Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Nuklear, USS Florida Ke Timur Tengah Untuk Hadapi Iran

Tindakan Tentera Laut Amerika mengumumkan lokasi di mana kapal-kapal selam nuklearnya beroperasi merupakan suatu tindakan yang jarang-jarang diambilnya, kerana operasi serta kedudukan kapal-kapal berkuasa nuklearnya merupakan rahsia yang sentiasa dikawal ketat.

0 1,929

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Amerika Syarikat bertindak mengerah sebuah kapal selam berkuasa nuklearnya dilengkapi 154 peluru berpandu kruis “Tomahawk” ke Timur Tengah selepas agensi perisikannya mengeluarkan amaran kepada kapal-kapal komersial yang belayar di perairan di rantau itu berikutan ketegangan di antara Iran dengan Israel.

Agensi-agensi perisikan Amerika dan Israel menyatakan bahawa pasukan Tentera Pengawal Revolusi Iran sedang bersiap-sedia untuk melancarkan serangan dron-dron “berani mati” terhadap kapal-kapal komersial milik syarikat Israel yang belayar di Laut Arab dan Teluk Parsi.

Menurut penganalisis pertahanan di rantau Timur Tengah, tentera Iran merancang untuk melakukan serangan terhadap kapal-kapal komersial milik Israel itu sebagai “membalas dendam” terhadap serangan udara Amerika dan Israel di Syria bulan lepas yang menyebabkan kematian dua orang anggota Tentera Pengawal Revolusi Iran.

Kapal Selam
USS Florida di perairan Itali.

 

Serangan oleh Amerika dan Israel itu adalah bagi membalas serangan dron terhadap pangkalan tentera Amerika dan militia Kurdish di utara Syria pada 23 Mac lalu yang menyebabkan seorang anggota tentera negara itu terbunuh manakala enam yang lain cedera,

Pegawai kanan tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa kerahan kapal selam berkuasa nuklear itu, USS Florida ke Timur Tengah itu bertujuan sebagai amaran kepada Iran supada tidak bertindak sesuka-hati di perairan yang penting untuk perdagangan dunia dan supaya memelihara kestabilan.

Perairan di Laut Arab dan Teluk Parsi itu penting untuk perdagangan dunia dengan ribuan kapal komersial membawa pelbagai muatan termasuk minyak, gas dan barang lain bernilai berbilion dollar Amerika ke seluruh pelusuk dunia.

“Beberapa insiden terkini termasuk serangan di Syria dan ancaman-ancaman awam yang dibuat oleh Iran terhadap kapal-kapal komersial, telah memaksa kami (tentera Amerika) untuk mengingatkan pelayar serantau supaya sentiasa berhati-hati,” kata jurucakap kepada Armada Ke-5 Tentera Laut Amerika, Komander Timothy Hawkins yang berpengkalan di Bahrain.

Tindakan Tentera Laut Amerika mengumumkan lokasi di mana kapal-kapal selam nuklearnya beroperasi merupakan suatu tindakan yang jarang-jarang diambilnya, kerana operasi serta kedudukan kapal-kapal berkuasa nuklearnya merupakan rahsia yang sentiasa dikawal ketat.

Kapal Selam

Ia berlainan dengan operasi dan kedudukan kapal-kapal perang permukaan dan pesawat yang boleh dijejaki.

Kapal selam terbabit, USS Florida berkemampuan membawa sehingga 154 buah peluru berpandu kruis “Tomahawak” (Submarine-Launched Cruise Missile –SLCM) untuk tujuan serangan sasaran-sasaran darat.

Setiap peluru berpandu itu mampu membedil sasaran sejauh 2,500km bergantung kepada variannya.

Dibina oleh syarikat General Dynamic Electric Boat, kapal selam berkuasa nuklear USS Florida kelas-Ohio itu mula dibina pada tahun 1976 dan ditauliahkan dalam perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat pada 1983.

Dalam satu lagi petanda bahawa ketegangan di Timur Tengah semakin meningkat, Jabatan Pertahanan Amerika mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan operasi kapal pengangkut pesawatnya,USS George W.Bush di Timur Mediterranean serta mempercepatkan lagi penempatan pesawat-pesawat serangan darat A-10 Warthog di pangkalan udara tidak dinyatakan di Timur Tengah. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...