Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Anggap Harga F-16 Ditawar Amerika “Terlalu Mahal,” Filipina Timbang Gripen dan Pesawat Terpakai

Berikutan harga varian terkini pesawat pejuang F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu adalah terlalu mahal dan di luar “kemampuan” Filipina, maka negara Asia Tenggara itu sedang mencari jalan alternatif untuk mendapatkan pesawat-pesawat pejuang baru untuk tentera udaranya.

0 8,227

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada tahun 2021, Amerika Syarikat telah meluluskan potensi penjualan 12 buah  varian terkini pesawat pejuang F-16 kepada Filipina, tetapi urusan pembelian itu tertangguh sehingga kini akibat kekangan kewangan dihadapi oleh Manila yang menganggap harga yang ditawarkan oleh Washington itu “terlalu mahal.”

Potensi penjualan 10 buah pesawat F-16C Block 70/72 dan dua buah F-16D Block 70/72 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin bernilai US$2.5 bilion (RM11.25 bilion).

Selain itu, pakej penjualan oleh Amerika Syarikat itu juga meliputi 12 buah peluru berpandu lancaran udara Harpoon Block II, dua peluru berpandu latihan, alat ganti dan perkakas lain.

Pesawat-pesawat F-16 itu juga akan dilengkapi dengan 24 buah peluru berpandu AIM-9X Sidewinder Block II, 24 buah peluru berpandu latihan, alat ganti yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon Technologies.

“Ianya masih terlalu mahal, jadi kita (Filipina) terpaksa mencari jalan bagi membolehkan kita membiayai pembelian (F-16) itu dalam jangka masa panjang,” menurut duta Filipina ke Amerika Syarikat Jose Manuel Romualdez dalam temuramah dengan Nikkei Asia baru-baru ini.

Berikutan harga varian terkini pesawat pejuang F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu adalah terlalu mahal dan di luar “kemampuan” Filipina, maka negara Asia Tenggara itu sedang mencari jalan alternatif untuk mendapatkan pesawat-pesawat pejuang baru untuk tentera udaranya.F-16

Menurut duta Filipina itu, negara itu sedang menimbangkan “kemungkinan” membatalkan urusan pembelian pesawat-pesawat baru F-16 daripada Amerika Syarikat itu dan menggantikannya dengan pembelian pesawat F-16 terpakai daripada negara ketiga seperti Denmark.

“Masih terdapat lagi pesawat-pesawat F-16 terpakai yang tidak digunakan oleh Denmark,” katanya tetapi negara itu perlu mengubah undang-undang negara bagi membolehkan peruntukan daripada belanjawan negara digunakan untuk membeli peralatan terpakai daripada negara lain.

Bagaimanapun cadangan Filipina untuk memperolehi pesawat pejuang F-16 terpakai daripada Denmark itu kemungkinan besar tidak akan tercapai kerana pada Oktober lalu Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meluluskan penjualan F-16 milik negara Eropah kepada Argentina.

Kelulusan Washington diperlukan untuk membolehkan sebarang penjualan F-16 oleh mana-mana negara kepada negara ketiga.

Duta Filipina itu berkata, jika memperolehi pesawat pejuang F-16 itu terpakai juga terhalang maka negara Asia Tenggara itu berharap Washington dapat menghulurkan bantuan kewangan kepadanya bagi membolehkan ia memodenkan angkatan tenteranya secepat mungkin.

F-16
F-16 milik Tentera Udara Singapura

 

“Kerana di dalam keadaan kritikal ini, lagi cepat kita memperolehinya (bantuan ketenteraan Amerika Syarikat) adalah lebih baik,” katanya.

Selain F-16, Filipina juga ditawarkan pesawat pejuang JAS-39 Gripen yang dibangunkan oleh syarikat Sweden, Saab Group.

Beberapa bulan lepas, Filipina dan Sweden telah menandatangani Memorandum Persefahaman  yang akan menyaksikan pembabitan syarikat Sweden dalam usaha-usaha pemodenan Angkatan Tentera Filipina terutamanya Tentera Udara Filipina.

MoU antara kedua-dua negara ini berlaku ketika Filipina sedang dalam proses akhir pemilihan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA), dengan dua calon akhir terdiri daripada pesawat JAS-39 Gripen dan F-16 daripada Amerika Syarikat.

Saab Group
Gripen-E

 

Gripen dan F-16 mengenepikan calon-calon lain terdiri daripada Tejas daripada India dan beberapa pesawat pejuang yang lain seperti Rafale, F/A-18E/F Super Hornet, MiG-35, Sukhoi Su-30 Flanker, Tejas dan JF-17 Thunder.

Sebulan sebelum MoU antara Filipina dan Sweden ditandatangani, pegawai-pegawai tertinggi Tentera Udara Filipina dilaporkan telah melakukan lawatan ke Sweden dan berkunjung ke kemudahan syarikat Saab Group melihat dengan lebih dekat pesawat Gripen itu serta pesawat AEWC (Early Warning and Control). — DSA

Comments
Loading...