“Krueger” aka Panglima TUDM Bakal Bersara

"Krueger" aka Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad akan bersara tidak lama, melabuhkan tirai sebagai seorang anggota tentera, juruterbang pesawat pejuang dan panglima. Terima kasih Panglima.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad aka “Krueger” akan bersara tidak lama lagi, menamatkan perkhidmatan berdekad lamanya sebagai seorang anggota tentera dan juruterbang pesawat pejuang dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara.  

Panglima TUDM yang juga seorang test-pilot bukan calang-calang orangnya, daripada seorang juruterbang pesawat pejuang kepada pentadbir yang “no-nonsense.”

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam posting di akaun Facebooknya juga menyedari bahawa TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia bakal “kehilangan” seorang panglima yang benar-benar berkemampuan dengan persaraan Ackbal.

“Bukan sembarangan individu boleh bergelar Panglima Tentera Udara. Memerlukan pengalaman, keupayaan dan kepakaran khusus. Jeneral Tan Sri Ackbal bin Haji Abdul Samad TUDM salah seorang daripadanya.”

“Beliau bakal bersara tidak lama lagi. Jasa dan khidmat baktinya akan kekal dalam lipatan sejarah Tentera Udara Diraja Malaysia dan dikenang sampai bila-bila,” kata Hishammuddin dalam posting di laman Facebook beliau.

(ATM)

 

“Terima kasih Jeneral! Semoga dipermudahkan segala urusan selepas persaraan kelak.”

Panglima TUDM itu telah membuat kunjungan hormat ke atas Hishammuddin sempena persaraannya tidak lama lagi.

Selain Menteri Pertahanan, Ackbal turut melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas segala sokongan padu yang diberikan selama beliau bertugas termasuk ketika YAB Perdana Menteri sebagai Menteri Kanan Pertahanan.

(ATM)

 

Sedikit latarbelakang  “Krueger”.

Beliau adalah seorang anak kelahiran negeri Johor Darul Takzim dan merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik.

Jeneral Tan Sri Ackbal adalah seorang bekas penuntut Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja dari tahun 1978 sehingga 1980.

Di atas dorongan keluarga dan minat yang mendalam untuk menjadi seorang Juruterbang Pejuang, beliau telah memohon untuk menyertai perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia, Skim Tauliah Jangka Tetap pada tanggal 1 Jun 1980 di Cawangan Kadet, Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad a.k.a “Krueger”.

 

Ackbal telah menjalani Kursus Penerbangan Asas pada tahun 1983 di TUDM Alor Setar selama lebih kurang setahun dan merupakan pengambilan pertama yang dilatih menggunakan pesawat Pilatus PC-7, sebelum ditukarkan ke TUDM Kuantan bagi mengikuti Kursus Penerbangan Peralihan Pejuang menggunakan pesawat Aermacchi MB-339A di Pusat Latihan Terbang III (PULATIBANG III).

Kerjaya awal sebagai seorang Juruterbang Pejuang Operasi telah melihatkan Jeneral Tan Sri Ackbal berkhidmat di beberapa buah Skuadron (Skn) Operasi TUDM di sekitar tahun 1985-1990 dan 1994-1999.

(TUDM)

 

Bermula dengan No 9 dan 6 Skn, di mana beliau telah menerbangkan pesawat Skyhawk A4 PTM di antara tahun 1985 sehingga tahun 1988, dan kemudiannya ke No 11 dan 12 Skn di TUDM Butterworth sebagai seorang Juruterbang Operasi pesawat F-5E dari tahun 1988 sehingga tahun 1990.

Dari tahun 1994, iaitu sekembalinya beliau dari Kursus Peralihan Penerbangan Pesawat MiG-29N di Rusia, sehingga ke tahun 1999, Jen Tan Sri Ackbal telah ditugaskan untuk menubuh dan seterusnya menerajui No 19 Skn yang merupakan sebuah Skn Operasi pesawat MiG-29N. 

Selain daripada itu, Jeneral Tan Sri Ackbal juga merupakan salah seorang daripada Ahli Tim Aerobatik pesawat MiG-29N pada Pertunjukan Udara LIMA pada tahun 1995 dan 1997 di mana beliau merupakan Juruterbang Solo Display di dalam pertunjukan tersebu

Jeneral Tan Sri Ackbal berpengalaman dalam pelbagai operasi di sepanjang kerjayanya sebagai seorang Juruterbang Pejuang Operasi.

(TUDM)

 

Di antara pengalaman operasi yang pernah beliau lalui adalah Operasi Penerbangan Pemantauan Terumbu Layang-Layang, Operasi Pemintasan Pesawat Angkut Negara Rusia (Operasi ‘Zombies Watch’), Operasi Membanteras Pengganas Komunis melalui pengguguran bom di Sempadan Malaysia-Thailand, Operasi Pemantauan Selat Melaka dan sebagainya.

Di atas usaha gigih dan prestasi yang dipamerkan di sepanjang kerjaya beliau, Jeneral Tan Sri Ackbal pada tahun 1992 telah dipilih oleh Panel Khas TUDM untuk mengikuti Kursus Juruterbang Penguji Pesawat (Test Pilot) di United Kingdom bagi sesi tahun 1993-1994.

(TUDM)

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Semasa menjalani kursus tersebut, beliau telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat/ simulasi (berjumlah 19 jenis) dan di antaranya termasuk pesawat pejuang Jaguar milik Royal Air Force, MiG-29N milik Zhukovsky Flight Test Centre-Russia, L39 Albatross milik Syarikat Aero-Vodocody di Republik Czech, Hawk T Mk-1 milik Empire Test Pilot School di UK, Lear Jet-Variable Stability Test Platform, BAE 146, SAAB 2000, King AirAir Glider, pesawat Aerobatic Extra 300, simulasi pesawat Boeing 737-300, simulasi pesawat Airbus A320, simulasi Hawk 200 di Farnborough, simulasi Jaguar di Scotland, simulasi Eurofighter di BAE Warton, UK dan sebagainya.

Kerjaya selaku Juruterbang Penguji TUDM, telah memperlihatkan penglibatan beliau di dalam kerja-kerja penerbangan pengujian ke atas pesawat Hawk, Aermacchi, F-5E, Beechcraft B200T dan MiG-29N.

Selain daripada itu, beliau juga terlibat di dalam kerja-kerja pembangunan simulator MiG-29N dari tahap penyediaan Air Staff Operational Requirement (ASOR) pada tahun 1994, rundingan kontrak, pengumpulan dan penjanaan data-data melalui penerbangan ujian pesawat MiG-29N sehinggalah kepada kerja-kerja penerimaan simulator tersebut pada tahun 1998. — DSA

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad atau callsign “Krueger” menerbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM. (TUDM)

 

 

featuredKruegerPanglimaTUDM
Comments (0)
Add Comment