“Kurangkan Pergantungan Pada Amerika, Beli Pesawat Pejuang Rafale,” Kata Presiden Perancis

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut menawarkan sistem pertahanan udara SAMP/T buatan  syarikat pertahanan Perancis-Itali kepada negara-negara yang enggan membeli sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat.
“Kurangkan Pergantungan Pada Amerika, Beli Pesawat Pejuang Rafale,” Kata Presiden Perancis
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika Jerman, Portugal dan Kanada sedang berkira-kira untuk membatalkan cadangan pembelian pesawat pejuang F-35 Lightning II buatan Amerika Syarikat, Perancis pula menyeru rakan-rakan Eropahnya supaya mengurangkan kebergantungan pada senjata Amerika dan menawarkan pesawat pejuang buatannya, Rafale sebagai alternatif kepada F-35.
Presiden Perancis Emmanuel Macron turut menawarkan sistem pertahanan udara SAMP/T buatan  syarikat pertahanan Perancis-Itali kepada negara-negara yang enggan membeli sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat.
“Mereka yang membeli sistem Patriot seharusnya ditawarkan sistem pertahanan udara generasi baru SAMP/T buatan Perancis-Itali. Manakala mereka yang membeli pesawat F-35, sepatutnya ditawarkan pesawat tempur Rafale.”
“Niat saya adalah untuk meyakinkan negara-negara Eropah yang sudah terbiasa membeli peralatan ketenteraan dari Amerika Syarikat,” kata beliau dalam temu bual bersama beberapa media Perancis, termasuk Nice-Matin dan Le Parisien, baru-baru ini.
Beliau juga berkata bahawa negara-negara anggota NATO terlalu bergantung kepada sistem persenjataan buatan Amerika Syarikat.
Negara-negara Eropah kini berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk memperkukuh industri pertahanan mereka sendiri berikutan ketidakpastian dalam dasar luar Amerika Syarikat selepas Donald Trump kembali memegang jawatan Presiden pada Januari lalu.
Beberapa hari lalu, Portugal memutuskan untuk menimbang semula rancangannya membeli pesawat pejuang F-35 Lightning II buatan Amerika Syarikat bagi menggantikan F-16 AM/BM miliknya yang sudah berusia, kerana bimbang terhadap ketidaktentuan dasar-dasar negara itu di bawah Presiden Donald Trump dan juga situasi geopolitik pada ketika ini.
Rafale
“Rafale”
Menteri Pertahanannya Nuno Melo berkata, memandangkan 28 buah F-16 AM/BM miliknya menghampiri tempoh tamat perkhidmatan maka penggantinya perlu dicari dan memberikan bayangan bahawa Portugal akan memilih pesawat pejuang buatan Eropah sebagai pengganti.
“Kita tidak boleh mengabaikan faktor geopolitik dalam membuat keputusan. Pendekatan terbaru Amerika Syarikat dalam konteks NATO … harus mendorong kita untuk menilai pilihan terbaik, kerana kebolehpercayaan sekutu merupakan aset yang lebih penting untuk dipertimbangkan,” kata beliau.
Menurutnya juga: “Dunia telah berubah … dan sekutu kita ini … mungkin membawa limitasi daripada segi penggunaan, penyelenggaraan, komponen, serta segala aspek bagi memastikan pesawat pejuang itu kekal beroperasi dan boleh digunakan dalam pelbagai senario,” kata Melo.
“Terdapat beberapa pilihan yang perlu dipertimbangkan, khususnya dalam konteks pengeluaran (pesawat pejuang) di Eropah,” katanya.
Perolehan 35 buah pesawat pejuang F-35 Lightning II oleh Jerman turut menjadi topik perdebatan di negara itu selepas timbul kebimbangan Amerika Syarikat, di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, berpotensi melumpuhkan pesawat pejuang itu dari jauh (remote) bagi mencapai agenda politiknya.
Kerisauan mengenai kemungkinan Washington menggunakan apa yang disebut sebagai “kill switch” terhadap pesawat pejuang F-35 yang canggih itu bagi menegakkan agenda politiknya semakin meningkat berikutan keputusan terbaru Trump menggantung bantuan ketenteraan terhadap Ukraine bagi memaksanya berdamai dengan Russia.
SAMP/T
Perjanjian bernilai €8.3 bilion (RM39.7 billion), yang akan melihat Jerman dibekalkan dengan beberapa pesawat pejuang generasi kelima dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin bermula tahun depan, kini menjadi isu perdebatan lebih luas mengenai kebergantungan negara-negara Eropah terhadap kelengkapan ketenteraan buatan Amerika Syarikat.
“Jika kita perlu bimbang bahawa Amerika Syarikat akan melakukan perkara yang sama terhadap pesawat pejuang F-35 Jerman pada masa hadapan seperti yang mereka lakukan di Ukraine sekarang, maka isu pembatalan kontrak (pembelian pesawat pejuang F-35 oleh Jerman) itu mungkin perlu dipertimbangkan,” kata bekas Pengerusi Persidangan Keselamatan Munich, Wolfgang Ischinger, seperti yang dipetik oleh Bild.
Laporan bahawa pesawat pejuang F-16 yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine gagal beroperasi—bukan akibat dinyahaktifkan secara langsung, tetapi kerana Washington menggantung sokongan terhadap sistem peperangan elektroniknya—telah mengukuhkan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat mungkin mempunyai keupayaan untuk mengenakan kawalan yang sama  terhadap pesawat-pesawat pejuang F-35 Jerman pada masa hadapan.
Baru-baru ini, Amerika Syarikat enggan mengemaskini komponen peperangan elektronik AN/ALQ-131 yang digunakan pada pesawat F-16 Ukraine dibekalkan oleh Washington bagi menangkis sistem pertahanan udara Russia, satu keputusan yang berpotensi mengurangkan keupayaan tempur pesawat pejuang itu secara ketara.
F-35 Lightning II
Kanada juga berkata ia sedang mempertimbangkan alternatif lain bagi perjanjian pembelian pesawat pejuang dari Amerika Syarikat kerana kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap Washington dalam aspek keselamatan, kata Perdana Menteri Mark Carney pada Isnin.
Kenyataan itu dibuat hanya beberapa hari selepas beliau mengarahkan semakan semula kontrak bernilai C$19 bilion (RM59.3 bilion) untuk pembelian 88 jet pejuang F-35 daripada Lockheed Martin.
Langkah ini diambil ketika Kanada masih berhadapan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat.
— DEFENCE SECURITY ASIA

AmerikaF-35PerancisRafale
Comments (0)
Add Comment