi yang bertanggungjawab” dalam industri pertahanan maritim.
Syarikat dari Jerman itu turut menyatakan bahawa selain melindungi harta inteleknya, semua jualan produk mereka disusun bagi memastikan pelanggan dapat “mengoperasikan dan melaksanakan misi tentera laut yang diperlukan untuk mempertahankan negara mereka.”
Syarikat itu menyatakan bahawa mereka tidak dapat mengulas mengenai projek tertentu kerana dirahsiakan.
Misi industri pertahanan maritim syarikat TKMS “telah ditetapkan dengan jelas dalam peraturan kawalan eksport yang menjadi asas bagi setiap bentuk pemindahan teknologi,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.
“Di ThyssenKrupp Marine Systems, kami sentiasa beroperasi dengan pematuhan penuh terhadap peraturan tersebut.”
ThyssenKrupp memperoleh kontrak dari Turkiye pada tahun 2009 untuk membina enam buah kapal selam yang dilengkapi dengan sistem air-independent propulsion, yang berasaskan kepada teknologi sel bahan api HDW milik syarikat itu.
Kapal selam tersebut dibina di Limbungan Tentera Laut Gölçük, berhampiran Izmit.
Kapal pertama dalam kelas-Reis hasil daripada projek ini mula beroperasi pada Ogos 2024.
Bulan lalu, Turkiye mengumumkan permulaan pembinaan kapal selam pertama yang dibangunkan secara tempatan, menandakan langkah negara itu ke arah mencapai keupayaan kendiri dalam teknologi tersebut.
ThyssenKrupp turut menyediakan reka bentuk serta komponen utama bagi kapal selam kelas-214 untuk Korea Selatan, yang dibina oleh Hyundai Heavy Industries dan Hanwha Ocean.
Dua kapal pertama dalam kelas ini mula beroperasi pada tahun 2008. — DSA