China Bina “The Monster” Untuk “Rempuh” Sempadan Maritim Negara Jirannya

Digelar dengan panggilan manja “The Monster” kerana beratnya yang mencecah sehingga 12,000 tan, dua buah kapal pengawal pantai China kelas-Zhaotou itu merupakan kapal pengawal pantai terbesar di dunia, mengatasi kapal pengawal pantai Jepun kelas-Shikishima yang memiliki berat lebih 9,000 tan. (berat penuh)

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dengan pemilikan di antara 200 hingga 300 buah kapal, China kini diiktiraf sebagai negara yang memiliki pasukan pengawal pantai terbesar di dunia, mengatasi bilangan kapal pengawal pantai dimiliki oleh Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara lain.

Pembangunan pesat pasukan pengawal pantai China beberapa tahun kebelakangan ini adalah selari dengan tuntutannya terhadap sebahagian besar daripada Laut China Selatan.

Setiap tahun, limbungan-limbungan pembuatan kapal China membina puluhan kapal-kapal peronda pelbagai saiz dan berat untuk pasukan pengawal pantai negara itu, membolehkan ia muncul sebagai negara yang memiliki kapal peronda pengawal pantai terbanyak dunia,  dalam tempoh yang amat pantas.

“The Monster” aka kapal pengawal pantai China, CCG 5901 sering menceroboh kawasan EEZ Malaysia.

 

Walaupun ia memiliki ratusan kapal peronda, tetapi kapal-kapal pengawal pantai milik China itu tidak menarik perhatian media dunia sebagaimana dua buah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou yang dibina oleh limbungan kapal Jiangnan di Shanghai.

Digelar dengan panggilan manja “The Monster” kerana beratnya yang mencecah sehingga 12,000 tan, dua buah kapal pengawal pantai China kelas-Zhaotou itu merupakan kapal pengawal pantai terbesar di dunia, mengatasi kapal pengawal pantai Jepun kelas-Shikishima yang memiliki berat lebih 9,000 tan. (berat penuh)

Sebelum ini, kapal pengawal pantai terbesar China adalah sekitar 4,000 tan, tetapi kewujudan kapal-kapal kelas-Zhaotou itu sememangnya suatu lonjakan kuasa  pasukan pengawal pantai negara Asia dalam usaha mengukuhkan lagi tuntutan “tidak lojiknya” terhadap lebih daripada 80 peratus  Laut China Selatan.

Menurut media-media China, rancangan membina dua buah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou bermula pada tahun 2012, beberapa tahun sebelum pasukan Pengawal Pantai China itu ditubuhkan di bawah State Oceanic Administration (SOA) negara itu.

Kewujudan kapal-kapal pengawal pantai gergasi milik China itu disedari apabila syarikat China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) yang merupakan pemilik kepada Limbungan Kapal Jiangnan mengumumkan pada 2013 ia telah dianugerahkan kontrak untuk membina kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu.

Adakah itu “The Monster”. (kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Kapal pertama “The Monster” telah siap dibina pada tahun 2014 dan setahun selepas itu pada Mac 2015 ia telah berjaya melakukan pelayarannya yang pertama ke Laut China Timur (East China Sea).

Kapal kedua “The Monster” itu pula telah siap dibina pada 2016 di Limbungan Kapal Jiangnan dan setahun selepas itu telah memulakan pelayaran pertamanya ke Laut China Selatan.

Dalam pelayaran pertama ke Laut China Selatan itu, ia telah menghabiskan 19 hari “meronda dan melawat” apa yang ditakrifnya sebagai pulau-pulau dan ciri maritim milik negara itu di perairan strategik dan kaya dengan sumber asli itu.

Dengan panjang keseluruhan mencecah 165 meter, kedua-dua kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu atau mana gelarannya, “The Monster” memiliki berat penuh  12,000 tan.

Perbezaan kapal pengawal pantai “The Monster” dengan kapal pengawal pantai biasa China.

 

Dengan berat 12,000 tan, ia jauh meninggalkan kapal-kapal destroyer kelas-Arleigh Burke dan cruiser kelas-Ticonderoga Tentera Laut Amerika Syarikat yang beratnya di antara 7,000 tan hingga 9,000 tan.

Saiznya yang besar itu membolehkan “The Monster” membawa lebih banyak bekalan yang lebih untuk ia kekal beroperasi di lautan lebih lama.

Kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu dilengkapi dengan meriam utama 76mm, dua buah meriam 30mm dan dua buah mesingan anti-pesawat, selain dua buah helikopter Z-8 (sebuah di dek dan sebuah lagi di dalam hangar) dan beberapa pesawat tanpa pemandu (UAV) dan UUV (Unmanned Underwater Vehicle).

 kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Dengan enjin yang dibekalkan oleh MAN (sebelum Kesatuan Eropah mengenai sekatan), kapal pengawal pantai terbesar dunia itu berkemampuan belayar selaju 25 knot dengan jarak operasinya adalah diantara 10,000 batu nautika hingga 15,000 batu nautika untuk melaksanakan pelbagai misi.

Disebabkan saiz yang amat besar untuk kapal pengawal pantai, maka kehadirannya di mana-mana perairan termasuk Laut China Selatan sentiasa menarik perhatian ramai, sebagaimana yang berlaku baru-baru  ini dimana “The Monster” dipercayai berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Oleh kerana saiznya yang amat besar, maka kehadirannya memang “menggentarkan” banyak pihak terutamanya kapal-kapal pengawal pantai negara lain yang boleh diibaratkan sebagai “ikan bilis” jika dibandingkan dengan saiz kedua-dua kapal kelas-Zhaotou itu.

Pemerhati mengatakan disebabkan “The Monster” itu hanya dilengkapi dengan “senjata ringan” (sebagaimana kapal-kapal pengawal pantai yang lain), maka saiznya adalah “amat berguna” sekiranya terdapat insiden-insiden pelanggaran/rempuhan dengan kapal penguatkuasa negara lain.

Insiden-insiden rmepuhan ini kerapkali berlaku di Laut China Selatan terutamanya membabitkan kapal pegawal pantai China dan Vietnam sebelum ini.

Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

 

Pihak berkuasa China mungkin memikirkan bahawa tidak ada kapal-kapal penguatkuasa negara lain yang berani untuk menghalau mahupun merempuh “The Monster”  disebabkan saiznya yang amat besar itu, sekaligus membolehkan ia berbuat-sesuka hati dan menceroboh sempadan maritim negara lain.

Dengan saiznya yang mencecah 12,000 tan, sememangnya tidak ada kapal pengawal pantai negara lain yang “berani” menghampirinya.

“The Monster” sememangnya direka untuk “merempuh” mana-mana sempadan perairan negara-negara di Laut China Selatan.

Bayangkan sekiranya sebuah kapal penguatkuasa yang memiliki berat kira-kira 700 tan dirempuh oleh “The Monster”, apa akan terjadi kepada kapal penguatkuasa itu dan anak-anak kapalnya. 

Bagi “The Monster”, saiznya dan beratnya sehingga 12,000 tan itu adalah senjatanya paling utama.– DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

featuredKelas-ZhaotouLaut China SelatanPengawal PantaiThe Monster
Comments (1)
Add Comment