Langkah Perolehan F/A-18C/D Kuwait Kini di Peringkat Akhir, Tunggu Kelulusan Amerika

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, usaha Malaysia memperolehi pesawat pejuang "Legacy Hornet" itu termasuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Kuwait menunjukkan perkembangan positif.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Langkah Malaysia untuk memperolehi lebih 30 pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet terpakai milik Tentera Udara Kuwait (KAF) kini berada di peringkat akhir menanti kelulusan daripada Amerika Syarikat (AS), selaku pembuat asal pesawat berkenaan.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, usaha Malaysia memperolehi pesawat pejuang “Legacy Hornet” itu termasuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Kuwait menunjukkan perkembangan positif.
“Segala persuratan telah dilaksanakan dan dalam perhatian AS, kita sekarang hanya menunggu kelulusan daripada AS, setakat ini tiada masalah.
“Tindakan lanjut bergantung kepada kelulusan yang diberi. Kita telah menubuhkan jawatankuasa antara Kementerian Pertahanan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta KAF,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan berperanan berbincang langkah seterusnya setelah mendapat kelulusan perolehan termasuk pelaksanaan pengambilalihan pesawat itu setelah ia diluluskan nanti.
Mohd Asghar Khan berkata, pertambahan pesawat pejuang F/A-18C/D milik Kuwait itu akan memberi kelebihan kepada TUDM dalam melaksanakan tugas rondaan dengan lebih efektif.
Selain itu operasi pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D itu sekiranya berjaya diperolehi oleh TUDM juga akan dibantu oleh 18 buah pesawat pejuang Su-30 MKM dan lapan buah F/A -18C/D  Skuadron 18 TUDM yang digunakan ketika ini.
Perolehan pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet terpakai milik Kuwait akan menambah lapan buah F/A-18C/D yang sedia ada dimiliki TUDM ketika ini,  sekali gus mengukuhkan lagi pertahanan negara.
Pada Oktober lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah melakukan lawatan kerja ke Kuwait untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negara Timur Tengah itu berkenaan perolehan pesawat pejuang F/A-18C/D milik tentera udara negara itu.
Pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Kuwait
Beliau juga telah meninjau sendiri keadaan terkini pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait (KAF) yang cuba Malaysia perolehi.
Semasa lawatan ke Kuwait itu, Mohamed Khaled menerusi posting media sosialnya berkata, kerajaan Kuwait telah memberikan maklum balas yang positif tentang hasrat negara untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik KAF tersebut.
Terdahulu dalam Menteri Pertahanan menyatakan bahawa kerajaan Malaysia dan Kuwait telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memulakan rundingan tentang perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait.
Pada Jun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Panglima TUDM dilaporkan pada ketika itu bahawa pesawat-pesawat F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
Malaysia merancang memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum TUDM dilengkapi dengan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.
Pesawat pejuang F/A-18C Hornet Tentera Udara Kuwait
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion (RM38.73 billion) — DSA

F/A-18C/D HornetfeaturedKuwaitTUDM
Comments (0)
Add Comment