(VIDEO) Houthi Dakwa Tembak Jatuh Dron MQ-9 Reaper Amerika ke-21, Kerugian US$735 Juta (RM3.2 Billion)
(VIDEO) “Dengan penembakan jatuh dron MQ-9 Reaper yang ke-21, maka tentera Amerika Syarikat dianggarkan terpaksa menanggung kerugian sebanyak US$735 juta (RM3.2 billion) selepas 21 buah dron canggih miliknya itu telah ditembak jatuh oleh pejuang Houthi,” menurut seorang pemerhati ketenteraan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kumpulan bersenjata Houthi di Yaman mendakwa telah menembak sebuah lagi dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat hari ini, yang merupakan dron ke-21 ditembak jatuh sejak 7 Oktober 2023, tarikh Israel memulakan serangan ketenteraan berskala besar terhadap wilayah Semenanjung Gaza yang terkepung.
Penembakan jatuh dron MQ-9 Reaper yang ke-21 itu berlaku hanya beberapa jam selepas kejayaan pejuang Houthi menembak jatuh dron ke-20 di ruang udara Sanaa, yang kemudiannya disahkan oleh pegawai-pegawai kanan tentera Amerika Syarikat.
Penembakan jatuh dron MQ-9 Reaper yang ke-21 itu telah disahkan oleh jurucakap kumpulan Houthi.
Dron MQ-9 Reaper ke-21 yang ditembak jatuh oleh pejuang Houthi itu merupakan dron Reaper yang ke-6 berjaya ditembak jatuh sejak 15 Mac lalu apabila pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat memulakan serangan udara harian terhadap kedudukan kumpulan bersenjata itu di Yaman.
Setiap sebuah dron MQ-9 Reaper dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat,General Atomics Aeronautical Systems (GASI) itu dianggarkan bernilai US$35 juta (RM154 juta) setiap sebuah.
Ia merupakan dron MALE (Medium Altitude Long Endurance) yang berkemampuan bukan sahaja untuk melaksanakan misi-misi pengawasan, perisikan dan pemantauan, tetapi juga boleh dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu dan sistem persenjataan yang lain untuk melakukan serangan udara.
“Dengan penembakan jatuh dron MQ-9 Reaper yang ke-21, maka tentera Amerika Syarikat dianggarkan terpaksa menanggung kerugian sebanyak US$735 juta (RM3.2 billion) selepas 21 buah dron canggih miliknya itu telah ditembak jatuh oleh pejuang Houthi,” menurut seorang pemerhati ketenteraan.
Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial, selain mencari sasaran di kawasan daratan Yemen.
MQ-9 Reaper buatan Amerika Syarikat yang canggih itu berkemampuan terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan komponen elektronik yang sensitif.
Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.
Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.
Tentera Amerika Syarikat dilapor bercadang menghentikan perkhidmatan dron MQ-9 Reaper itu pada tahun 2035.
Dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat itu dipercayai ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu dwi-mod Saqr-358.
Peluru berpandu Saqr 358 dibangunkan oleh Iran, dipercayai melalui Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), dan pertama kali diperkenalkan kepada umum pada tahun 2019.
Industri pertahanan Iran biasanya menggunakan kaedah reverse-engineering serta kepakaran tempatan bagi menghasilkan sistem persenjataan yang berkesan dengan kos rendah, seperti yang dilihat dalam reka bentuk Saqr 358 yang turut menggunakan komponen-komponen komersial yang mudah didapati.
Peluru berpandu ini secara rasmi dilancarkan di Tehran pada tahun 2023 sempena lawatan Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu, walaupun sebenarnya ia telah digunakan secara aktif oleh kumpulan proksi Iran sejak sekurang-kurangnya tahun 2019.
Peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq dan kini oleh Hezbollah di selatan Lubnan.
Di Lubnan, kumpulan Hezbollah telah menggunakan peluru berpandu, Saqr 358, untuk menembak jatuh dron Israel, antaranya insiden pada 8 April 2024 yang menyaksikan sebuah dron Hermes 900 (Kochav) bernilai US$25 juta (RM110 juta) berjaya dijatuhkan.
Sejak Oktober 2023, sebanyak lima buah dron tentera Israel, termasuk Hermes 900 dan Hermes 450, dilaporkan telah ditembak jatuh oleh Hezbollah.
Dron MQ-9 Reaper
Di Iraq pula, penemuan peluru berpandu Saqr 358 yang lengkap berhampiran lapangan terbang tentera Tuz Khormatu pada Oktober 2021 dipercayai sebagai amaran kepada tentera Amerika Syarikat.
Kehadiran peluru berpandu ini di Iraq menunjukkan kemungkinan penggunaannya oleh kumpulan militan pro-Iran bagi menghalang operasi udara Amerika di negara itu.
Sementara itu di Syria, versi Saqr 358 yang telah diubah suai dilaporkan digunakan oleh kumpulan-kumpulan yang disokong Iran untuk menyerang sasaran di darat, sekali gus membuktikan bahawa peluru berpandu ini mempunyai keupayaan operasi yang pelbagai selain pertahanan udara.
Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.
Versatiliti dan keberkesanan peluru berpandu dwi-mod canggih Iran itu menyebabkan “Saqr 358” menjadi senjata pilihan kepada kumpulan-kumpulan proksi Iran di Timur Tengah untuk menangani dron-dron musuh.
Ia memberikan kumpulan-kumpulan itu kemampuan untuk menganggu dan menangani keupayaan pengintipan serta pengawasan oleh pihak musuh terutamanya terutamanya Israel dan Amerika Syarikat.
“Saqr 358”
Antara ciri teknikal utamanya termasuk:
Ciri Fizikal:
Panjang: Sekitar 2.75 hingga 3 meter.
Diameter: 152 mm (kira-kira 6 inci).
Berat: Lebih kurang 50 hingga 58 kilogram termasuk bahan api.
Kepala Peledak: Mengandungi bahan letupan fragmentasi tinggi seberat 10 kilogram yang dilengkapi fius optik jarak dekat dan penderia inframerah bagi ketepatan sasaran.
Struktur: Berbentuk silinder dengan tiga hingga empat set sirip berbentuk ‘X’ untuk kestabilan dan keupayaan bergerak secara lincah. Struktur modularnya terdiri daripada bahagian-bahagian yang boleh dipisahkan, memudahkan pengangkutan dan pemasangan di lapangan.
Sistem Pendorong:
Peluru berpandu ini menggunakan sistem dwi-peringkat:
Penggalak Bahan Api Pepejal (Solid Fuel Booster): Memberikan tujahan awal pelancaran sebelum tercabut selepas bahan api habis digunakan.
Enjin Turbin Gas: Menggerakkan peluru berpandu semasa peringkat penerbangan utama serta ketika rondaan di udara, dipercayai menggunakan turbojet kecil seperti Titan AMT keluaran AMT Netherlands. Ia boleh menggunakan bahan api dalam bekas fleksibel seperti minyak tanah atau diesel tanpa memerlukan pam bahan api khusus.
Peluru berpandu ini terbang pada kelajuan subsonik (lebih rendah daripada peluru berpandu SAM biasa) tetapi memadai untuk menewaskan dron serta helikopter.
Peluru berpandu “Saqr-358”
Panduan dan Penderia:
Penderia Elektro-Optikal dan Inframerah: Digunakan untuk mengenal pasti serta menjejak sasaran, terutamanya dron yang terbang rendah.
Antena GPS: Menggunakan beberapa antena GPS bagi melawan cubaan gangguan elektronik (jamming), meningkatkan kebolehpercayaan dalam persekitaran konflik.
Mod Rondaan (Loitering): Selepas dilancarkan, peluru berpandu ini terbang dalam corak seperti angka lapan sambil meronda di kawasan tertentu sehingga mengesan sasaran atau kehabisan bahan api.
Sistem Pelancar:
Saqr 358 tidak memerlukan infrastruktur pelancaran yang kompleks.
Ia boleh dilancarkan dari rel mudah yang dipasang di tanah atau lori, sekali gus membolehkan pergerakan pantas dan penggunaan dalam pelbagai keadaan medan yang mencabar.
Jarak dan Ketinggian Operasi:
Jarak Berkesan: Dianggarkan antara 10 kilometer hingga 100 kilometer bergantung kepada profil misi.
Ketinggian Maksimum: Mampu beroperasi sehingga ketinggian 28,000 kaki (kira-kira 8,500 meter), walaupun lebih berkesan terhadap sasaran pada altitud rendah.
Komponen-komponen:
Banyak komponen Saqr 358 boleh diperoleh secara komersial melalui syarikat-syarikat samaran bagi mengelak sekatan antarabangsa.
Sebagai contoh, modul penderia inersia diperoleh daripada syarikat Xsens Technologies, manakala enjin utama menggunakan turbin gas komersial.
Penggunaan komponen biasa ini mengurangkan kos pengeluaran serta menyukarkan usaha menyekat pembinaannya.