Mesir Hampir Berjaya Miliki F-35 Menerusi Trump, Sebelum Israel Buat Bantahan Keras
Semasa pentadbiran Donald Trump yang pertama sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 2018, beliau telah secara lisan bersetuju untuk menjual 20 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35A kepada Mesir.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mesir dilaporkan terpaksa melihat pesawat pejuang generasi kelima buatan negara-negara lain selepas usahanya untuk memperolehi 20 buah pesawat pejuang F-35 Lightning II buatan Amerika Syarikat pada 2018 tidak mendapat reaksi positif Washington.
Semasa pentadbiran Donald Trump yang pertama sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 2018, beliau dilaporkan telah secara lisan bersetuju untuk menjual 20 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35A kepada Mesir.
Namun begitu, tentangan keras daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan Israel menyebabkan hasrat Trump itu gagal tidak diteruskan.
Selain Mesir, Trump ketika penggal pertama memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat juga bersetuju untuk menjual 100 buah F-35 kepada Turkiye dan 50 buah F-35 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Berikutan kegagalan itu, Mesir kemudiannya beralih kepada Rusia untuk memperolehi 24 buah pesawat Su-35 buatan Russia, tetapi tempahan tersebut akhirnya dibatalkan akibat ancaman sekatan daripada Amerika Syarikat.
“Mengapa Amerika Syarikat tidak membekalkan pesawat pejuang F-35 kepada Mesir seperti yang telah diberikan kepada Israel, sedangkan ia membantah perjanjian pembelian pesawat Su-35 dari Russia?” soal Mejar Jeneral Naser Salem, bekas pegawai tinggi tentera Mesir kepada Al-Monitor pada 2020, sekaligus menggambarkan dengan jelas kekecewaan Kaherah.
Mengapa Amerika Syarikat enggan membekalkan pesawat pejuang F-35 walaupun Presiden Trump ketika penggal pertama menjadi presiden telah secara lisan memberikan persetujuannya untuk menjual pesawat itu kepada Kaherah.
F-35 buatan Lockheed Martin
Dua undang-undang Amerika Syarikat menyukarkan usaha Mesir untuk memperoleh pesawat pejuang halimunan tersebut.
Pertama, komitmen Amerika Syarikat untuk mengekalkan kelebihan ketenteraan Israel atau “Qualitative Military Edge” (QME) dengan tidak menjual sistem persenjataan canggih kepada negara-negara lain di rantau Timur Tengah telah dijadikan undang-undang pada 2008.
Kedua, Akta “Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA)” yang digubal pada 2017 mewajibkan sekatan ke atas negara-negara yang membeli peralatan ketenteraan daripada pihak yang dianggap musuh oleh Amerika Syarikat.
Hasrat Mesir untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat itu dihalang oleh dasar negara kuasa besar itu yang mahu memastikan kelebihan ketenteraan atau Qualitative Military Edge kekal berpihak kepada Israel berbanding negara-negara Arab yang lain, walaupun negara-negara tersebut mempunyai perjanjian damai dengan Israel, seperti Mesir.
“Pesawat F-35 khususnya menimbulkan masalah besar dari sudut pandangan Israel kerana pesawat itu berpotensi menghakis kelebihan udara Israel sekiranya Mesir dan Israel kembali bermusuhan pada masa hadapan,” menurut penganalisis.
Disebabkan kesukaran dihadapinya dalam memperolehi pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat disebabkan dasarnya untuk melindungi Israel, Mesir dilaporkan mula memandangkan kepada China untuk memenuhi keperluan pesawat pejuang generasi kelima itu.
Mesir dilaporkan telah menunjukkan minat untuk memperoleh pesawat pejuang halimunan FC-31 atau variannya J-35A buatan China.
F-35I “Adir” Israel
Pada tahun 2024, terdapat laporan mengenai rundingan antara Mesir dan China berhubung potensi pembelian pesawat tersebut.
China telah mendedahkan secara rasmi pesawat pejuang J-35A yang merupakan varian kepada pesawat pejuang FC-31 pada pameran udara Airshow China yang berlangsung di Zhuhai pada akhir tahun lepas.
J-35A merupakan pesawat pejuang generasi kelima kedua China selepas J-20 “Mighty Dragon.”
Pembangunan pesawat pejuang generasi kelima kedua China itu dilihat sebagai usaha Beijing untuk bersaing dengan Amerika Syarikat dalam domain pembangunan pesawat pejuang halimunan dan generasi kelima, selain usahanya untuk memodenkan angkatan tenteranya.
Pesawat pejuang J-35A itu direkabentuk untuk melaksanakan operasi kombat udara dan juga operasi udara-ke-darat, menurut media pertahanan di China.
Dengan pesawat pejuang J-35A itu, China juga muncul sebagai negara kedua di dunia selepas Amerika Syarikat yang berjaya membangunkan dua jenis pesawat pejuang generasi kelima iaitu J-35A dan J-20 “Mighty Dragon.”
Amerika Syarikat juga mempunyai dua jenis pesawat pejuang generasi kelima dan halimunan yang berlainan itu F-35 dan F-22 “Raptor.”
J-20 “Mighty Dragon” China
Bukan sahaja Mesir dilaporkan telah memulakan rundingan dengan China tentang kemungkinan ia memperolehi pesawat pejuang generasi kelima buatan kuasa Asia itu tetapi sejak beberapa bulan lepas spekulasi berlegar bahawa Kaherah telah pun memperolehi pesawat pejuang J-10CE buatan China.
Pesawat pejuang J-10CE buatan China itu merupakan pesawat pejuang generasi 4.5.
Baru-baru ini, Tentera Udara Mesir dilaporkan berkemungkinan besar telah pun menerima kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang J-10CE buatan China, yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh (Beyond Visual Range) PL-15.
Kemungkinan itu dinyatakan oleh seorang pemerhati aeroangkasa China, Hurin menerusi platform media sosial X miliknya yang menunjukkan dua buah pesawat pejuang J-10CE milik Mesir sedang beraksi.
Tentera Udara Mesir dilaporkan memperolehi sehingga 40 buah pesawat pejuang J-10CE buatan China itu.
Pesawat pejuang J-10CE merupakan varian eksport kepada pesawat pejuang J-10C “Vigorous Dragon” yang dibangunkan oleh dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation untuk Tentera Udara China.
Perolehan pesawat pejuang J-10C bersama-sama peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh (Beyond Visual Range) PL-15 buatan China oleh Tentera Udara Mesir baru-baru ini, nampaknya, telah meningkatkan kebimbangan di kalangan komuniti pertahanan dan keselamatan Israel.
J-10CE (credit Hurin92)
Media-media pertahanan Israel menyatakan bahawa pemilikan pesawat pejuang J-10C dan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 berkemampuan meningkatkan kemampuan udara Tentera Udara Mesir dan mengubah keseimbangan kuasa udara di Timur Tengah yang sehingga kini dikuasai oleh Israel.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar AESA itu dipercayai mempunyai jarak operasi melebihi 300 km, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara dengan jarak tembakan paling jauh di dunia.
Menurut laman web pertahanan Israel, Nziv, minat Mesir terhadap pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C “Vigorous Dragon” merupakan sebahagian daripada strategi negara Arab itu memodenkan kuasa udaranya dan mempelbagaikan sumber bekalan ketenteraannya daripada terus bergantung dengan Amerika Syarikat.
Kebimbangan komuniti pertahanan dan keselamatan Israel bukan hanya tertumpu kepada kemungkinan Mesir memperoleh pesawat J-10C, tetapi lebih kepada integrasi peluru berpandu PL-15 ke dalam Tentera Udara Mesir.
Peluru berpandu ini, yang dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA), direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Ia berpotensi membolehkan pesawat pejuang Mesir menyerang pesawat musuh dari jarak yang lebih jauh berbanding sebelum ini.
J-10CJ-35A
Untuk bertahun-tahun lamanya, Israel bergantung kepada kekuatan udara di rantau ini, terutamanya hasil akses negara itu kepada persenjataan canggih buatan Amerika, termasuk pesawat pejuang generasi kelima, F-35 dan sistem pertahanan udara yang sofistikated.
Namun, kemasukan peluru berpandu PL-15 buatan China itu ke dalam inventori Mesir berpotensi mencabar dominasi Israel dalam kuasa udara, terutamanya kerana peluru berpandu ini mengatasi keupayaan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM buatan Amerika, yang mempunyai jarak efektif yang lebih pendek.
Ketua Staf Angkatan Tentera Israel (IDF) Lt Jeneral Herzi Halevi yang bakal melepaskan jawatannya tidak lama lagi telah menyuarakan “rasa bimbang” yang turut dikongsi bersama oleh komuniti pertahanan dan keselamatan Israel tentang kekuatan tentera Mesir dan saiz angkatan tenteranya yang besar.
Bercakap dalam temuramah dengan media negara itu, Channel 14, Halevi berkata apa yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Mesir pada ketika ini adalah “amat membimbangkan.”
“Kami sangat bimbang mengenai perkara ini (kekuatan Angkatan Tentera Israel). Mesir memiliki sebuah angkatan tentera yang besar, dilengkapi dengan sistem tempur yang canggih, pesawat, kapal selam, kapal perang, dan kereta kebal moden, serta sejumlah besar pasukan infantry,” katanya.
Walaupun Mesir tidak mendatangkan ancaman kepada Israel pada ketika ini, namun ia boleh berubah pada “bila-bila sahaja” sekiranya terdapat sebarang perubahan terhadap pucuk pimpinan negara itu.
Perkembangan ini susulan laporan Channel 14 pada awal Februari yang mendakwa bahawa pihak Israel telah mula mengumpul risikan mengenai pergerakan dan perkembangan tentera Mesir di Semenanjung Sinai.
Institusi keselamatan dan ketenteraan Israel dilaporkan memperolehi maklumat yang menunjukkan Mesir didakwa sedang mengubah kedudukan pasukannya di Sinai, yang dikatakan melanggar Perjanjian Camp David 1979.