Kerajaan Malaysia Puashati Kemajuan Pembinaan Lima Kapal LCS Walau “Lewat 1.68 Peratus”
Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kapal Littoral Combat Ship (LCS) pertama dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos 2026 manakala kapal-kapal LCS kedua, ketiga, keempat dan kelima sedang dalam pembinaan mengikut jadual masing-masing.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Malaysia tetap berpuashati dengan tahap kemajuan pembinaan kelima-lima kapal Littoral Combat Ship (LCS), walaupun ia berhadapan dengan kelewatan kecil sebanyak 1.68 peratus.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata kelewatan kecil itu berpunca daripada bekalan peralatan Original Equipment Manufacturer (OEM).
“Projek tersebut telah mencapai tahap siap sebanyak 71.62 peratus berbanding sasaran asal sebanyak 73 peratus,” kata beliau kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Lumut Naval Shipyard (LUNAS) hari ini.
Beliau berkata, projek bernilai RM11 bilion itu amat penting untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang kini amat memerlukan kapal-kapal LCS tersebut.
Katanya, kapal LCS pertama dijangka diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026 manakala kapal-kapal LCS kedua, ketiga, keempat dan kelima sedang dalam pembinaan mengikut jadual masing-masing.
“LCS kedua pula dijangka diluncurkan ke air pada Mei ini dan diserahkan kepada TLDM pada April 2027, manakala LCS ketiga dijangka diluncurkan pada Januari 2026,” katanya.
Upacara penamaan kapal LCS kedua dijangkakan pada Jun tahun ini.

Kapal LCS pertama Maharajalela dilaporkan sebelum ini sedang menjalani Harbour Acceptance Trial (ujian pelabuhan) bermula Disember tahun lepas dan selepas semua perkakas dipasang, maka kapal LCS 1 itu akan menjalani Sea Acceptance Test (ujian di laut).
Projek kapal LCS yang pada asalnya bernilai RM9 bilion dikatakan sebagai perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia.
Ia menjadi perhatian umum pada 2022 selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa tiada satu pun daripada enam kapal yang ditempah berjaya disiapkan, walaupun Putrajaya telah membelanjakan sebanyak RM6.08 bilion.
Berikutan kelewatan dan peningkatan kos, nilai projek kini melonjak kepada RM11.22 bilion, manakala jumlah kapal yang akan diserahkan telah dikurangkan daripada enam kepada lima buah sahaja.
Kapal LCS kelas-Maharaja Lela TLDM apabila siap dibina kelak memiliki panjang 111 meter dan membawa kira-kira 118 orang krew kapal daripada pegawai sehinggalah kepada anak-anak kapalnya.
Dengan jenis propulsion CODAD (Combined Diesel and Diesel), kapal LCS TLDM itu memiliki kelajuan 28 knots ++ dan jarak operasi sehingga 5,000 batu nautika (pada kelajuan 15 knots).
Kapal-kapal LCS TLDM ini mampu beroperasi lebih jauh dan lebih lama .
Disebabkan saiznya, kapal memiliki kemudahan hangar dan helipad untuk mengoperasikan helikopter bersaiz sederhana seberat di antara 10 hingga 12 tan seperti EC725 dan lain-lain jenis helikopter.
Mengenai sistem persenjataannya, kapal-kapal kelas-Maharaja Lela ini akan dilengkapkan dengan sebuah meriam BAE Systems Bofor 57mm dengan kupola halimunan bertujuan mengurangkan Radar Cross Section (RCS) kapal.
Selain itu,ia juga dilengkapi dengan dua meriam MSI Defence DS30 MkII 30mm Remote Control Weapon System (RCWS) dan J+S pelancar torpedo.
Bagi sistem peluru berpandu anti-kapalnya pula, ketika kontrak ditandatangani kapal-kapal kelas-Maharaja Lela TLDM ini merupakan kapal perang pertama di Asia Tenggara yang dilengkapi dengan peluru berpandu NSM yang dibangunkan oleh firma Kongsberg daripada Norway.
Setiap sebuah kapal LCS TLDM itu akan dilengkapi dengan lapan butir peluru berpandu moden itu.
Bagi pertahanan udaranya pula, kapal perang itu dikatakan akan dilengkapidengan sistem peluru berpandu VL (Vertical Launch) MICA yang dibangunkan oleh firma MBDA.

Mengenai Sistem Pengurusan Peperangan (Combat Management System –CMS) pula, kapal-kapal LCS TLDM itu menggunakan sistem SETIS yang dibangunkan sendiri oleh firma Naval Group, walaupun di dalam laporan PAC mengatakan TLDM lebih berminat kepada sistem CMS “Tacticos.”
Untuk fire control radar, kapal-kapal LCS akan menggunakan Rheinmetall TMX/EO MKII manakala bagi sistem ESM pula ia menggunakan THALES VIGILE 100 ESM dan sonar pula kapal dilengkapi dengan THALES CAPTAS Variable Depth Sonar.
Untuk sistem decoy pula, ia menggunakan Super Barricade Decoy System manakala komunikasi ia menggunakan Link 16 dan Link 11 serta THALES TUUM-Underwater Communication System.
— DEFENCE SECURITY ASIA