Meriam Israel Sudah Sampai, Filipina Mula Terima Soltam ATMOS 155mm/52

Angkatan Tentera Filipina merupakan diantara pelanggan utama bagi sistem pertahanan Israel di rantau Asia Tenggara ini dengan kesemua cabang angkatan tenteranya menggunakan pelbagai peralatan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat pertahanan Israel.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Filipina telah mula menerima secara berperingkat meriam-meriam bergerak (wheeled self propelled howitzer) “Soltam ATMOS 155mm/52cal  yang dibuat oleh syarikat pertahanan Israel, Elbit Systems Land & C4I.

Meriam-meriam itu akan digunakan oleh Tentera Darat Filipina, kemungkinan besar untuk operasi-operasi di selatan Filipina yang bergolak dengan pelbagai masalah keselamatan.

Laman blog pertahanan Filipina, Max Defense telah memaparkan beberapa keping gambar ketibaan meriam-meriam terbabit bersama-sama kenderaan sokongannya di zon ekonomi bebas Pelabuhan Subic di Subic, Filipina.

Awal tahun lepas, Filipina dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan Israel untuk memperolehi di antara 12-15 meriam bergerak beroda jenis Soltam ATMOS 15mm/52cal dibawah program pemodenan angkatan tentera Filipina Horizon 2.

Filipina bercadang melengkap dua bateri tentera daratnya dengan meriam-meriam buatan Israel itu.

Sistem meriam beroda bergerak Soltam ATMOS 155mm/52cal itu telah dibangunkan oleh anak syarikat Elbit iaitu Soltam Systems, satu nama yang lama dalam pembuatan meriam dan sistem mortar daripada Israel.

Soltam System ini juga telah banyak menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.

Meriam Soltam ATMOS 155mm/52cal ini mampu menembak sasaran sejauh 41km menggunakan projektil jenis “Extended Range Full Bore Base Bleed (ERFB-BB)”, dengan sistem itu dioperasikan oleh krew di antara empat hingga enam orang (termasuk dua loaders)

Di dalam kes Filipina, sistem meriam Soltam ATMOS itu menggunakan trak MAN, memandangkan kenderaan itu mudah didapati di Filipina.

Tentera Darat Thailand turut menggunakan sistem meriam bergerak Soltam ATMOS 155mm/39cal.

Selain sistem meriam bergerak Soltam ATMOS 155mm/52 cal, tentera darat dan pasukan marine Filipina turut menggunakan 12 unit meriam 155mm/39 cal. (towed)

Meriam Soltam ATMOS 155mm/39 cal yang digunakan oleh Tentera Thailand.

Terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa penghantaran pertama meriam bergerak beroda Soltam ATMOS 155mm/52cal itu turut diiringi dengan beberapa kenderaan mortar bergerak “M113 Armored Mortar Carrier” yang menggunakan Soltam CARDOM recoil mortar system.

Pada 2019, Filipina turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Elbit itu untuk memperolehi sejumlah 15 buah sistem mortar bergerak itu yang menggunakan mortar berkaliber 120mm.

Sistem mortar CARDOM 81mm yang digunakan oleh Tentera Filipina.

 

Perjanjian untuk sistem mortar bergerak itu turut meliputi perolehan Combat NG Battle Management System oleh Elbit dianggarkan bernilai RM80 juta.

Sistem mortar bergerak dibangunkan oleh syarikat Elbit mampu membedil sasaran sejauh 7,000 meter dengan mortar itu mampu memuntahkan enam peluru dalam tempoh satu minit.

Angkatan Tentera Filipina merupakan diantara pelanggan utama bagi sistem pertahanan Israel di rantau Asia Tenggara ini dengan kesemua cabang angkatan tenteranya menggunakan pelbagai peralatan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat pertahanan Israel.

Penasihat-penasihat ketenteraan Israel juga bergerak aktif memberikan latihan kepada unit-unit tentera dan keselamatan Filipina termasuk kepada pasukan-pasukan khusus negara itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

ElbitfeaturedFilipinaMeriamSoltam ATMOS