Menteri Pertahanan Lawat KAI dan Hanwha, Lihat Sendiri Fasiliti Pembuatan FA-50M TUDM

“Saya berpeluang melihat demonstrasi produk pertahanan, fasiliti pembuatan serta mendengar sendiri kemajuan pembinaan pesawat FA-50M. Alhamdulillah, kesemuanya dalam keadaan baik, mengikut jadual dan kini 39 peratus siap.” -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menamatkan lawatan kerja lima hari beliau ke Korea Selatan dengan melakukan lawatan  ke Korea Aerospace Industries (KAI) di Sacheon dan Hanwha Aerospace di Changwon.
Beliau berkata, kedua-dua syarikat pengeluar aset ketenteraan ini bertanggungjawab dalam pembinaan 18 pesawat tempur ringan FA-50M milik TUDM yang akan diserahkan bermula tahun 2026.
Perolehan bagi 18 pesawat ini telah dimuktamadkan Mei tahun lalu dengan kontrak bernilai hampir RM4 bilion.
“Saya berpeluang melihat demonstrasi produk pertahanan, fasiliti pembuatan serta mendengar sendiri kemajuan pembinaan pesawat FA-50M. Alhamdulillah, kesemuanya dalam keadaan baik, mengikut jadual dan kini 39 peratus siap.”
“Perolehan ini nescaya membolehkan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditingkatkan,” kata beliau menerusi posting di dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
(Kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
TUDM dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat FA-50M pada bulan Oktober 2026.
Pesawat-pesawat FA-50M selebihnya akan diterima oleh TUDM secara berperingkat selepas itu dengan pesawat terakhir dijangka diterima pada tahun 2028.
Sumber memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa  buat masa ini kesemua 18 buah pesawat pejuang ringan itu akan beroperasi daripada Pangkalan TUDM Kuantan.
Pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM ialah varian FA-50M yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Hanya varian pesawat pejuang ringan FA-50PL milik Poland adalah hampir sama dengan apa yang dimiliki oleh TUDM.
(Kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
(Kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
Ditemu ramah oleh Bernama di Langkawi Mei tahun lepas, Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young berkata varian FA-50M diperoleh Malaysia, lebih canggih dan berkeupayaan jika dibandingkan dengan varian FA-50 yang dioperasikan oleh ROKAF.
Sumber memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa latihan juruterbang akan bermula pada awal tahun 2026 melibatkan enam orang juruterbang untuk tempoh di antara tiga hingga enam bulan.
Ia akan meliputi dengan latihan menggunakan simulator.
Antara perbezaan utama di antara varian FA-50M milik Malaysia dengan varian FA-50 milik tentera-tentera udara negara adalah — pesawat pejuang ringan milik TUDM itu dilaporkan bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.
Manakala bagi Hanwha pula kata Mohamed Khaled,  ia merupakan syarikat yang membina enjin F404 bagi FA-50M yang diperoleh.
(Kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
(Kredit FB Mohamed Khaled Nordin)
“Saya mengambil peluang melawat fasiliti pembuatannya, serta mendengar pembentangan syarikat berkenaan produk dan sistem pertahanan yang dibangunkan, merangkumi domain darat, laut, udara dan angkasa,” katanya.
Menteri Pertahanan itu berkata, selaras dengan hasrat negara, Kementerian Pertahanan akan terus berusaha memodenkan aset-aset pertahanan dan mengembangkan industri pertahanan tempatan.
“Ruang dan peluang yang ada melalui perolehan seperti ini, perlu dimanfaatkan sebaiknya, misalnya dalam program “offset” dan pemindahan teknologi.”
“Kesemua ini bagi memastikan industri tempatan kita dapat dibangunkan dan matlamat negara ke arah “self-reliance” dalam pertahanan dapat dicapai,” katanya. — DSA
featuredHanwhaKAIKorea Selatan
Comments (0)
Add Comment