Kapal Pengangkut Pesawat Tunggal Russia “Kehilangan” Krew Pula

Selepas bertahun-tahun berada di limbungan kering untuk diperbaiki, kapal pengangkut pesawat tunggal Russia,Admiral Kuznetsov dijangka mula belayar pada tahun depan. Bagaimanapun usaha untuk belayar kembali berhadapan masalah besar kerana 1,900 krewnya yang dahulu telah "dibubarkan" dan sebahagian besar telah dihantar untuk bertugas di kapal-kapal perang yang lain, malah ada yang dihantar berperang di Ukraine.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Satu-satunya kapal pengangkut pesawat milik Russia, Admiral Kuznetsov sudah enam tahun berada di limbungan kering (dry dock) menjalani pelbagai kerja-kerja penyelenggaraan dan naiktaraf yang dilakukan di Limbungan Kapal Sevmorput di Murmansk,utara negara itu.

Ia dijangka akan berlayar semula pada tahun depan tetapi usaha itu pun kini terumbang-ambing.

Ini kerana kapal pengangkut pesawat Russia itu dikatakan tidak lagi mempunyai krew, selepas 1,900 krew kapal terbabit “hilang” atau perkhidmatan mereka dengan Admiral Kuznetsov dibubarkan selepas kapal itu mula memasuki limbungan kering untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan yang panjang bermula pada 2017.

Laporan media mengatakan krew-krew lama kapal Admiral Kuznetsov itu telah dipindahkan ke kapal-kapal lain di dalam Tentera Laut Russia, malah terdapat juga laporan mengatakan sebahagian daripada mereka juga telah dihantar ke Ukraine untuk berperang.  

Kapal pengangkut pesawat Admiral Kuznetsov direka untuk memiliki 1,900 krew di atasnya. Krew baru kapal itu (selepas diperbaiki) sepatutnya berjumlah 1,500 orang kerana kebanyakkan daripada sistem dalamannya telah di-automasi.”

Walaupun begitu, akhbar Russia, “Izvestia” telah melaporkan bahawa usaha untuk menyediakan 1,500 orang krew yang bakal berkhidmat dengan kapal pengangkut pesawat yang telah dinaiktaraf itu telah bermula baru-baru ini, tetapi usaha itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana krew-krew baru ini memerlukan latihan intensif untuk melaksanakan tugas-tugas yang spesifik sebelum kapal pengangkut pesawat itu boleh belayar dan melaksanakan operasinya di lautan.

Mencari krew dan melatih mereka untuk berkhidmat di atas kapal pengangkut pesawat bukanlah suatu usaha yang mudah, walaupun untuk melakukan tugas-tugas yang mudah.

Kapal pengangkut pesawat tunggal Russia “Admiral Kuznetsov”.

 

Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat yang baru, USS Gerald Ford secara fizikalnya telah siap sepenuh tetapi masih menjalani pelbagai ujian di lautan selama beberapa tahun dan proses itu masih berterusan sehingga kini sehinggalah ia benar-benar berkemampuan untuk beroperasi di lautan.

Walaupun ada di antara operasi di atas kapal pengangkut pesawat itu adalah hampir sama dengan operasi dikapal-kapal permukaan yang lain, namun, kapal-kapal pengangkut pesawat mempunyai tugasan spesifiknya yang tersendiri termasuk krew-krewnya perlu berkemampuan untuk menyelenggara pesawat dan helikopter yang di bawa oleh kapal terbabit.

“Walaupun ia mempunyai 1,500 kelasi yang berkelayakan, latihan dan usaha menyesuaikan diri dengan kapal pengangkut pesawat terbabit akan memakan masa berbulan. Malah krew kapal yang lama juga dijangka akan mempunyai masalah untuk mengoperasi kapal itu memandangkan Admiral Kuznetsov kini mempunyai peralatan yang baru.

“Krew-krew yang tidak terlatih boleh menyebabkan kemalangan yang besar,” kata penganalisis Tentera Laut Russia Matus Smutny.

Ia juga sama kepada juruterbang-juruterbang pesawat Su-33 dan MiG-29KR yang perlu menjalani latihan perlepasan dan pendaratan di atas kapal Admiral Kuznetsov serta latihan teknikal mereka selepas bertahun-tahun tidak berbuat demikian kerana kapal diperbaiki di limbungan kering.

Admiral Kuznetsov

 

Kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu telah mengalami beberapa insiden malang seperti kebakaran yang berlaku ketika ia belayar di Turki pada 2009 yang menyebabkan seorang anak kapal terbunuh.

Sebulan selepas kejadian di Turki itu, Admiral Kuznetsov ditimpa insiden malang yang lain sehingga menyebabkan kira-kira 300 tan minyak miliknya tumpah di perairan Ireland ketika kapal perang itu sedang mengisi minyak.

Dalam satu lagi insiden malang yang berlaku di perairan Syria, dua buah pesawat pejuang Admiral Kuznetsov  terhempas ketika ia cuba mendarat di atas kapal perang terbabit.

Kemalangan itu telah menyebabkan Admiral Kuznetsov membatalkan pelayarannya di perairan Mediterranean dan berpatah-balik ke pangkalan laut Russia di Tartus,Syria.

Kerja-kerja baikpulih dan pemodenan terhadap kapal Admiral Kuznetsov itu bermula pada 2017 bertujuan untuk memanjangkan lagi hayatnya untuk tempoh 20 tahun lagi, selain mengalihkan silo-silo peluru berpandunya serta melengkapkannya dengan sistem pertahanan udara serta elektronik yang baru.

Kapal pengangkut pesawat terbaru Amerika Syarikat, USS Gerald R.Ford (CVN 78)

 

Ia juga akan membolehkan Admiral Kuznetsov membawa 50 buah pesawat pejuang.

Pada tahun 2018 ketika sedang diperbaiki sebuah kren seberat 70 tan telah roboh ke atas kapal pengangkut pesawat itu menyebabkan seorang anak kapalnya terbunuh, manakala pada 2019 pula insiden kebakaran di kapal itu membunuh dua orang pekerja.

Kapal pengangkut pesawat tunggal Russia, Admiral Kuznetsov seberat 57,000 tan itu telah siap dibina pada 1983 tetapi hanya ditauliahkan pada 1990. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Admiral KuznetsovfeaturedKapal Pengangkut PesawatMurmanskRussia