Filipina Terima Kapal Korvet Pertama BRP Miguel Malvar, Perkukuh Pertahanan Manila di Laut China Selatan

Kapal korvet BRP Miguel Malvar seberat 3,200 tan itu merupakan kapal korvet pertama diterimanya daripada dua yang dipesan daripada syarikat pembuat kapal Korea Selatan, Hyundai Heavy Industries (HHI) pada 2021. Kapal korvet kedua, BRP Diego Silang telah dilancarkan secara rasmi bulan lepas.
Filipina Terima Kapal Korvet Pertama BRP Miguel Malvar, Perkukuh Pertahanan Manila di Laut China Selatan
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Filipina telah menerima kapal korvet pertama BRP Miguel Malvar yang dipesannya daripada Korea Selatan semalam, bagi mengukuhkan lagi kemampuannya untuk berhadapan dengan China di Laut China Selatan.
Kapal korvet BRP Miguel Malvar seberat 3,200 tan itu merupakan kapal korvet pertama diterimanya daripada dua yang dipesan daripada syarikat pembuat kapal Korea Selatan, Hyundai Heavy Industries (HHI) pada 2021.
Kapal korvet kedua, BRP Diego Silang telah dilancarkan secara rasmi bulan lepas.
Syarikat HHI merupakan pihak yang sama telah membekalkan dua buah kapal friget kelas-Jose Rizal pada tahun 2018.
Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro Jnr yang menyambut kapal korvet BRP Miguel Malvar itu di pangkalan Tentera Laut Filipina di Subic, Zambales berkata, ketibaan kapal korvet tersebut merupakan langkah penting ke arah membangunkan keupayaan pertahanan Tentera Laut Filipina.
“(BRP) Miguel Malvar berada di sini hari ini bukan sahaja sebagai elemen pencegahan dan pelindung perairan negara, tetapi juga sebagai komponen penting dalam operasi bersama dan gabungan ketika kita bekerjasama dengan rakan sekutu serta mempertahankan norma undang-undang antarabangsa,” kata Teodoro.
Setiausaha Pertahanan Filipina itu berkata, salah satu tonggak utama dalam hala tuju pelaburan negara Asia Tenggara itu adalah ekonominya.
BRP Miguel Malvar
BRP Miguel Malvar
“Bagaimana kita mahu membangunkan ekonomi biru (Blue Economy) jika tidak memiliki angkatan laut yang kuat? Kita perlukan angkatan laut yang kukuh sebagai tunjang, tulang belakang dan asas kepada ekonomi biru. Jadi, inilah sumbangan kita kepada mereka yang telah berjuang sebelum kita, kepada para wira yang akan kita raikan esok,” katanya.
Kapal korvet kelas-Miguel Malvar menawarkan keupayaan yang lebih mantap berbanding kapal frigat-kelas Jose Rizal Tentera Laut Filipina diterima pada 2018.
Dengan panjang 118.4 meter dan lebar 14.9 meter, BRP Miguel Malvar mampu belayar pada kelajuan 15 knot dengan jarak pelayaran sejauh 4,500 batu nautika.
Ia turut dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal C-STAR, sistem pelancaran menegak VL MICA serta radar 3D jenis AESA, menjadikannya antara aset paling canggih dalam armada Tentera Laut Filipina.
Tentera Laut Filipina mula memperkukuhkan keupayaannya dengan menerima dua bot peronda bersenjata kelas Acero dari Israel yang dilengkapi dengan sistem peluru berpandu canggih.
Pelan pemodenan Tentera Laut Filipina yang diumumkan pada tahun 2012 menyasarkan perolehan armada kapal-kapal perang yang lebih mantap, termasuk enam kapal frigat pertahanan udara dan tiga kapal selam serangan.
BRP Miguel Malvar
Namun sehingga tahun ini, tentera laut negara Asia Tenggara itu hanya mengoperasikan dua buah friget moden — BRP José Rizal dan BRP Antonio Luna — bersama beberapa aset lain, sekali gus mendedahkan negara itu kepada ancaman di rantau yang kini sedang bergolak dan penuh ketegangan.
Sementara itu, jurucakap Tentera Laut Filipina bagi Laut Filipina Barat Laksamana Madya Roy Vincent Trinidad dilaporkan berkata sebelum ini bahawa kedua-dua kapal friget moden itu ditempatkan di kawasan Laut Filipina Barat, iaitu nama yang digunakan Manila bagi merujuk kepada sebahagian Laut China Selatan yang terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara itu.
Beberapa bulan lalu, Filipina telah mengumumkan ia bersedia untuk membelanjakan US$35 billion (RM154 billion) untuk memodenkan angkatan tenterannya menerusi perolehan beberapa sistem persenjataan berkeupayaan tinggi dan strategik seperti pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) dan kapal selam.
Pada Februari lalu, Manila mengumumkan bahawa Tentera Laut Filipina akan menerima dua buah kapal selam bagi memperkukuh pertahanan kepulauan negara itu, sebagai sebahagian daripada fasa terakhir dan terbesar dalam program pemodenan ketenteraan negara.
Beberapa negara pembuat kapal selam telah pun secara terbuka menawarkan kapal-kapal buatan mereka kepada kepada Filipina.
BRP Miguel Malvar
Kapal selam S80 Isaac Peral oleh syarikat Navantia daripada Sepanyol
Antaranya adalah syarikat berkaitan kerajaan Sepanyol, Navantia yang menawarkan dua buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral kepada Tentera Laut Filipina dianggarkan bernilai US$1.7 bilion (RM7.65 bilion).
Tentera Laut Sepanyol mengoperasikan empat buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral.
Tawaran itu bukan sahaja meliputi perolehan dua buah kapal selam tetapi juga dengan pembinaan pangkalan kapal selam itu bersama-sama infrastruktur dan lojistiknya di bandar Ormoc yang terletak di wilayah Leyte, Filipina.
Sebuah lagi syarikat yang menawarkan kapal selam kepada Filipina adalah Naval Group daripada Perancis yang mengemukakan tawaran dua buah kapal selam diesel-elektrik jenis “Scorpene” sebagaimana yang dimiliki oleh Malaysia kepada Manila.
Sementara itu syarikat Korea Selatan, Hanwha Ocean (sebelum ini dikenali sebagai DSME) tidak ketinggalan daripada bersaing dengan syarikat-syarikat Sepanyol dan Perancis dalam menawarkan kapal selam Jang Bogo-III kepada Tentera Laut Filipina.
Kapal friget BRP Jose Rizal
Ia adalah varian terkini kepada kepada kapal selam Jang Bogo yang memiliki panjang keseluruhan 77 meter dan dilengkapi dengan sistem propulsion terkini dan teknologi bateri lithium-ion bagi memastikan kapal selam keluaran Korea Selatan itu lebih sukar dikesan oleh musuhnya.
Selain itu, kapal selam yang boleh menempatkan 41 orang krew dan mencapai kelajuan 21 knot  itu juga dilengkapi dengan enam buah tiub torpedo, yang juga berkemampuan untuk melancarkan peluru berpandu
— DEFENCE SECURITY ASIA

BRP Miguel MalvarFilipinaKorvet
Comments (0)
Add Comment