Thailand Gagal Miliki F-35 Kerana Hubungan Ketenteraannya Yang Rapat Dengan China?

Ramai di kalangan penganalisis, sama ada di dalam Thailand mahupun di luar mendakwa sebab sebenar mengapa Washington menolak hasrat Bangkok untuk memperolehi pesawat F-35 adalah kerana hubungan ketenteraan yang rapat di antara negara Asia Tenggara itu dengan Beijing.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Mei lepas, Amerika Syarikat secara rasmi menolak hasrat Thailand untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima, F-35, menggunakan alasan negara Asia Tenggara itu masih “belum bersedia” untuk mengoperasi pesawat buatan syarikat Lockheed Martin.

Thailand dikatakan tidak memiliki infrastruktur dan jaminan keselamatan untuk memiliki dan mengoperasikan pesawat moden itu.

Ia meliputi keselamatan pangkalan udara yang akan menempatkan pesawat F-35 itu, penyelenggaraan, juruterbang serta krew-krew yang terlibat dengan pengoperasian pesawat itu.

Perasmian Falcon Strike 2023.
Pesawat F-35

 

Bagaimanapun ramai di kalangan penganalisis sama ada di dalam Thailand mahupun di luar mendakwa sebab sebenar mengapa Washington menolak hasrat Bangkok untuk memperolehi pesawat F-35 adalah kerana hubungan ketenteraan yang rapat di antara negara Asia Tenggara itu dengan Beijing.

Amerika mungkin bimbang teknologi canggih yang ada di pesawat F-35 itu akan terlepas ke China, disebabkan hubungan yang baik antara Bangkok dan Beijing.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,  hubungan ketenteraan di antara Thailand dan China sememangnya amat rapat,  dengan Angkatan Tentera Thailand adalah antara pengguna utama sistem persenjataan buatan China termasuk kereta kebal, kereta perisai, kapal perang, sistem pertahanan udara dan lain-lain.

Ketiga-tiga cabang angkatan tentera kedua-dua negara juga kerap mengadakan latihan bersama, untuk mengukuhkan kerjasama antara mereka.

Pesawat JAS-39 C/D Gripen Tentera Udara Thailand (RTAF).

 

Dan beberapa hari lalu, tentera udara kedua-dua negara telah memulakan latihan udara tahunan dinamakan “Falcon Strike 2023” di Thailand, menghimpunkan pelbagai pesawat kombat milik kedua-dua negara termasuk pesawat amaran awal (AEWC) dan pengebom.

Latihan udara “Falcon Strike” sememangnya adalah usaha Thailand dan China untuk memperkukuhkan lagi hubungan ketenteraan kedua-dua negara dan menegakkan “keamanan dan kestabilan serantau.”

Menurut laporan oleh media-media China, semasa latihan udara bersama itu tentera udara kedua-dua negara akan mengadakan latihan melibatkan pertahanan udara, bantuan udara dan kerahan besar-besaran.

Upacara perasmian “Falcon Strike 2023” telah diadakan pada 9 Julai lalu di Pangkalan Udara Udorn yang terletak kira-kira 30km daripada Bangkok dan kurang 50km daripada Teluk Thailand (Gulf of Thailand).

Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan berkata di antara unit-unit angkatan tenteranya yang akan terlibat dalam latihan bersama dengan Thailand termasuk pesawat pejuang, pesawat pengebom, pesawat amaran awal dan sistem pertahanan udara.

Pesawat AEW&C China “KJ-500”

 

Komander tentera China pada latihan bersama itu, Chen Jun dipetik oleh media China bahawa “Falcon Strike 2023” membawa kepada kerjasama menang-menang antara kedua-dua negara.

Walaupun Kementerian Pertahanan China tidak menyatakan dengan jelas jenis-jenis pesawat yang akan terlibat dalam latihan itu tetapi ia membabitkan penyertaan pesawat pejuang J-10C, JH-7A dan pesawat amaran awal KJ-500.

Manakala bagi Thailand, ia dipercayai melibatkan pesawat-pesawat pejuang F-16 serta JAS-39 Gripen. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

ChinaF-35Falcon StrikefeaturedThailand