Impian Jepun Miliki Kapal Pengangkut Pesawat Semakin Jadi Realiti, Menerusi “JS Izumo” Dan “JS Kaga”

Gambar-gambar terbaru ketika kapal helicopter destroyer "JS Kaga" meninggalkan limbungan kapal di Kure City, Hiroshima Prefecture baru-baru ini menunjukkan kapal perang itu telah mengalami perubahan yang mendadak untuk menjadikannya sebuah kapal pengangkut pesawat, bagi membolehkannya mengoperasikan pesawat pejuang F-35B (VSTOL) di atas dek penerbangannya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semakin hari, kapal “helicopter destroyer” milik Tentera Laut Jepun (Japan Maritime Self Defense Force) “JS Kaga” (DDH -184) semakin kelihatan seperti sebuah kapal pengangkut pesawat, hasil daripada kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan di sebuah limbungan kapal negara ini.

Gambar-gambar terbaru ketika ia meninggalkan limbungan kapal di Kure City, Hiroshima Prefecture baru-baru ini menunjukkan JS Kaga telah mengalami perubahan yang mendadak bagi membolehkannya mengoperasikan pesawat pejuang F-35B (STOVL) di atas dek penerbangannya.

Dengan bantuan Amerika Syarikat, Jepun giat mengubahsuai kedua-dua buah kapal “helicopter destroyer” miliknya, JS KAGA dan JS Izumo, setiap satu seberat 27,000 tann untuk menjadikannya kapal-kapal pengangkut pesawat yang berupaya menempatkan pesawat-pesawat pejuang F-35B (STOVL) yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak atau landasan yang pendek.

Gambar terbaru “JS Kaga” (kredit Ken Akiyama.2000)

 

Kerja-kerja mengubahsuai JS Kaga dan JS Izumo, kedua-duanya “helicopter destroyer” daripada kelas-Izumo dijalankan secara berfasa dan dijangka selesai sepenuhnya pada tahun 2027.

Jepun memutuskan untuk mengubahsuai kedua-dua kapal itu pada tahun 2018.

Tentera Laut Amerika Syarikat giat membantu Tentera Laut Jepun mengubahsuai kapal JS Izumo (DDH-183), untuk menjadikannya  sebuah kapal pengangkut pesawat bagi menangani ancaman tentera China di Indo-Pasifik.

Selepas kerja-kerja ubahsuai yang dilakukan dengan bantuan daripada Amerika Syarikat, kedua-dua kapal ia akan menjadi sebuah kapal pengangkut pesawat dengan berkemampuan membawa sekurang-kurangnya 10 buah pesawat pejuang F-35B.

Di dalam tempoh beberapa tahun ini, Tokyo bakal memiliki kapal pengangkut pesawat, sekaligus mengembalikan kekuatan tentera laut negara Matahari Terbit sebagaimana seperti zaman peperangan Dunia Kedua.

Gambar terbaru JS Kaga (kredit Ken Akiyama.2000)

 

Baru-baru ini, Tentera Laut Amerika Syarikat telah menganugerahkan kontrak kepada syarikat Raytheon Intelligence and Space di bawah Foreign Military Sales (FMS) bernilai US$8.6 juta (RM34.4 juta) untuk memperolehi peralatan dipanggil “Joint Precision and Approach Landing System” (JPALS).

Peralatan JPALS itu kemudiannya akan dioperasikan di kapal Tentera Laut Jepun, JS Izumo pada 2024.

JPALS akan membolehkan pendaratan pesawat dilakukan sama ada di darat atau diatas kapal dan diintergrasikan dengan pesawat F-35B yang merupakan varian Short Take-Off Vertical Landing (STOVL) pesawat F-35 dimana Jepun akan memperolehi sejumlah 42 buah.

Peralatan JPALS digunakan di kesemua kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat dan juga kapal pengangkut pesawat milik Tentera Laut British, HMS Queen Elizabeth dan juga HMS Prince of Wales.

Kapal Helicopter Destroyer milik Tentera Laut Jepun (JMSDF) JS Izumo yang kini sedang diubahsuai untuk menjadi sebuah kapal pengangkut pesawat.

 

Tentera Laut Itali juga menggunakan JPALS itu di atas kapal ITS Cavour.

75 tahun selepas kekalahannya pada Perang Dunia Kedua, Jepun bakal kembali memiliki kapal pengangkut pesawat apabila kerja-kerja pengubahsuaian kapal Helicopter Destroyer miliknya “JS Izumo” dan JS Kaga  kepada kapal pengangkut pesawat berjalan dengan lancar dan bakal siap tidak lama lagi.

Ancaman ketenteraan daripada China telah memaksa kerajaan Jepun untuk mengeluarkan belanja jutaan dollar bagi mengubahsuai JS Izumo dan JS Kaga untuk menjadi kapal pengangkut pesawat.

Kapal pengangkut pesawat pertama Jepun selepas 75 tahun, JS Izumo.

 

Kapal JS Izumo sudah selesai melaksanakan pusingan pertama kerja-kerja pengubahsuainnya kepada kapal pengangkut pesawat yang menelan belanja US$30 juta (RM120 juta) dan sedang melaksanakan kerja pengubahsuaian seterusnya.

Kerja-kerja pengubahsuaian terhadap kapal JS Kaga bermula pada awal tahun lepas.

Pada Oktober 2021, dua buah pesawat pejuang F-35B (STOVL) milik Marines Tentera Laut Amerika Syarikat telah melakukan ujian penerbangan dan pendaratan daripada kapal JS Izumo itu.

Ujian penerbangan pesawat-pesawat F-35B milik Amerika Syarikat telah berjaya dilakukan.

“Ujian penerbangan itu telah membuktikan bahawa kapal JS Izumo mempunyai kemampuan untuk menyokong penerbangan dan pendaratan pesawat-pesawat VTOL di atas lautan,yang akan memberikan kita (Tentera Jepun) opsyen tambahan kepada sistem pertahanan udara kita di Lautan Pasifik pada masa depan,” kata komander Tentera Laut Jepun Laksamana Shukaku Kumota.

Sememangnya, kehadiran JS Izumo dan JS Kaga sebagai kapal pengangkut pesawat mini selepas pengubahsuaian adalah amat tepat ketika China meningkatkan keupayaan angkatan tenteranya sehingga mengancam negara-negara jirannya.

Pesawat F-35B Kor Marin Amerika Syarikat berlepas dari kapal JS Izumo.

 

Tindakan Jepun mengubahsuai JS Izumo serta “kembarnya”, JS Kaga menjadi kapal pengangkut pesawat amat tidak disenangi oleh China yang mendakwa Tokyo mempunyai cita-cita untuk kembali menjadi kuasa tentera sebagaimana yang berlaku pada Perang Dunia Kedua.

Beijing pernah menyuarakan kegusaran mereka terhadap rancangan Jepun mengubahsuai JS Izumo dan JS Kaga, meminta Tokyo supaya membatalkan hasrat mereka itu.

Kedua-dua kapal kelas-Izumo (JS Izumo dan JS Kaga) itu dianggarkan bernilai lebih US$1 billion setiap satu dan mula  ditauliahkan di dalam perkhidmatan JMSDF pada tahun 2015 dan 2017.

JS Izumo mula dibina pada tahun 2011.

Tugas-tugas utama JS Izumo dan JS Kaga ketika mula-mula dibina adalah untuk membawa helikopter bagi tugasan peperangan anti-kapal selam (ASW), operasi kemanusiaan dan untuk tinjauan (surveillance). — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredIndo PasifikJepunJS KagaKapal Pengangkut Pesawat
Comments (0)
Add Comment