China, Russia Adakan Latihan Tentera Bersama Ketika Tekanan Amerika Memuncak

Latihan tentera dipanggil “Zapad-Interaction 2021” itu akan diadakan di Qingtongxia Joint Tactical Training Base di utara China pada Ogos ini, bertujuan memelihara keselamatan dan kestabilan serantau.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu lagi petunjuk tentang hubungan ketenteraan yang semakin rapat antara Beijing dan Moscow ketika tekanan daripada Amerika Syarikat memuncak,  tentera Russia dikatakan akan menyertai latihan tentera bersama berskala besar yang dianjurkan oleh tentera China.

Latihan tentera dipanggil “Zapad-Interaction 2021” itu akan diadakan di Qingtongxia Joint Tactical Training Base di utara China pada Ogos ini, bertujuan memelihara keselamatan dan kestabilan serantau.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan China Kolonel (kanan) Wu Qian, latihan itu menunjukkan kepercayaan yang tinggi antara kedua-dua angkatan tentera selain memfokuskan kepada keselamatan dan kestabilan di Asia Tengah berikutan tindakan “tidak bertanggungjawab” Amerika Syarikat berundur daripada Afghanistan.

“Kedua-dua angkatan tentera akan mewujudkan ibu pejabat tentera bersama, dengan Pemerintahan Barat Tentera Darat China (Western Theater Command, PLA) dan Daerah Timur Tentera Russia (Eastern Military District) mengerahkan kira-kira 10,000 anggota tentera dengan pelbagai kelengkapan senjata (ke latihan itu),” katanya.

Beliau berkata, latihan bersama itu satu pergerakan tentera yang strategik dengan menghimpunkan pelbagai senjata termoden dunia serta taktik.

Latihan “Zapad-Interaction 2021” itu bakal menjadi acara tahun antara tentera kedua-dua negara.

Sejak beberapa tahun lepas, tentera China turut menyertai beberapa siri latihan tentera di Russia seperti Vostok 2018, Tsentr 2019 dan KavKaz 2020.

“Ini adalah kali pertama di mana tentera China menganjurkan latihan tentera strategic yang menyaksikan tentera negara asing dijemput berlatih di negara itu. Ia juga adalah kali pertama di mana tentera negara asing memasuki Qingtongxia Joint Tactical Training Base,” kata seorang pemerhati tentera.

Jurucakap tentera China itu juga bercakap bahawa latihan bersama itu akan memperkukuhkan lagi kerjasama di antara negara itu dengan Russia, selain mendalamkan lagi komitmen kedua-dua negara dalam memerangi elemen keganasan dan mengekalkan keamanan serantau.

Selain hubungan ketenteraan yang rapat, latihan tentera bersama itu juga menunjukkan persefahaman politik yang tinggi antara Russia dan China.

DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaRussiaZapad-Interaction 2021