Filipina “Semakin Hampir” Untuk Perolehi Pesawat Pejuang JAS39 Gripen Dari Sweden

Menurut pemerhati tentera serantau, perjanjian terbaru antara Filipina dan Sweden itu menandakan Manila kini adalah “semakin hari semakin hampir” untuk memperolehi sekurang-kurangnya satu skuadron JAS39 Gripen buatan syarikat pertahanan Sweden, Saab untuk kegunaan Tentera Udara Filipina.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari yang lalu, kerajaan Filipina dan Sweden telah menandatangani perjanjian utama bertujuan untuk menyokong perolehan pesawat pejuang untuk Tentera Udara Filipina.

Menurut pemerhati tentera serantau, perjanjian terbaru antara Filipina dan Sweden itu menandakan Manila kini adalah “semakin hari semakin hampir” untuk memperolehi sekurang-kurangnya satu skuadron JAS39 Gripen buatan syarikat pertahanan Sweden, Saab untuk kegunaan Tentera Udara Filipina.

Bertajuk “Implementing Arrangement Concerning the Procurement of Defense Materiel and Equipment”, perjanjian itu memberikan kerajaan Filipina garis panduan untuk memperolehi aset-aset pertahanan daripada Sweden.

Mengenai kenyataan berbeza yang dikeluarkan oleh Swedish Defense Materiel Administration, kerajaan Filipina telah menyatakan hasrat yang mendalam untuk memperolehi sistem pertahanan buatan Sweden termasuk pesawat pejuang, sistem kawalan dan pemerintahan dan pesawat amaran awal.

Menurut kenyataan oleh ketua eksport Swedish Defense Materiel Joakim Wallin, kedua-dua pihak telah mengambil langkah konkrit dan penting dalam kerjasama dengan Filipina. Pintu kini terbuka kepada syarikat-syarikat pertahanan Sweden untuk terlibat dalam perolehan aset pertahanan bagi Filipina.

“Gripen”

 

Perjanjian di peringkat pegawai itu ditandatangani sebelum Menteri Pertahanan Sweden Pal Jonson melawat Filipina pada minggu depan.

Beberapa bulan yang lalu,  Filipina dilaporkan semakin hampir untuk “menolak” pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat dan sebaliknya memilih pesawat pejuang JAS-39 Gripen yang dibangunkan oleh firma Sweden, Saab Group untuk tentera udaranya.

Filipina dikatakan sedang menimbangkan untuk memiliki di antara 12 hingga 14 buah pesawat pejuang Gripen itu bagi membolehkannya membentuk satu skuadron pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) bagi bergandingan dengan pesawat pejuang ringan FA-50 buatan Korea Selatan miliknya.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Filipina Arsenio Andolong sebagai dipetik oleh media tempatan negara itu berkata, delegasi pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Pertahanan Filipina, Sweden dan syarikat telah mengadakan pertemuan baru-baru ini.

Pertemuan itu bukan sahaja disertai oleh Jabatan Pertahanan Filipina tetapi juga Jabatan Kewangan dan Jabatan Luar Negeri negara Asia Tenggara itu.

Mereka menjangkakan kedua-dua negara akan menandatangani perjanjian pembelian pesawat Gripen itu beberapa bulan mendatang ini di Sweden, sekaligus menjadikan Filipina negara kedua di Asia Tenggara sebagai pengguna pesawat pejuang buatan negara Scandinavia itu selepas Thailand.

Sebuah pesawat JAS 39 Gripen C/D Tentera Udara Diraja Thailand dengan pesawat AEW “Erieye.”

 

Filipina dijangka akan memperolehi pesawat pertama Gripen itu pada 2027 seawalnya dan pesawat terakhir atau ke-14 pada 2028.

Tentera Udara Diraja Thailand memiliki 12 buah pesawat pejuang Gripen, tetapi salah sebuah daripadanya terhempas dalam satu pertunjukkan di Hatyai beberapa tahun lepas.

Bangkok juga bercadang menambah pemilikan pesawat-pesawat pejuang Gripen milikknya selepas permohonannya untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat, F-35 ditolak oleh Washington.

Beberapa bulan lepas, Filipina dan Sweden telah menandatangani Memorandum Persefahaman  yang akan menyaksikan pembabitan syarikat Sweden dalam usaha-usaha pemodenan Angkatan Tentera Filipina terutamanya Tentera Udara Filipina.

Pegawai-pegawai tertinggi Tentera Udara Filipina juga dilaporkan telah melakukan lawatan ke Sweden dan berkunjung ke kemudahan syarikat Saab Group melihat dengan lebih dekat pesawat Gripen itu serta pesawat AEWC (Early Warning and Control).

Pada tahun 2021, Amerika Syarikat telah meluluskan potensi penjualan 12 buah  varian terkini pesawat pejuang F-16 kepada Filipina, tetapi urusan pembelian itu tertangguh sehingga kini akibat kekangan kewangan dihadapi oleh Manila yang menganggap harga yang ditawarkan oleh Washington itu “terlalu mahal.”

F-16V Block 70/72 by Lockheed Martin

 

Potensi penjualan 10 buah pesawat F-16C Block 70/72 dan dua buah F-16D Block 70/72 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin bernilai US$2.5 bilion (RM11.25 bilion).

Selain itu, pakej penjualan oleh Amerika Syarikat itu juga meliputi 12 buah peluru berpandu lancaran udara Harpoon Block II, dua peluru berpandu latihan, alat ganti dan perkakas lain.

Pesawat-pesawat F-16 itu juga akan dilengkapi dengan 24 buah peluru berpandu AIM-9X Sidewinder Block II, 24 buah peluru berpandu latihan, alat ganti yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon Technologies.

Bagaimanapun Duta Filipina ke Amerika Syarikat Jose Manuel Romualdez baru-baru ini berkata dalam temuramah dengan Nikkei Asia bahawa kos perolehan pesawat pejuang F-16 daripada Amerika Syarikat adalah terlalu mahal dan di luar kemampuan negaranya.

“Ianya masih terlalu mahal, jadi kita (Filipina) terpaksa mencari jalan bagi membolehkan kita membiayai pembelian (F-16) itu dalam jangka masa panjang,” menurut beliau.

Berikutan harga varian terkini pesawat pejuang F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu adalah terlalu mahal dan di luar “kemampuan” Filipina, maka negara Asia Tenggara itu sedang mencari jalan alternatif untuk mendapatkan pesawat-pesawat pejuang baru untuk tentera udaranya. — DSA

featuredFilipinaGripenSweden