Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Penghantaran Peluru Berpandu “BrahMos” Ke Filipina Tertangguh Akibat Cuaca Buruk

Disebabkan keadaan cuaca yang buruk di lokasi penempatannya, Filipina dijangka akan hanya menerima komponen-komponen pertama sistem peluru berpandu pesisir pantai "BrahMos" hasil usahasama antara India dan Russia itu di dalam tempoh dua bulan lagi.

0 1,898

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Filipina sepatutnya mula menerima sistem peluru berpandu pesisir pantainya “BrahMos” pada bulan ini, tetapi penghantaran sistem persenjataan itu tertangguh disebabkan keadaan cuaca yang buruk di lokasi penempatannya di negara Asia Tenggara itu.

Disebabkan keadaan cuaca yang buruk di lokasi penempatannya, Filipina dijangka akan hanya menerima komponen-komponen pertama sistem peluru berpandu pesisir pantai hasil usahasama antara India dan Russia itu di dalam tempoh dua bulan lagi.

Perkara itu disahkan oleh Pengurus Besar bagi Promosi Pasaran dan Eksport BrahMos Aerospace Praveen Pathak kepada agensi berita Russia, TASS pada pameran pertahanan World Defense Show yang sedang berlangsung di Arab Saudi pada ketika ini.

“Terdapat kesukaran dengan persediaan di lokasi kerahan sistem peluru berpandu itu disebabkan keadaan cuaca monson yang kuat. Pembinaan di lokasi terpaksa ditangguhkan sedikit dan kami menjangkakan ia akan dapat diselesaikan di dalam tempoh dua bulan.”

“Penghantaran sistem peluru berpandu (BrahMos kepada Filipina) itu akan berlaku sebaik sahaja pembinaan itu selesai,”kata beliau itu.BrahMos

Beliau juga berkata bahawa delegasi daripada Filipina telah melawat India baru-baru ini untuk mengesahkan bahawa segala komponen teknikal milik sistem peluru berpandu pesisir pantai berada di dalam keadaan baik sebelum ia dikerah di lokasi.

“Mereka (delegasi Filipina) telah menandatangani surat penerimaan komponen-komponen terbabit dan sistem peluru berpandu itu telah bersedia untuk dihantar (ke Filipina),” menurut pegawai kanan syarikat BrahMos Aerospace itu.

Negara Asia Tenggara  itu menjadi negara pertama di luar India yang menggunakan sistem peluru berpandu terbabit yang bakal ditempatkan di beberapa lokasi strategik negara itu di Laut China Selatan atau dipanggil Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) oleh Manila.

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu BrahMos itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas, menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di barat Laut China Selatan atau dipanggil Manila sebagai West Philippine Sea (Laut Filipina Barat).

Dengan peluru berpandu BrahMos, kapal-kapal pengawal pantai China perlu “berfikir dua kali” sebelum menghampiri mana-mana pulau atau terumbu karang Filipina di dalam kawasan perairan ZEE Filipina.

BrahMos
“BrahMos”

 

Filipina menganugerahkan kontrak pembelian sistem peluru berpandu itu kepada syarikat  Brahmos Aerospace Private Ltd yang membangunkan sistem itu pada 31 Disember 2021.

Sistem peluru berpandu BrahMos merupakan usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

Filipina dijangka memperolehi varian sistem peluru berpandu anti-kapal “Brahmos” yang mempunyai jarak effektif kira-kira 300km dengan kelajuan supersonik 2.8 Mach.

Peluru berpandu Brahmos itu membawa kira-kira 200kg bahan peledak berkuasa tinggi.

Peluru berpandu BrahMos merupakan peluru berpandu kruis jarak sederhana yang menggunakan teknologi ramjet yang boleh dilancarkan daripada pelbagai platform sama ada udara, kapal, kapal selam serta kawasan pesisir pantai. 

Dimanakah Filipina akan menempatkan sistem peluru berpandu itu?

BrahMos
Kemungkinan lokasi-lokasi penempatan sistem peluru berpandu pesisir pantai “BrahMos” di Filipina.
AI Image
Imej dihasilkan oleh AI menunjukkan kemungkinan sekiranya kapal pengawal pantai China dibedil oleh peluru berpandu BrahMos Filipina.

 

Laporan daripada Filipina sebelum ini menyatakan bahawa antara lokasi penempatan sistem peluru berpandu BrahMos yang sedang dipertimbangkan oleh Filipina adalah di Basco di Pulau Batan di Bashi Channel, San Felipe di Zambales,  Culion dan Tagbita di Pulau Palawan.

Dengan radius operasi peluru berpandu BrahMos yang bakal dimiliki oleh Filipina adalah sejauh 300km dan jika benar sistem peluru berpandu itu diletakkan di Tagbita di Pulau Palawan, maka ia akan meletakkan salah satu pangkalan tentera China di Kepulauan Spratly iaitu Mischief Reef dalam kawasan sasarannya peluru berpandu itu.

China telah menambak Mischief Reef, yang asalnya adalah terumbu karang dan menjadikannya sebuah pulau buatan manusia.

Selain Subi Reef dan Fiery Cross,  Mischief Reef adalah pangkalan tentera utama China di Kepulauan Spratly.  — DSA  

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...