Pesawat F-35B (STOVL) Singapura Ditempat Di Pangkalan Udara Di Amerika Syarikat

Selain pesawat-pesawat F-35 (Short Take Off and Vertical Landing - STOVL) dan F-16, pesawat pejuang F-15SG milik tentera udara republik itu turut ditempatkan di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home di Idaho manakala beberapa helikopter penyerang AH-64 Apache miliknya pula berada di Marana, Arizona juga untuk tujuan latihan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lapan buah pesawat F-35B (Short Take Off and Vertical Landing -STOVL) milik Tentera Udara Singapura akan ditempatkan di pangkalan Ebbing Air National Guard di Fort Smith, Arkansas bersama-sama pesawat pejuang F-16 negara itu bagi tujuan latihan.

Keputusan itu dibuat oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat selepas berunding dengan Kementerian Pertahanan Singapura.

Pesawat pejuang F-16  Singapura yang digunakan untuk tujuan latihan itu dipindahkan ke pangkalan Ebbing Air National Guard di Fort Smith daripada “rumahnya” ketika ini iaitu pangkalan Luke Air Force yang terletak di Arizona.

Pesawat F-16 Singapura di salah sebuah pangkalan udara negara itu.

 

Pangkalan Selfridge Air National di bandar Harrison pula diletakkan sebagai pangkalan alternatif.

Selain pesawat-pesawat F-35 dan F-16, pesawat pejuang F-15SG milik tentera udara republik itu turut ditempatkan di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home di Idaho manakala beberapa helikopter penyerang AH-64 Apache milik Singapura pula berada di Marana, Arizona untuk tujuan latihan.

Tentera Udara Singapura akan mula menerima empat buah pesawat F-35B yang merupakan varian Short Take Off and Vertical Landing (STOVL) pada tahun 2026 manakala lapan lagi pesawat selebihnya akan diterima beberapa tahun selepas itu.

“Kajian kesan alam sekitar akan dilakukan untuk menilai keberkesanan lokasi itu sebelum keputusan akhir diambil,” menurut Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dua buah pesawat F-16 Singapura.

 

Varian pesawat F-35B STOVL yang dibeli oleh Singapura ini hanya memerlukan landasan yang amat pendek iaitu hanya kira-kira 550 kaki panjang bagi membolehkan pesawat pejuang generasi kelima itu berlepas manakala untuk mendarat pula ia boleh dilakukan secara vertical.

12 buah pesawat F-35B yang diperolehi oleh Singapura itu agak mahal harganya disebabkan keistimewaan STOVL itu, dengan harga per-unit pesawat itu adalah dianggarkan US$110 juta (RM440 juta sebuah.

Ia berbanding dengan harga per-unit bagi varian F-35A yang memerlukan landasan untuk berlepas dan mendarat yang dianggarkan sebanyak US$80 juta (RM320 juta).

Penempatan kedua-dua pesawat F-35B dan F-16 Singapura di satu lokasi pangkalan udara bertujuan memaksimumkan peluang-peluang perlaksanaan latihan bersepadu antara kedua jenis pesawat pejuang itu.

Tentera Udara Singapura juga mahu meningkatkan lagi latihan-latihan bersama dengan pesawat-pesawat generasi ke-5 F-35 milik Tentera Udara Amerika Syarikat dan juga Kor Marin negara itu.

Helikopter penyerang Apache Singapura

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

“Latihan-latihan di luar negara adalah amat penting kepada Tentera Udara Singapura dalam usahanya mengatasi kekangan ruang udara negara itu bagi membolehkan ia untuk melaksanakan latihan yang realistik,” kata Tentera Udara Singapura.

Tentera Udara Singapura mula menempatkan pesawat-pesawat F-16 miliknya di pangkalan udara di Amerika Syarikat sejak 1992 untuk tujuan latihan. — DSA

 

F-35Lockheed MartinSingapura